ULASAN BERITA
24 November 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Sekali gus, membuka lembaran baharu pembentukan Kerajaan Perpaduan yang membawa gagasan Malaysia MADANI.
Isnin ini, genap tiga tahun umurnya. Dalam tempoh itu, kerajaan berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup rakyat, ketidaktentuan ekonomi global, serta kedudukan fiskal negara yang perlu diperkukuh semula. Inisiatif demi inisiatif dilaksana untuk menanganinya.
Namun timbul persoalan, sejauh mana rakyat benar-benar merasai manfaat dasar bawah payung MADANI?
Di peringkat paling asas, bantuan kerajaan bermula di dapur dan bakul makanan keluarga melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Menerusi SARA, segenap keluarga dipastikan ada makanan di atas meja. Pada 2024, SARA memanfaatkan lebih 700 ribu isi rumah miskin dan miskin tegar. Setiap keluarga menerima RM100 sebulan selama setahun, menggunakan MyKad di premis terpilih.
Tahun 2025 menyaksikan langkah yang jauh lebih besar. Kira-kira 5.4 juta penerima layak mendapat bantuan SARA sehingga RM2,100 setahun, peningkatan sekitar 75 peratus berbanding 2024.
Buat pertama kali juga, penggunaan MyKad sebagai medium bantuan ini diseragamkan dan diperluas sepenuhnya ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Melalui Belanjawan 2025, kerajaan turut memperkenalkan penghargaan SARA, bantuan sekali beri berjumlah RM100 kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas.
Bagi kebanyakan isi rumah, inilah beza antara “cukup-cukup makan” dengan “ada sedikit ruang bernafas”.
Pada masa sama, rakyat turut dibantu melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan asas.
PJRM bukan lagi program bermusim, tetapi dianjurkan sepanjang tahun dengan pelbagai bentuk sama ada di pasar, kampus, kawasan perumahan, termasuk melalui trak jualan bergerak.
Setakat 24 Oktober lalu, PJRM di seluruh negara merekodkan sekitar 21 juta transaksi dengan nilai jualan melebihi RM800 juta.
Satu lagi komponen besar dalam perbelanjaan bulanan ialah kos pengangkutan, khususnya petrol. Selama ini, subsidi petrol dinikmati semua pihak tanpa mengira kaya atau miskin, warganegara atau bukan warganegara.
Namun bawah Kerajaan MADANI, konsep subsidi bersasar diperkukuh melalui Program Budi Madani RON95 atau BUDI95.
Warganegara Malaysia yang layak dan memiliki lesen memandu sah menikmati harga RON95 pada kadar subsidi sekitar RM1.99 sen seliter, dengan siling kelayakan 300 liter sebulan bermula 30 September lalu. Bagi bukan warganegara, harga yang dikenakan ialah tanpa subsidi, sekitar RM2.60 sen seliter.
Pendekatan ini membawa dua kesan utama. Pertama, membantu mengekalkan kos pengangkutan harian rakyat biasa pada kadar yang lebih terkawal. Kedua, mengurangkan ketirisan subsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Mengawal kos barang dan petrol sahaja tidak mencukupi jika pendapatan rakyat kekal pada tahap lama. Di sinilah pelarasan gaji menjadi komponen penting dalam rangka dasar MADANI.
Salah satu pengumuman terbesar ialah kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus, berkuat kuasa 1 Disember 2024. Ia peningkatan tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, menjadikan gaji dan elaun tetap, meningkat daripada sekitar 1,795 kepada lebih RM2,000 sebulan.
Untuk sektor swasta, kerajaan melaksanakan pelarasan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan melalui Perintah Gaji Minimum 2024. Pelarasan bermula Februari 2025 dan kini dikuatkuasakan sepenuhnya ke atas semua majikan di seluruh negara mulai 1 Ogos 2025.
Di sebalik semua bantuan diberi, tiga tahun berlalu tanpa sepi kritikan terhadap Kerajaan MADANI. Ada yang merasakan perubahan masih perlahan. Ada juga menganggap tekanan hidup belum cukup reda.
Namun, jika dinilai secara keseluruhan, kita dapat melihat pola dasar yang konsisten menerusi usaha menambah pendapatan, mengurangkan beban perbelanjaan asas dan mengagihkan subsidi dengan lebih adil.
Ulang tahun ketiga Kerajaan Madani pada 24 November ini, serta penganjuran program “Rancakkan MADANI” di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Disember, bukan sekadar acara simbolik.
Ia juga ruang untuk rakyat menilai sendiri sejauh mana dasar-dasar ini sampai ke dapur, pam minyak dan slip gaji masing-masing. Selepas tiga tahun Malaysia MADANI, jawapannya bukan hanya pada angka, tetapi pengalaman harian setiap rakyat Malaysia.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Faris Izzat Shaharudin.