ULASAN BERITA
Rakyat Sabah mahukan kestabilan. Rakyat Sabah mahukan hala tuju jelas. Rakyat Sabah mahukan pembangunan yang tidak tergendala dek kerana perbalahan. Berbeza pandangan itu lumrah. Berbeza agenda itu biasa. Namun, keutamaan bersama lebih besar daripada perbalahan politik yang kecil. Agenda lebih besar menanti Sabah, dan agenda yang besar menuntut jiwa yang besar.
Titik ‘gencatan senjata politik’ perlu dicari. Tumpuan bukan lagi kepada siapa menang atau kalah pada PRN Sabah ke-17, tetapi siapa mampu bekerja dan bekerjasama.
Politik boleh berbeza warna, tetapi pembangunan tidak boleh berhenti kerana warna parti. Sabah perlu buka buku baharu – dan halaman pertamanya harus dimulakan dengan kesediaan semua pihak untuk meredakan suara, membesarkan jiwa. Rakyat tidak menilai siapa paling lantang berdebat, tetapi siapa paling cekap bekerja.
Isyarat awal jelas—Sabah akan ditadbir sebuah Kerajaan Perpaduan negeri. Sekali gus, memberi gambaran bahawa pentadbiran ini dibina atas dasar kerjasama luas. Dalam konteks politik Sabah yang dinamik, kestabilan seperti ini penting untuk memastikan projek pembangunan tidak tergendala.
Pasukan Baharu, Arah Baharu
Tujuh ADUN GRS, masing-masing seorang UPKO, BN dan PH sudah mengangkat sumpah jawatan. 10 ahli Jemaah Menteri inilah yang akan belayar bersama nakhoda Datuk Seri Hajiji Noor untuk memacu Sabah. Istana Sri Kinabalu menjadi saksi sumpah mereka. Kini, bermulalah fasa baharu pentadbiran negeri pascapilihan raya.
Hala tuju Sabah bukan sekadar ditentukan dengan pelantikan Kabinet baharu atau keindahan perancangan atas kertas, tetapi keberanian kerajaan untuk melaksanakan perubahan yang dijanjikan—tanpa berlengah, tanpa berselindung.
"Tanggungjawab dipikul amat besar dan perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta integriti. Beri khidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang. Saya yakin dan percaya ahli Jemaah Menteri mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk memimpin”.
Keyakinan yang disuarakan Datuk Seri Hajiji Noor ini bukan sekadar kata-kata semangat. Setiap menteri dipilih berdasarkan kemampuan, pengalaman dan rekod kerja yang dilihat mampu meneruskan agenda besar Sabah Maju Jaya (SMJ).
Kabinet kali ini tidak diberi ruang untuk “belajar sambil bekerja”—mereka perlu terus memecut. Matlamatnya, pembangunan yang lebih seimbang, bukan sahaja di Kota Kinabalu, malah ke seluruh pelosok Sabah.
Adakah Rakyat Sabah Sudah Bersedia Untuk Bergerak Bersama?
Sekiranya agenda lima tahun ini diterjemah kepada tindakan yang jelas, tidak mustahil rakyat Sabah akan bergerak bersama kerajaan untuk membina sebuah negeri yang lebih makmur dan sejahtera. Realitinya, pembangunan bukan hanya terletak di bahu kerajaan.
Ia memerlukan sokongan seluruh masyarakat—daripada pemimpin komuniti, usahawan kecil, NGO hingga rakyat di akar umbi. Rakyat Sabah secara umum mahu perubahan, tetapi mereka juga mahu melihat kesungguhan dan ketelusan kerajaan dalam melaksanakan janji. Jika kerajaan konsisten, rakyat pasti akan menyokong.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Muafakat inilah yang menjadi asas gerakan pembangunan lima tahun mendatang. Inilah masa untuk bergerak ke depan untuk menjadikan Sabah bukan sekadar “Maju Jaya” di atas kertas, tetapi maju dalam kehidupan sebenar rakyatnya. Rakyat menunggu. Dan kali ini, mereka menilai dengan lebih tajam.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Kanan Seksyen Berita TV RTM, Mohd Fauzee Jaffar.