
JOHOR BAHRU, 28 Jun – Hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menyaksikan calon-calon yang bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Puteri Wangsa terus mempergiat usaha mendekati pengundi menerusi pelbagai program turun padang.
- Calon mempergiat usaha turun padang untuk berinteraksi langsung dan membina kepercayaan dengan pengundi.
- Dr. Maszlee menekankan pendekatan mendengar rakyat, memahami keperluan serta mencari penyelesaian isu setempat.
- Isu utama dibangkitkan ialah kesesakan lalu lintas, jalan berlubang dan cabaran pemilikan rumah dalam kalangan belia.
Calon Pakatan Harapan, Dr. Maszlee Malik berkata, pendekatan kempen yang dibawa memberi penekanan kepada usaha mendengar pandangan rakyat, memahami keperluan mereka serta mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi penduduk setempat.
Menurut beliau, pendekatan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat penting bagi membina kepercayaan serta memastikan suara rakyat didengari.
“Strateginya adalah untuk mendekati rakyat serapat mungkin dan kita ingin turun memahami, mendengar mereka.
“Sekarang ini rakyat inginkan kerajaan, inginkan wakil rakyat yang mendengar mereka dan kita Pakatan Harapan, saya sendiri bersedia untuk mendengar dan bekerja bersama mereka memastikan kalau ada masalah kita selesaikan bersama.”
Sepanjang dua hari berkempen, antara isu yang paling banyak dibangkitkan penduduk ialah kesesakan lalu lintas, jalan berlubang serta cabaran pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Teow Chia Ling turut meneruskan siri lawatan turun padang di beberapa lokasi sekitar Puteri Wangsa bagi bertemu pengundi serta memperkenalkan manifesto dan tawaran kepada masyarakat.
“Jadi saya akan fokuskan pada kawasan-kawasan yang sebelum ini saya belum sempat pergi.
“Saya akan membuat lawatan terutama di pasar-pasar pagi, pasar malam dan juga tempat-tempat tumpuan untuk berjumpa serta memperkenalkan diri kepada penduduk.”
Kedua-dua calon ditemui ketika program turun padang di Pasar Pagi Taman Daya, di sini.