NASIONALfm perkenal program Next Level Unlimited 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari NASIONALfm terus mengekalkan reputasi cemerlangnya tahun ini menerusi program baharu yang diberi nama, Next Level Unlimited 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Next Level Unlimited 2026 meneroka batasan baharu dalam penyiaran radio bagi mencungkil kandungan kreatif secara langsung di lokasi strategik.
  • Program menonjolkan siaran dan aktiviti di lokasi berpotensi tinggi untuk mengkaji suasana setempat dan melibatkan pendengar secara langsung.
  • NASIONALfm memperkukuh penyampaian maklumat dan kolaborasi, termasuk program malam Geng Burung Hantu bersama SALAMfm.
  • Konsep Unlimited menawarkan pengisian lebih luas, membawa ilmu, maklumat dan perkongsian dari dalam serta luar negara.

Menurut Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Saifuzzaman Yusop, program berkenaan dilaksana dengan objektif utama meneroka batasan baharu dalam penyiaran radio, selaras peranan NASIONALfm sebagai peneraju trend stesen radio RTM yang turut menjadi rujukan kepada stesen radio swasta lain.

“Kelainan yang akan dibawakan menerusi Next Level Unlimited NASIONALfm ialah pelaksanaan siaran dan aktiviti di lokasi-lokasi strategik yang berpotensi tinggi, bagi membolehkan kami mengkaji suasana setempat serta mencungkil kandungan yang lebih kreatif bersama para pendengar secara langsung di lokasi.”

“Jadi, Next Level Unlimited membawa maksud penerokaan ke tahap baharu, merangkumi usaha mencabar batasan yang belum pernah dilaksanakan oleh NASIONALfm sebelum ini,” kata Saifuzzaman kepada pemberita, malam tadi.

Beliau ditemui pada Majlis Hi-Tea NASIONALfm Next Level Unlimited 2026, di ibu negara.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai kejayaan dan pencapaian stesen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu bagi tahun 2025, bersama pendengar setia dan rakan strategik yang terlibat.

Foto RTM

Sementara itu, Pengurus NASIONALfm, Salbiah Mohd Sharif berkata aspek penyampaian maklumat akan terus diperkukuh, termasuk kerjasama baharu dengan stesen radio, SALAMfm.

“Kita turut menjalinkan kolaborasi menerusi program malam bersama stesen lain, iaitu Geng Burung Hantu dengan SALAMfm.”

“Program ini bukan sekadar penganjuran biasa, sebaliknya tampil dengan pengisian yang lebih luas berbanding tahun sebelumnya. Konsep Unlimited membawa maksud penyampaian pelbagai ilmu, maklumat serta perkongsian dari dalam dan luar negara yang jarang diketengahkan, untuk dipersembahkan kepada pendengar NASIONALfm,” kata Salbiah.

Tambah Salbiah, NASIONALfm turut meneroka peluang untuk memperluas kerjasama pada masa hadapan bagi memastikan stesen itu kekal relevan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai peneraju aktiviti kemasyarakatan, selaras dengan fungsi RTM sebagai penyiar nasional.

Tahun lalu, NASIONALfm telah mencatat kejayaan luar biasa menerusi Minggu NASIONALfm Next Level, yang menampilkan enam segmen harian dengan pelbagai pengisian menarik, termasuk berjaya memperoleh 27.7 juta tanda suka dalam penstriman langsung di platform TikTok.