Pengundi Stulang anggap undi tentukan masa depan

Penghidap Cerebral Palsy mengundi bagi PRN Johor ke-16 hari ini./Foto BERNAMA

STULANG, 11 Julai – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Stulang berlangsung lancar apabila ramai pengundi hadir awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka ketika cuaca dalam keadaan baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengundi menganggap mengundi sebagai tanggungjawab dan suara demokrasi untuk menentukan kepimpinan serta masa depan negeri.
  • Harapan agar wakil rakyat menumpu kebajikan, pendidikan dan bantuan sosial terutama bagi golongan yang memerlukan.
  • Calon PH Andrew Chen melihat kehadiran pengundi sebagai petanda kesedaran demokrasi; SPR merekodkan peratus keluar mengundi 56.81%.

Tinjauan RTM di Sekolah Rendah Agama Bersepadu, Johor Bahru mendapati rata-rata pengundi menyifatkan pelaksanaan tanggungjawab mengundi sebagai suara demokrasi rakyat dalam menentukan kepimpinan dan hala tuju negeri pada masa depan.

Seorang pesara, Roslan, berkata setiap rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab mengundi kerana ia merupakan hak yang menentukan masa depan negara.

“Bagi saya, ini tanggungjawab sebagai rakyat. Apa yang kita mahu untuk negara, kita tentukan melalui undi. Undi itu rahsia,” katanya.

Sementara itu, seorang juruterapi kecantikan, Susana Inka, berharap wakil rakyat yang dipilih dapat memberi tumpuan kepada kebajikan masyarakat termasuk aspek pendidikan dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Untuk masa depan rakyat. Saya harap ada lebih banyak pertolongan dari segi pendidikan, bantuan kepada anak-anak dan kebajikan sosial, terutama untuk orang yang susah,” katanya.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N45 Stulang, Andrew Chen Kah Eng, pula menyifatkan kehadiran pengundi yang memberangsangkan sebagai petanda positif terhadap kesedaran rakyat untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi.

“Berdasarkan pemerhatian saya, ramai orang sudah keluar mengundi. Ini menunjukkan rakyat mengambil peluang untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sehingga pukul 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi bagi DUN N45 Stulang sebanyak 56.81 peratus.

Sebanyak 21 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian di DUN berkenaan sehingga pukul 6 petang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.