PRN JOHOR: Meski sibuk buat liputan, pengamal media tetap tunai tanggungjawab mengundi

Jari yang dicelup dakwat kekal jadi bukti pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Johor ke-16/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Di sebalik kesibukan memburu berita dan mengejar detik penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, tanggungjawab sebagai pengundi tetap menjadi keutamaan bagi sekumpulan pengamal media hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Endok Baleana Bachok pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi di DUN Puteri Wangsa.
  • Nur Fatin Kadenen mengundi di DUN Tiram selepas membuat liputan Ketua Polis Negara.
  • Jurukamera dan jurufoto seperti Muhammad Arif, Mohd Hazrol, Fathin, Najmi dan Ismail hadir mengundi.
  • Presiden KMJ Mohamad Fauzi berkata ramai memilih mengundi secara fizikal untuk merasai kemeriahan hari pengundian.

Meskipun terikat dengan jadual liputan yang padat, golongan ‘wira tidak didendang’ ini tetap meluangkan masa hadir ke pusat mengundi bagi melaksanakan kewajipan memilih wakil rakyat, dan menentukan hala tuju kerajaan negeri.

Pengurus Kanan BERNAMA Radio Endok Baleana Bachok, 48, sanggup pulang dari Kuala Lumpur bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Balai Raya Taman Gembira, di sini.

Beliau berkata komitmen itu mencerminkan kesungguhan untuk tidak melepaskan peluang memilih wakil rakyat meskipun terikat dengan tugasan di luar Johor.

Sementara itu, wartawan sambilan Bernama Nur Fatin Kadenen, 33, pula menunaikan tanggungjawab mengundi bagi DUN Tiram di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram usai membuat liputan Ketua Polis Negara di Taman Molek pada sebelah pagi.

“Saya menerima dengan terbuka mana-mana calon atau parti yang terpilih di DUN Tiram, asalkan mereka benar-benar bekerja, rajin dan prihatin dalam setiap aspek pembangunan kawasan ini,” katanya.

Langkah yang sama turut diambil jurukamera Bernama TV, Muhammad Arif Ahmad Nasir, 32, yang memilih untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong bagi DUN Simpang Jeram, kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

“Saya pernah mengundi secara pos sebelum ini, tetapi kali ini saya tidak memohon kerana sudah tahu akan ditugaskan membuat liputan di Muar, jadi saya boleh mengundi seperti biasa,” katanya.

Jurufoto Bernama Mohd Hazrol Zainal, 32, dan Fathin Suhaira Abdul Rahim, 34, pula masing-masing mengundi di SK Pengkalan Raja, Pekan Nanas (DUN Pekan Nanas) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 4 (DUN Larkin) di sini.

Jurufoto New Straits Times Press (NSTP) Najmi Nor’Azam, 25, pula hadir mengundi bagi DUN Bukit Serampang di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Serampang pada 8.30 pagi.

Beliau memilih untuk datang awal bagi membolehkannya meneruskan tugasan liputan sepanjang hari tanpa menjejaskan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sementara itu, jurugambar TV3, Ismail Osman, 62, membuktikan faktor usia dan pengalaman bukan penghalang apabila tiba di Dewan Kampung Majidee seawal 7.30 pagi bagi DUN Stulang.

“Alhamdulillah, proses pengundian berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama,” katanya yang mengundi bagi DUN Stulang.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak, 55, yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) selesai mengundi bagi DUN Kempas di SK Kempas pada 10.30 pagi.

Beliau berkata ramai pengamal media memilih untuk hadir mengundi secara fizikal meskipun layak memohon undi pos, semata-mata mahu merasai sendiri kemeriahan hari pengundian.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.