
KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan kepulangan lebih 300,000 pengundi luar bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menyumbang kepada peningkatan aliran trafik di lebuh raya utama di negeri itu.
- Rancang perjalanan lebih awal jika bercadang memasuki atau melalui Johor untuk mengurangkan kesesakan.
- Kerja penutupan lorong ditangguhkan pada hari pengundian kecuali kecemasan untuk memastikan perjalanan selamat dan lancar.
- Gunakan aplikasi TuJu, periksa keadaan kenderaan, dan pastikan baki Touch 'n Go, e-dompet serta kad debit mencukupi.
- Dapatkan maklumat trafik melalui Facebook LLM, TikTok @llmtrafik, talian 1-800-88-7752, laman web LLM dan Saluran WhatsApp.
Pengerusi LLM Datuk Seri Hasni Mohammad berkata orang ramai yang bercadang untuk memasuki atau melalui Johor disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama menuju ke negeri berkenaan.
Beliau berkata bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar di lebuh raya, kerja-kerja melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian Sabtu ini, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.
“LLM juga menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan melalui aplikasi TuJu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch ‘n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.
“Pengguna juga perlu mematuhi had laju dan berhati-hati di kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Simpang Renggam hingga Senai (Utara),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Datuk Seri Hasni mengingatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi arahan ketika pengaktifan smartlane dan berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah yang disediakan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta menyemak sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Paparan keadaan trafik secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya turut boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi LLM di www.llm.gov.my serta Saluran WhatsApp LLM Info Trafik. – Bernama