ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 8
"Genggam bara api biar sampai jadi arang."
Bermaksud, teruskan berusaha dengan tabah dan sabar walau menghadapi kesusahan hingga mencapai kejayaan. Pepatah Melayu ini menggambarkan nilai ketekunan, kesabaran dan usaha tanpa pernah putus asa.
Kejayaan tidak datang secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada usaha yang berterusan, disiplin dan semangat juang yang cukup tinggi.
Manifestasi "Genggam bara api biar sampai jadi arang" inilah menjadi tunjang kejayaan Malaysia sebagai nakhoda ASEAN edisi 2025. Ketekunan, kesabaran serta kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengepalai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN benar-benar mencipta hasil. Bukan sekadar dihayati dan dihargai oleh negara jiran serantau, malah menjadi buah mulut di peringkat antarabangsa.
Amerika Syarikat memuji kepengerusian Malaysia yang dizahirkan sebagai “kukuh dan berkesan” dalam memacu kerjasama ASEAN. Ini terutama peranan Malaysia dalam membantu rundingan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja.
Penglibatan penuh Putrajaya dalam rundingan perdamaian itu juga menjadi salah satu sebab Presiden Donald Trump memilih menghadiri persidangan ASEAN di Kuala Lumpur. Beliau memberi jaminan bahawa negara-negara Asia Tenggara boleh bekerjasama dan mengharapkan Amerika untuk menjadi “rakan dan kuasa bersama” demi kesejahteraan generasi akan datang.
Malah semasa berucap pada Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan, Trump sekali lagi memperkukuh kenyataannya dengan pujian yang tidak henti-henti kepada Datuk Seri Anwar dan Malaysia.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan mengulangi pendirian negara kuasa besar dunia itu bahawa Malaysia adalah negara paling tepat seperti yang dijangkakan, bahkan Pengerusi ASEAN yang berpendirian kuat, teguh serta berkesan.
Malaysia yang pernah menjadi pengerusi ASEAN sebanyak dua kali sebelum ini pada 2005 dan 2015, disifatkan sebagai nakhoda yang berkemampuan setiap kali mempengerusikan blok berkenaan.
Nada serupa turut dizahirkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres yang menghargai serta mengiktiraf peranan Malaysia.
Di bawah kepengerusian ASEAN-Malaysia juga, kesepakatan dicapai dengan kerajaan Jepun pimpinan Perdana Menteri baharu Sanae Takaichi. Jepun komited untuk terus mendukung usaha memperkukuh integrasi ekonomi melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (R-CEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
China pula berikrar memberi sokongan kuat kepada perjanjian Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0. Kerjasama itu menandakan pembukaan lembaran baharu hubungan perdagangan, dengan keutamaan terhadap bidang ekonomi hijau, digital dan kesalinghubungan rantaian bekalan.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bagaikan buah tangan paling berharga dan istimewa kepada kini 11 negara anggota selepas Timor-Leste sah diterima masuk dalam ASEAN. Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN ditandatangani oleh para pemimpin Asia Tenggara.
Sebagai adik bungsu, Timor-Leste menegaskan takdir bersama ASEAN telah tertunai dan merasai nilai kekeluargaan serta persabahatan serantau yang amat kukuh dan mendalam.
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bertitah kemasukan ahli keluarga baharu itu sekali gus memaknai kehendak pertubuhan yang kolektif untuk integrasi yang lebih inklusif.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto melihat penyertaan Timor-Leste sebagai pencapaian bersejarah kepada komuniti ASEAN secara keseluruhan.
Manakala Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyifatkan ASEAN lebih bersatu dan berfokus di bawah kepengerusian Malaysia yang tenang dan berwibawa.
Turut senada, Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr.
Sambil memuji agenda kepengerusian Datuk Seri Anwar yang sangat menyeluruh, beliau mengakui kebanyakan perancangan berjaya disempurnakan sepanjang Malaysia menerajui ASEAN.
Sesungguhnya perjuangan mencari perdamaian serta persamaan sahaja mampu mencipta perubahan dunia yang lebih aman dan stabil.
Jika tidak, masakan negara-negara yang berselisih pandangan dan bersaing kuasa boleh bersatu dan duduk semeja di bumi Malaysia.
Renung-renungkan !
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Mohd Shari Saripan.