fb fb fb fb fb

BUDI MADANI bantuan bersasar kekang ketirisan subsidi

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Umum mengetahui mengenai keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga diesel. Langkah itu perlu, bagi mengekang ketirisan subsidi diesel yang menyebabkan negara mengalami kerugian besar kira-kira RM4.5 juta sehari.

Pada masa sama, kerajaan masih perlu menanggung subsidi diesel sebanyak RM1 bilion, setiap bulan.

Menerusi penstrukturan semula pemberian subsidi akan memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan, dibantu. Sekali gus, menjimatkan wang negara sebanyak RM4 bilion setahun yang akhirnya dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai projek.

Jika dilihat data Kementerian Kewangan, jumlah peruntukan bagi subsidi diesel meningkat 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada 2019 kepada RM14.3 bilion pada 2023.

Peningkatan ini, bukan sahaja kerana harga diesel meningkat di pasaran, tetapi juga jumlah diesel bersubsidi yang digunakan meningkat akibat ketirisan daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter, tahun lepas.

Ketirisan meningkat disebabkan perbezaan harga yang ketara antara harga runcit diesel di pam dengan harga pasaran.

Diesel di Malaysia dijual pada harga RM2.15 sen seliter, antara yang termurah di dunia. Sedangkan harga pasaran mencecah RM3.50 sen seliter.

Disebabkan itu, terdapat keperluan untuk mengurangkan jurang perbezaan ini. Pada masa sama, kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk mengelak golongan susah, terbeban?

Caranya, memperkenalkan bentuk bantuan baharu, iaitu Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI). Menerusi BUDI MADANI, mereka yang layak akan menerima bantuan tunai RM200 yang akan dikreditkan ke dalam akaun penerima, setiap bulan.

Permohonan telah pun dibuka Selasa lalu dan boleh dibuat sepanjang tahun menerusi portal 'budimadani.gov.my'.

Bawah BUDI MADANI terdapat dua kategori, iaitu BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang memenuhi kriteria ditetapkan boleh membuat permohonan bawah kategori BUDI Individu. Manakala petani, penternak, serta pekebun kecil komoditi boleh memohon bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

Antara kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu - memiliki kenderaan diesel persendirian yang didaftar atas nombor kad pengenalan penerima. Kenderaan dimiliki juga perlu mempunyai cukai jalan yang aktif. Selain pendapatan tahunan individu atau pasangan, RM100,000.00 dan ke bawah.

Setiap permohonan akan disemak silang dengan data Lembaga Hasil Dalam Negeri, bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).

Bagi kategori BUDI Agri-Komoditi pula, dua syarat ditetapkan. Pemohon perlu berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, pemohon merupakan petani atau pekebun kecil yang aktif dengan hasil jualan tahunan antara RM50,000.00 hingga RM300,000.00.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima bantuan pertama menjelang pertengahan Jun. Manakala, bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima bantuan pertama dalam tempoh dua minggu.

Program BUDI MADANI melengkapi program penyasaran subsidi diesel menerusi pemberian 'Kad Flit' bawah Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0.

Di sebalik inisiatif kerajaan membendung ketirisan subsidi diesel, ada pihak mempertikaikan mengapa perlu mendaftar untuk mendapatkan bantuan menerusi BUDI MADANI? Sedangkan mereka telah pun memberikan maklumat diri menerusi Pangkalan Data Utama (PADU).

Menjawab soalan itu, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, pendaftaran menerusi program BUDI MADANI bertujuan merapatkan potensi jurang dalam hab PADU.

BUDI MADANI juga berfungsi sebagai inisiatif untuk individu yang mungkin terlepas tarikh akhir mendaftar PADU, 31 Mac lalu.

Jika diteliti maklumat yang perlu diisi dalam pangkalan data BUDI MADANI dan PADU, sebenarnya tidak sama. Maklumat yang diminta BUDI MADANI hanya tertumpu kepada perincian mengenai kenderaan.

Butiran ini tidak diminta oleh PADU yang menumpu kepada pendapatan individu dan isi rumah. Hakikatnya, BUDI MADANI mencerminkan ikhtiar bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel komprehensif, cekap dan berkesan. Serta majoriti rakyat dilindungi.

Jadi, segera rebut manfaat BUDI MADANI. Pastikan jujur, isi data yang tepat.

Ulasan berita ini disediakan oleh Masniza Awang Kechik, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI