fb fb fb fb fb

Subsidi diesel RM200 mencukupi?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (kiri) melihat proses pendaftaran MySubsidi Diesel pada Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 pada 30 Mei 2024/Foto Bernama

ULASAN BERITA

Tidak sampai dua minggu selepas permohonan bagi Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI dibuka, Bantuan subsidi tunai akan mula disalurkan pada Isnin minggu depan. Setakat semalam, permohonan lebih 30,000 individu telah diluluskan.

Seperti dimaklumkan, program ini terbahagi kepada dua kategori iaitu BUDI Individu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, dan BUDI Agrikomoditi, melibatkan petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Bantuan tunai akan disalurkan melalui akaun bank penerima. Penerima tanpa akaun bank pula boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai dengan membawa MyKad ke mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Semenanjung. Seperti yang telah diumumkan, mereka bakal menerima subsidi diesel berjumlah RM200.00 sebulan.

Sejak pengumuman dibuat, timbul persoalan cukupkah RM200.00 untuk kegunaan sebulan? Mungkin disebabkan terlalu teruja, berlaku sedikit kekeliruan. Maklumlah dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar, sikap waspada jadi keutamaan.

Sebenarnya RM200.00 itu bukan diesel percuma, tetapi nilai subsidi yang diberi. Menerusi pendekatan baharu yang diperkenalkan, subsidi disalurkan terus kepada penerima yang benar-benar layak. Inilah yang dipanggil penyasaran semula subsidi. Kiraan kasarnya kira-kira begini:

Subsidi sebanyak RM1.18 Sen diberi bagi setiap liter diesel. Maka dengan RM200.00, penerima akan menikmati subsidi berjumlah kira-kira 169 liter sebulan. Untuk gambaran lebih jelas, andaikan kenderaan biasa boleh pergi 15 kilometer setiap satu liter. Dengan 169 liter, dapatlah 2,535 kilometer sebulan, bahagi 30, bersamaan 84.5 kilometer setiap hari.

Jika penggunaan purata tidak sampai 84.5 kilometer sehari. Anda akan menikmati perbelanjaan lebih rendah daripada biasa, walaupun tiada sebarang diskaun ditawarkan. Bukan sahaja cukup, malahan menjimatkan. Subsidi ini bukan sahaja diberi bagi tempoh sebulan, tetapi setiap bulan.

Selain nilai subsidi RM200.00, persoalan tentang kelayakan kenderaan mewah berusia lebih 10 tahun turut mendapat perhatian pengguna. Mereka mahu penjelasan sama ada pemilik kenderaan seumpama itu layak menerima subsidi.

Ini memandangkan antara kriteria kelayakan yang ditetapkan bawah kategori BUDI Individu adalah mempunyai kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ, selain kenderaan mewah yang berusia kurang daripada 10 tahun.

Menurut Menteri Kewangan II, senarai kenderaan yang diklasifikasikan sebagai mewah akan dikeluarkan. Untuk itu pihak kementerian juga akan mempertimbangkan kenderaan berusia lebih 10 tahun, terutama yang telah uzur.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung layak menikmati BUDI Individu. Manakala 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil, berkelayakan menerima manfaat BUDI Agrikomoditi.

Mereka yang belum memohon masih boleh berbuat demikian. Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun layak menerima bayaran untuk bulan ini dan bulan seterusnya. Permohonan yang dibuat selepas bulan ini bagaimanapun hanya layak menerima bayaran, bermula pada bulan depan.

Berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti yang tidak diluluskan adalah disebabkan tidak memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan. Antaranya petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar dengan kementerian berkaitan. Mereka diingatkan agar berbuat demikian sebelum mengemukakan permohonan.

Bagi permohonan yang tidak diluluskan, pemohon dimiinta membuat semakan permohonan dan mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI. Walaupun permohonan dibuka sepanjang tahun, pemilik kenderaan diesel yang layak dinasihatkan agar segera rebut subsidi tunai ini agar tidak ketinggalan.

BUDI MADANI dirumuskan khas buat anda. Program ini sebahagian inisiatif kerajaan mengekang kegiatan penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat. Dalam masa sama membendung kenaikan kos sara hidup.

Walaupun berhadapan kritikan bertalu pihak tertentu, kerajaan mengambil langkah berani mengapungkan harga diesel. Dengan sasaran menjimatkan wang negara sehingga RM4 bilion setahun, yang akhirnya dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai projek. Ini bukan masa untuk retorik populis.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI