fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi diesel beri kesan positif

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Hampir tiga minggu pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, iaitu sejak 10 Jun lalu. Seperti yang digembar-gemburkan, ia "langkah tidak popular kerajaan untuk selamatkan negara".

Memang benar, tindakan itu bukanlah mudah, bahkan ramai yang ragu-ragu. Apatah lagi menghentam secara melulu. Namun perlu diingat, ia penting untuk kestabilan fiskal. Sekali gus mengurangkan ketirisan yang berlaku.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat minggu ini ada memaklumkan, ekonomi Malaysia secara umumnya kekal stabil.

Ia berdasarkan laporan Indeks Daya Saing Dunia 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD). Iaitu di sebalik kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga ke-34 dalam indeks tersebut,dengan kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi -- antara punca dikenal pasti.

Apapun, kerajaan telahpun mengambil langkah proaktif dan berani. Bak kata orang sekarang -- "JALAN TERUS!".

Nah! Impaknya sekarang menurut Menteri Kewangan DUA - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, program Penyasaran Semula Subsidi Diesel, yang melibatkan langkah penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran -- amat memberangsangkan. Malah, berlangsung seperti dirancangkan.

Perkara itu berikutan trend peningkatan jualan diesel komersial yang menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi, telah berkurang.

Menyaksikan rekod jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir 8 juta liter sehari, atau 30% untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.

Bagi tempoh sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak 4 juta liter sehari. Maklumat terbaharu yang diterima daripada sebuah syarikat minyak pula -- jualan diesel di sempadan menunjukkan PENURUNAN 40%. 

Amat jelas, ia memberi isyarat, bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran!

Dan membongkar, memang wujud kegiatan 'ketirisan senyap", iaitu penyeludupan diesel ke negara sempadan.

Bagaimanapun, masih banyak pemantauan perlu dilakukan. Sehubungan itu badan-badan penguat kuasa kini mempergiat kerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi.

Bertanggungjawab membendung sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan, serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

Termasuk pelaksanaan OPS TIRIS yang telahpun bermula 1 Mac 2023 bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, khusus bagi mengekang kegiatan ketirisan subsidi diesel.

Pada tahun lepas sebanyak 877 kes dikendalikan menerusi OPS TIRIS 1.0 dan 2.0 -- melibatkan jumlah sitaan sekitar 6.4 juta liter minyak diesel, dan seramai 667 individu yang disyaki terlibat, ditahan.

Manakala pada 1 Januari lalu, OPS TIRIS 3.0 yang dilaksanakan hingga 22 Jun, merekodkan 570 kes melibatkan penyitaan 5.1 juta liter minyak diesel serta rampasan aset dan peralatan, selain 275 tangkapan.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan tidak akan bersikap lepas tangan. Akan sentiasa memantau situasi semasa pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Sekiranya perlu, penambahbaikan bantuan dari semasa ke semasa akan dibuat.

Bertujuan memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Kerajaan turut menyediakan bantuan bersasar terutamanya untuk sektor logistik serta individu yang memiliki kenderaan diesel di samping petani kecil dan pekebun kecil komoditi; dengan matlamat -- mengurangkan impak kepada kos sara hidup dan rakyat, yang dikenali sebagai Bantuan Subsidi MADANI (atau BUDI MADANI).

Realitinya, setiap langkah diambil kerajaan, ada kewajarannya. Ada kemaslahatan kepada semua pihak. Bukan ditentukan secara semberono.

Seperti dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu sendiri, lebih baik dilaksanakan sekarang memandangkan ekonomi negara ketika ini masih mampan. Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama, kekal kukuh.

Apa yang pasti, melaluinya ketirisan dapat dikurangkan. Hasil penjimatan akan dikembalikan kepada rakyat.

Kita nantikan lagi impak positif pelaksanaannya yang memberi bayangan untuk menggapai lebih banyak kejayaan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, editor Berita Radio RTM.

ARTIKEL BERKAITAN

 

MAT YUNUS BIN SABRI