fb fb fb fb fb

Langkah penyasaran subsidi diesel tidak beri impak harga rumah

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya memberi impak terhadap harga rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata sebelum penyasaran susbsidi bahan api itu diperkenal, sektor berkenaan sememangnya tidak menerima sebarang subsidi diesel.

“Semua pihak sedar sektor komersial ini (pembinaan) tidak menikmati subsidi disesel, dulu tiada dan sekarang pun tiada, maka saya rasa tidak ada impak langsung kepada harga rumah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib sama ada kementerian itu bersedia berdepan keadaan kenaikan harga diesel dijadikan alasan kelewatan menyiapkan projek rumah.

Nga bagaimanapun memberi jaminan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memantau supaya tiada pihak mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan susulan harga baharu bahan api itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN