
KUALA LUMPUR 9 Julai – Hampir 1.3 juta atau 47 peratus daripada keseluruhan 2.73 juta pengundi berdaftar berusia 18 hingga 40 tahun dituntut menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 Sabtu ini.
- Penglibatan aktif anak muda penting untuk menentukan hala tuju negeri dan melahirkan pemimpin baharu.
- Anak muda kini menilai kredibiliti, integriti, rekod perkhidmatan dan manifesto sebelum membuat pilihan.
- Keluarga, pendidikan, pertubuhan belia dan komuniti perlu diperkukuh untuk melahirkan pengundi bijak berasaskan fakta dan integriti.
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata penglibatan aktif serta kefahaman mendalam golongan berkenaan amat penting dalam menentukan hala tuju negara, sekali gus penentu utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
“Penting untuk anak muda mengambil tahu tentang politik kerana ia adalah merupakan sebahagian daripada proses demokrasi negara, kerana kita nak anak muda bukan semata-mata hanya objek yang boleh dimanipulasikan, sebaliknya perlu menjadi rakan kepada proses demokrasi negara. yang kedua dari segi politik ini.
“Sebenarnya kita nak lahirkan lagi ramai lagi pemimpin muda yang dapat ditonjolkan dan pada masa sama peningkatan keterlibatan anak muda kita dalam politik.” Beliau berkata demikian di Angkasapuri Kota Media selepas program Selamat Pagi Malaysia.
Menurut beliau, keterlibatan aktif golongan berkenaan dalam politik tanah air juga amat diperlukan bagi membolehkan lebih banyak bakat kepimpinan baharu ditonjolkan ke hadapan di pelbagai peringkat.
Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian bahawa trend golongan muda kini dilihat semakin matang apabila lebih cenderung menilai kredibiliti dan integriti calon, rekod perkhidmatan serta manifesto yang ditawarkan oleh sesebuah parti sebelum membuat keputusan memilih.
Bagi menyokong perkembangan positif itu, beliau menegaskan peranan institusi keluarga, pendidikan, pertubuhan belia serta komuniti perlu terus diperkukuh bagi membentuk sosialisasi politik yang sihat dalam kalangan masyarakat.
Usaha itu katanya amat penting bagi melahirkan pengundi muda yang bijak membuat keputusan berpandukan fakta dan nilai integriti, bukannya mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk sentimen yang ditularkan di platform media sosial.