fb fb fb fb fb

Bah Undi 2025: Pesta demokrasi, 74 calon bertanding atas tiket bebas

Anak-anak muda mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Bersama PMX Sayang Sabah Dengan Pemuda Inanam pada 27 Nov. 2025/BERNAMA

ULASAN BERITA

Pesta demokrasi Sabah kini kembali. Seramai 596 calon bertanding melibatkan 24 parti politik bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan (DUN) Sabah. Menariknya, dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-17 ini juga, 74 calon bertanding atas tiket bebas.

Pesta demokrasi kali ini turut dimeriahkan dengan penampilan calon termuda, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin berusia 24-tahun yang bertanding di DUN Silam. Calon tertua, Uling @ Thomas Anggan, 86-tahun pula di DUN Bingkor.

Lebih unik, DUN Tulid yang kali pertama dipertandingkan pada PRN lepas, menyaksikan persaingan sengit 14 penjuru, memecahkan rekod sebelum ini di DUN Bengkoka yang melibatkan pertembungan 11 penjuru.

Ini diikuti DUN Bandau, Tamparuli, Inanam serta Kapayan masing-masing 13 penjuru manakala DUN Banggi dan Moyog masing-masing merekodkan persaingan 12 penjuru.

Paling sedikit pun empat penjuru iaitu di DUN Senallang dan DUN Merotai. Empat Timbalan Menteri Persekutuan juga ikut bertanding.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup merangkap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mewakili BN berdepan saingan lima penjuru di DUN Sook.

PH pula mempertaruhkan Timbalan Pengerusi DAP Sabah Datuk Chan Foong Hin di Tanjung Aru.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu dicabar lapan calon lain. Manakala Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin daripada BN di DUN Bongawan berdepan sembilan penjuru.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Mohammad Yusof Apdal pula berdepan lapan penjuru di DUN Silam.

Dua bekas Ketua Menteri turut "masuk gelanggang”, iaitu Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di DUN Senallang.

Manakala Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, mewakili BN akan mempertahankan DUN Usukan dalam saingan enam penjuru.

Sementara Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pula bertekad mempertahankan kerusi Sulaman.

Sesungguhnya, tempoh lima tahun pentadbiran Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri berjaya memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negeri.

Kejayaan ini tidak hanya dirasai melalui angka dan statistik, tetapi diterjemah melalui pelaksanaan projek serta dasar strategik yang memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Romzi Ationg berpandangan pelaksanaan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ), menjadi tunjang pembangunan negeri.

SMJ menjadi pemangkin kepada hasil negeri tertinggi dalam sejarah, selain merancakkan pertumbuhan sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian.

Tahun lalu Sabah berjaya menarik pelaburan mencecah RM11.34 bilion, merangkumi projek-projek berskala besar yang mampu membuka ribuan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

Hasil negeri juga melonjak kepada RM6.9 bilion pada 2023. Kejayaan turut diperkukuh dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang meningkat daripada 77.8 bilion ringgit kepada 84.3 bilion ringgit.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, peningkatan KDNK secara konsisten mencerminkan pembangunan yang sedang rancak berlaku di negeri itu. Beliau juga menegaskan hubungan erat antara kerajaan negeri dengan Persekutuan telah menghasilkan pulangan besar buat Sabah.

Tambahan pula dengan pemberian khas sebanyak RM600 juta kepada Sabah tahun ini bakal memacu sektor tenaga dan infrastrukur yang kini menjadi tumpuan utama kerajaan negeri.

Tambah beliau, projek-projek yang sebelum ini tertangguh kini kembali digerakkan. Ini termasuk memudahkan urusan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jadi ayuh rakyat Sabah. Tunaikan tanggungjawab anda. Mengundi bukan sekadar proses memilih wakil rakyat, tetapi detik penting bagi menentukan arah masa depan negeri anda.

Setiap undian pastinya membawa seribu makna. Undian anda bukan hanya menentukan wakil rakyat, tetapi penentu hala tuju Sabah untuk lima tahun akan datang. Gunakan hak demokrasi ini sebaiknya.

Bah undi 2025.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Noorain Abdullah.

MAT YUNUS BIN SABRI