fb fb fb fb fb

Subsidi bersasar, jangan jadi pencetus kenaikan harga

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail (kanan) melakukan pemantauan di stesen-stesen minyak sekitar Pasir Pekan, Tumpat susulan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel/Foto Bernama

ULASAN BERITA

Seperti dijangka, macam-macam reaksi diterima susulan tindakan kerajaan mengapungkan harga runcit diesel.

Bermula Isnin lepas, harga diesel di semua stesen minyak seluruh Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 Sen seliter.

Peningkatan sebanyak 55.8 peratus atau RM1.20 sen seliter berbanding RM2.15 sen ketika pelaksanaan subsidi pukal.

Seawal hari pertama lagi harga diapungkan, beberapa syarikat telah mengeluarkan notis mengenai kenaikan harga barang.

Contohnya sebuah syarikat pembekal barangan konkrit dan simen yang khabarnya beroperasi di Kuantan.

Syarikat itu dilapor menaikkan harga sebanyak RM12.00 bagi penghantaran setiap meter padu simen bancuh dengan jarak tidak melebihi 30 kilometer. Bagi jarak melebihi 30 kilometer, caj tambahan akan dikenakan.

Sementara itu sebuah syarikat pemborong barangan perkakasan di Kuala Lumpur mendakwa terpaksa menaikkan harga, gara-gara tindakan syarikat penyedia khidmat pengangkutan lori menaikkan caj sebanyak 25 peratus.

Semuanya dikaitkan dengan pengapungan harga diesel. Tindakan ini sangat mengejutkan. Seolah-olah syarikat yang tidak layak menikmati subsidi, boleh pula menaikkan harga sewenang-wenangnya tanpa merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memandang serius kenyataan mereka yang boleh menggusarkan masyarakat.

KPDN akan mengeluarkan notis bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 kepada pihak-pihak terbabit.

Kepada yang kurang jelas, 'peniaga mencatut' merujuk kepada mana-mana peniaga yang mengambil untung sesuatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.

Selain meneliti alasan syarikat-syarikat berkenaan menaikkan harga, KPDN juga akan melihat kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini.

Jika ditinjau hantaran dan video yang dimuat naik di media sosial, didapati masih ada netizen yang kurang faham tentang langkah rasonalisasi subsidi diesel.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, kerajaan tidak memansuhkan subsidi diesel. Sekadar disasarkan semula, khusus kepada warga Malaysia yang benar-benar layak. Subsidi yang dihentikan adalah subsidi pukal yang turut dinikmati golongan kaya raya dan warga asing.

Kini subsidi diesel disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah. Kaedah pertama melibatkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Bawah program ini, 33 jenis pengangkutan awam dan barangan yang tersenarai, layak menerima subsidi melalui kaedah 'Kad Flit'.

Manakala kaedah kedua menerusi Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI. Subsidi bantuan tunai bulanan RM200.00 disalurkan terus kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel bagi kategori individu dan agrikomoditi.

Objektif utama pendekatan baharu ini ialah menangani isu ketirisan subsidi yang berlaku sekian lama. Mungkin masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Namun pam diesel di beberapa stesen minyak sekitar sempadan negara, dilaporkan lengang sejak pengapungan harga dikuatkuasakan. Perkara ini tidak menghairankan.

Jika sebelum ini jurang perbezaan harga diesel dengan negara jiran begitu besar iaitu lebih RM2.00 seliter, kegiatan menjual secara haram diesel bersubsidi membawa pulangan lumayan.

Tetapi kini jurang itu sudah dirapatkan kepada tidak sampai 90 Sen. Masihkah penyeludup dan pihak yang bersubahat dengan mereka, sanggup menanggung risiko? Kita sama-sama tunggu statistik seterusnya.

Berbalik kepada keluhan pengguna kenderaan diesel di media sosial. Ada yang mengadu bantuan subsidi tunai RM200.00 sebulan tidak mencukupi.

Keperluan mereka lebih daripada itu dan mereka terpaksa mengeluarkan sejumlah besar wang sendiri untuk kegunaan bulanan. Bagi golongan ini dinasihatkan agar membuat rayuan.

Menurut Menteri Kewangan II, pihak kementerian akan melihat kesahihan permohonan dan kemampuan kerajaan. Di sini jelas, masih ada ruang untuk dibawa berbincang dan mengetengahkan cadangan.

Dalam usaha membendung penyeludupan bahan bakar bersubsidi, kerajaan diharap mengambil langkah agresif dan proaktif bagi memastikan harga barangan keperluan harian dalam keadaan terkawal. Jangan biarkan mana-mana pihak tanpa rasa bersalah, menjejaskan agenda besar MADANI.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI