ULASAN BERITA
Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 semakin hampir. Esok, proses penamaan calon bakal berlangsung. Ketika ini, semua mata terarah ke Negeri di Bawah Bayu. Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah amat menarik perhatian. Hangat dibahaskan di peringkat rakyat jelata mahu pun dalam sidang Parlimen.
Pada 17 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan perlembagaan untuk membuat semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah, sebagaimana diperuntukkan bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan MADANI kemudian memutuskan untuk TIDAK memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Sebaliknya, proses rundingan bersama kerajaan Sabah akan dimulakan dengan kadar segera.
Tetapi, bila kerajaan umum tidak membuat rayuan, ada pula pihak-pihak tertentu, melatah. Sedangkan kerajaan negeri Sabah sendiri menghargai keputusan kerajaan Persekutuan tidak memanjangkan isu sensitif itu, sebaliknya memilih untuk menerima, mengiktiraf dan mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah.
Kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor, keputusan dibuat kerajaan Persekutuan itu menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah. Malah, mencerminkan komitmen tulen Perdana Menteri untuk menegakkan hak Sabah yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.
Hakikatnya keputusan yang dibuat kerajaan Persekutan amat tepat dan wajar. Kerajaan hari ini, fokusnya berkhidmat untuk rakyat sesuai dengan prinsip MADANI Bekerja. Jika berlaku pertikaian antara kerajaan dengan rakyat, atas alasan apa kerajaan perlu membuat rayuan apabila mahkamah berpihak kepada rakyat?
Semalam, Perdana Menteri menegaskan, keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, tiada kaitan dengan PRU DUN Sabah. Dalam sidang Dewan Rakyat, beliau menjelaskan, rundingan akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun dalam tempoh PRU berlangsung. Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.
Pendirian Datuk Seri Anwar, JELAS. Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sentiasa dipelihara demi memastikan semua isu yang timbul, termasuk tuntutan hasil, dapat diselesaikan secara rasional serta berhemah. Di sini, nampak kerajaan junjung prinsip musyawarah dan kebersamaan demi kemaslahatan semua pihak.
Namun, tidak adil jika ada suara sumbang yang menuduh kononnya kerajaan MADANI mengabaikan Sabah. Dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan MADANI di Sabah, melibatkan 144 projek dengan nilai RM14 bilion. Perdana Menteri turut memberi jaminan, lebih banyak projek akan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat, walaupun mengakui masih terdapat kekangan tertentu.
Kerajaan juga menunjukkan komitmen berterusan untuk menambah baik kemakmuran Sabah dengan meningkatkan Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu sebanyak dua kali ganda kepada RM600 juta pada 2025, menjadikannya kadar tertinggi pernah direkodkan, setakat ini.
Selain itu, bawah Belanjawan 2026, peruntukan pembangunan untuk Sabah turut meningkat kepada hampir RM7 bilion, tertinggi berbanding negeri lain. Kalau dicampur dengan perbelanjaan bagi mengurus agensi persekutuan dengan pemberian khas, jumlahnya mencecah RM17.5 bilion.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa projek utama yang disenaraikan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 turut mengambil kira keutamaan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah. Ini termasuk Pusat Jantung Sabah, pembinaan jalan dari Kalabakan ke Simanggaris dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1A.
Kerajaan MADANI juga telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan RM14 bilion. Malah, sejak 2024, kerajaan turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion bagi projek air Sabah yang dijangka siap tahun hadapan.
Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pula, sembilan daripada 13 tuntutan bawah MA63 diselesaikan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.
Isu tuntutan hasil 40 peratus Sabah...bukan soal siapa menang, siapa kalah. Bukan juga soal siapa betul, siapa salah. Bukan juga soal Sabah dan kerajaan Persekutuan semata-mata. Sebaliknya, ia berkenaan kepentingan rakyat di mana agihan wang selama ini adalah datang daripada sumbangan seluruh negara dan pinjaman kerajaan Persekutuan yang ditanggung oleh semua rakyat.
Semoga rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan berjalan lancar dan mendapat penyelesaian menang-menang dan menguntungkan rakyat. Bagi sesetengah pihak yang cuba "menangguk dalam air yang keruh", henti-hentikanlah "mencurah minyak ke dalam api".
Sekadar memetik kata-kata Datuk Seri Anwar, "Saya harap semangat kesatuan dan perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, ia hanya akan merugikan... yang untung hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang." Baca, fikir dan hadamkan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Emmi Noraliza Adnan.