ULASAN BERITA
24 November 2025, genap tiga tahun usia Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tempoh setahun dua, mungkin terlalu awal untuk kita menilai berjaya atau gagal sebuah kerajaan.
Namun kini selepas tiga tahun, tiada siapa boleh menafikan. Kerajaan MADANI terbukti berjaya dengan cemerlang dalam membangun dan memakmurkan negara, serta menyejahterakan rakyatnya sekali gus memacu Malaysia ke era lebih gemilang.
Ramai pasti bersetuju; kestabilan politik yang berjaya diwujudkan Datuk Seri Anwar, faktor utama membolehkan beliau bersama-sama jemaah menteri, memberi tumpuan kepada pemulihan negara, dengan menangani isu ekonomi dan sosial khususnya kemiskinan, serta perjuangan memerangi rasuah.
Dua penganalisis politik terkemuka, Profesor Dr Azmi Hassan dan Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, sependapat, kestabilan politik boleh dianggap pencapaian terpenting Datuk Seri Anwar, memandangkan ia gagal dicapai tiga kerajaan sebelum ini.
Ketidaktentuan politik menyaksikan tiga Perdana Menteri bertukar dalam jangka masa singkat. Inilah bukti kebijaksanaan Datuk Seri Anwar dalam berpolitik. Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai hala tuju pemerintahan yang jelas.
Sejak hari pertama mentadbir negara, keutamaan Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya mengurangkan beban kos sara hidup dengan iltizam memastikan tiada yang terpinggir, dan tiada yang tercicir.
Pada masa sama, membanteras rasuah dan ketirisan serta menyusun semula asas ekonomi bagi memastikan negara berada pada landasan terbaik untuk mengharungi cabaran ekonomi global dan geopolitik.
Pelbagai program dilaksana, berjaya memberi impak positif kepada kehidupan rakyat jangka pendek dan panjang, antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Perdana Menteri juga telah menunaikan janji yang sangat-sangat dinantikan rakyat, iaitu menurunkan harga petrol RON 95. Menerusi program Budi MADANI RON95 (BUDI95), rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif, menikmati RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter, dengan kuota sehingga 300 liter sebulan.
Ia langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.
Penyasaran subsidi secara menyeluruh, memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.
Melalui pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun.
Hasil ini dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bantuan dan projek untuk faedah rakyat seperti sekolah dan hospital.
Penjawat Awam pula...menerima 'hadiah' lumayan berupaya kenaikan gaji dan pelbagai insentif lain, menerusi Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Manakala bagi pekerja sektor swasta, Perintah Gaji Minimum dikuatkuasakan melalui dua kali semakan, daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kemudiannya RM1,700.
Kerajaan MADANI juga membela nasib pesawah dengan menaikkan Harga Lantai Belian Padi kepada RM1,500 pada 2025, selain Kadar Skim Subsidi Harga Padi ditingkatkan kepada RM500 pada 2023.
Turut dilaksana, projek berimpak tinggi di seluruh negara, termasuk di negeri-negeri ditadbir pembangkang, bukti agenda pembangunan MADANI, tidak memilih garis politik.
Cemerlang di Persada Antarabangsa
Di pentas antarabangsa, Kerajaan MADANI lantang memperjuang nasib rakyat Palestin, khasnya di Gaza yang dizalimi rejim Zionis. Selain itu, menjadikan Kepengerusian ASEAN 2025 sebagai platform terbaik menyuarakan terus pelbagai isu, termasuk Palestin kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Malaysia menutup tirai Kepengerusian ASEAN 2025 dengan melakar beberapa pencapaian penting, antaranya pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.
Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Amerika Syarikat juga, kejayaan penting Kerajaan Madani. Perjanjian itu, mengekalkan kadar tarif import Malaysia pada 19 peratus, dan menjamin kedaulatan negara dengan memperuntukkan rundingan dua hala sebelum sebarang tindakan diambil. Ia melindungi pekerjaan rakyat Malaysia dan memberi akses pasaran yang lebih baik.
Sepanjang tiga tahun ini juga, Datuk Seri Anwar melakukan lawatan kerja ke banyak negara untuk menarik pelaburan, demi memajukan negara ini. Usaha gigih beliau, wajar kita ucapkan terima kasih.
Kesimpulannya, pelbagai kejayaan membanggakan dicapai Kerajaan MADANI, dalam tempoh tiga tahun, mentadbir negara ini. Memasuki tahun keempat, banyak lagi insentif dan program kesejahteraan rakyat akan dilaksana, berdasarkan Belanjawan 2026. Sebagai rakyat, kita wajib memberi sokongan padu kepada kerajaan, untuk menjadikan Malaysia terus makmur dan maju.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Kanan Seksyen Berita TV RTM, Rahmat Ashari.