(FOTO BERNAMA)
JAKARTA, 20 Ogos- Presiden Joko Widodo berlepas ke Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Johannesburg di tengah-tengah spekulasi bahawa Indonesia boleh menyertai kumpulan itu sebagai ahli terbaharu.
Mesyuarat itu menghimpunkan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun utama yang diketuai Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, akan diadakan selama tiga hari mulai Selasa.
"Indonesia telah diundang ke Sidang Kemuncak BRICS dan sudah tentu akan ada pertemuan sampingan dengan pemimpin dunia yang lain," kata Widodo kepada pemberita di sini sebelum berlepas.
Lawatan itu adalah lawatan pertama beliau ke Afrika sebagai peneraju ekonomi terbesar Asia Tenggara.
Widodo pada awal minggu ini berkata kerajaannya belum memutuskan sama ada Indonesia akan menyertai BRICS atau tidak.
Kumpulan itu yang dilancarkan secara rasmi pada 2009, berusaha untuk menyeimbangkan penguasaan ekonomi Barat dalam hal ehwal global.
Ia mewakili 23% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia dan 42% daripada populasi dunia.
Selain menghadiri sidang kemuncak BRICS, Widodo juga akan melawat Kenya, Tanzania, dan Mozambique untuk mengukuhkan kerjasama.
Tanzania dan Kenya membuka kedutaan di Jakarta tahun lepas, manakala Mozambique adalah negara Afrika pertama yang menandatangani Perjanjian Perdagangan Keutamaan dengan Indonesia. -AFP
(Presiden Indonesia hadiri Sidang Kemuncak BRICS di Afrika Selatan/File AFP)