fb fb fb fb fb

Penyertaan BRICS: Malaysia kekal negara berkecuali

Antara sesi perbincangan Forum Ketua Hakim Negara BRICS pada 19 Jun 2024/Foto Pengerusi BRICS 2024 Rusia

ULASAN BERITA

Malaysia akan sertai blok ekonomi BRICS? Biar betul, keputusan besar tu.

Menurut Menteri MITI, proses penyertaan rasmi berjalan lancar. Keputusan Malaysia menyertai BRICS dilihat langkah berani. Khususnya bagi sebuah negara dagang yang saiznya relatif kecil, jika dibandingkan dengan negara-negara kuasa besar.

Maka timbullah persoalan; adakah keputusan yang dibuat itu tepat? Apa untungnya sertai BRICS? Tidakkah ia menjejaskan hubungan Malaysia dengan kuasa besar Barat?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, mungkin ada yang tidak begitu jelas apa sebenarnya BRICS? Baiklah, mari tinjau sepintas lalu secara ringkas sejarah penubuhannya.

Kesatuan ekonomi ini dibentuk pada tahun 2009 oleh Brazil, Rusia, India dan China. Ketika itu ia dikenali sebagai BRIC bersempena nama empat negara pelopor.

Setahun kemudian, Afrika Selatan atau "South Africa" menjadi anggota kelima, dan menambah huruf "S"sekali gus melengkapkan nama kumpulan pengasas sebagai BRICS.

Secara umumnya, aspirasi utama BRICS adalah mengimbangi kuasa negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat di pentas global. Terutama kuasa ekonomi dan politik.

Setiap negara anggota berkongsi aspirasi mengurangkan kebergantungan kepada Dolar Amerika Syarikat. Ia bertepatan dengan pendirian kerajaan Malaysia.

PMX sebelum ini pernah menjelaskan mengenai pendekatan dedolarisasi atau 'dedollarization' dalam urus niaga perdagangan import eksport.

Kata beliau, kebergantungan pada USD sebagai matawang global menyebabkan nilai matawang kebanyakan negara jatuh.

Sehubungan itu cara lama iaitu penggunaan USD dalam semua perdagangan antarabangsa walaupun tidak melibatkan entiti Amerika, perlu dikaji semula.

Gantikan dengan penggunaan matawang tempatan negara-negara yang berdagang. Di sini sahaja, banyak penjimatan dan untung dapat diraih.

Bukan mudah, tetapi kaedah itu telah pun dimulakan oleh Malaysia sendiri. Ringgit ditukarkan dengan Baht Thailand, Rupiah Indonesia dan Renminbi China. Tanpa USD. Menyertai BRICS, pelaksanaannya dapat diperluas.

Sejak 1 Januari tahun ini, jumlah keahlian blok ekonomi itu bertambah kepada sepuluh dengan penyertaan Iran, Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Habsyah.

Dengan populasi kira-kira 3.5 bilion atau 45 peratus penduduk dunia, ekonomi ahli BRICS bernilai lebih 28.5 trilion Dolar iaitu kira-kira 28 peratus daripada ekonomi global.

Selain itu Iran, Arab Saudi dan UAE merupakan negara pengeluar minyak mentah dunia yang menguasai kira-kira 44 peratus pasaran. Potensi BRICS dijangka terus meningkat.

Akses kepada pasaran besar dalam BRICS akan membuka ruang kepada syarikat dan perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran yang lebih luas. Tanpa melibatkan pertukaran matawang USD.

Benar, Brazil dan Rusia ada mencadangkan untuk mewujudkan mata wang BRICS bagi mengurangkan dominasi Dolar Amerika. Namun cadangan itu belum dibincangkan secara mendalam. Ia dilihat sebagai rancangan jangka panjang.

Selain Malaysia kira-kira 28 negara lagi termasuk Thailand telah menyatakan hasrat untuk menyertai BRICS. Angka ini dijangka terus bertambah.

97 negara dilaporkan bakal menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di Kazan, Rusia pada bulan Oktober.

Penyertaan dalam BRICS bukan bermakna Malaysia mengetepikan dasar berkecuali, tetapi lebih kepada meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam kalangan anggota blok yang merangkumi lebih satu perempat ekonomi dunia.

Seperti isu Palestin. Status negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), tidak menghalang Malaysia memperjuangkan nasib penduduk yang dizalimi rejim ganas Zionis Israel. Tak kiralah payung besar mana pun.

Benar tetap benar dan salah tetap salah. Sebagai negara berdaulat, Malaysia bebas menentukan dasar dan pendiriannya. Doakan yang terbaik.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

ARTIKEL BERKAITAN

MAT YUNUS BIN SABRI