ULASAN BERITA
Negara boleh berjimat sekitar RM4 bilion apabila penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kelak. Ia bukan angka yang sedikit. Ketika ini kerajaan terpaksa menanggung subsidi diesel RM1 bilion setiap bulan.
Perbezaan harga pasaran mendorong penyeludupan ke negara jiran selama bertahun-tahun. Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan bahawa Malaysia catat kerugian kira-kira RM4.5 juta, sehari kerana ketirisan. Menyebabkan subsidi menyeluruh tidak dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Untuk itu, penyasaran subsidi diesel diumumkan kerajaan, ada asasnya. Ia kerana selama ini subsidi bahan bakar itu sering diseleweng. Tiris di mana-mana. Benar. Betapa ruginya kita sebagai pengguna.
Menurut laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kegiatan penyeludupan diesel rentas sempadan menyebabkan Malaysia rugi RM1.25 juta, sehari. Malah wujudnya kenderaan asing berulang alik melalui sempadan Malaysia-Thailand sehingga lima kali sehari.
Satu trip perjalanan itu saja, sudah boleh menyebabkan kerugian kira-kira RM250 ribu berdasarkan kapasiti diesel yang dibawa. Jadi, rata-rata rakyat Malaysia menganggap ia suatu pengeksploitasian bantuan yang merugikan negara.
Kegiatan tidak bermoral itu ibarat patah tumbuh hilang berganti. Dalam erti kata lain, sudah dibanteras pun sindiket masih berleluasa. Mengambil contoh subsidi bahan bakar itu kepada nelayan yang sering disalah guna.
Ketegasan diambil dengan penambahbaikan SOP Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, tidak lagi membenarkan nelayan membeli diesel bersubsidi secara pukal. Langkah itu bagi mencegah penyelewengan. Jumlah pembelian pula perlu mengikut jenis bot dikendalikan.
Ya. Memang patut pun. Pernah tak kita terfikir berapa banyak kerugian ditanggung kerajaan akibat penyelewengan? Berapa pula kerugian akibat subsidi tersebut diterima oleh golongan tak sepatutnya? Renung-renungkanlah.
Berbalik kepada penyasaran subsidi terhadap diesel untuk pengguna di Semenanjung, tanpa melibatkan Sabah dan Sarawak. Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perutusan Negara, hanya golongan sasar terlibat. Antaranya pengusaha bas, teksi dan nelayan terpilih.
Golongan T20, dan warga asing anda tidak terlibat dengan penyasaran subsidi. Tahniah PMX. Ia adalah langkah berani. Mengambil kira pelbagai aspek bagi meminimumkan impak tekanan hidup rakyat.
Ini diakui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ahli parlimen, golongan pensyarah, para penasihat ekonomi. Sebagai pengguna, kita harus sedar segala usaha kerajaan pastinya berbalik kepada rakyat Malaysia itu sendiri.
Bantuan dalam pelbagai bentuk, boleh dinaikkan. Pembangunan negara kian pesat, dan pelaksanaannya perlu kekal untuk jangka masa panjang.
Profesor ekonomi Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng mengakui rasionalisasi itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi. Mengukuhkan kedudukan fiskal negara, mempertingkatkan peruntukan sumber.
Bagi Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid penjimatan subsidi diesel akan disalurkan kepada program bayaran tunai, serta meningkatkan daya saing sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang akan meningkatkan daya saing negara.
Semestinya kerajaan Madani prihatin kepada rakyat. Perdana Menteri juga beri komitmen penyelarasan pemberian subsidi diesel membolehkan kebajikan rakyat mendepani kos sara hidup, terus terpelihara.
Bukti anjakan pengurusan kewangan negara jelas dilihat, kerana penjimatan dapat digunakan dengan menambah baik bantuan kepada rakyat. Khususnya, sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Kendatipun begitu, peniaga khususnya diharap TIDAK menaikkan harga barangan sesuka hati. Jangan ambil kesempatan dalam kesempitan. Ada pihak yang memerhati. Jaga-jaga peniaga yang cuba cekik darah, ada tindakan tegas bakal menanti.
Aduan boleh disalur kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Di sebalik penyasaran subsidi bahan api diesel, timbul pula cadangan daripada persatuan pengguna. Kerajaan disaran melakukan projek rintis terlebih dulu.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor, Datuk Seri Dr Jacob George berpandangan, projek selama enam bulan perlu, bagi melihat impak atau kesan terhadap masyarakat.
Tetapi, ada juga cakap-cakap belakang. Mempertikaikan usaha kerajaan. Asyik berfikiran negatif.
Sabarlah, tenang. Setiap perkara perlu diteliti. Keputusan ini babitkan lebih 33 juta rakyat Malaysia. Kalau hendak beli sebuah kereta pun, kadang-kadang kita perlu buat keputusan berbulan-bulan lamanya. Nanti tersalah, menyesal pula.
Tunggulah nanti bagaimana kaedah pelaksanaan sesuai. Adakah menggunakan kad pengenalan? data Pangkalan Data Utama (PADU)? Kupon? Kod QR? Atau Sistem pengenalan digital seperti cadangan Pemerhati Rasuah Malaysia?
Tentunya, pihak berkuasa lebih bijak menentukan kaedah terbaik. Kepada pihak-pihak yang cuba memutar belit usaha kerajaan memajukan negara.
Sedar-sedarlah. Cakap-cakap kosong tidak membantu pun. Berusahalah kita mencapai 6 Nilai Teras Malaysia MADANI.
Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid , editor Berita Radio RTM.