fb fb fb fb fb

ASEAN+3, menjulang iltizam menjadikan rantau Asia Timur lebih inklusif

PM China, Li Qiang (dari kiri), Menteri Luar Jepun, Motegi Toshimitsu dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pada Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-28 di KLCC pada 27 Okt. 2025/BERNAMA

ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 6

Jika ditanya apa yang membuatkan ASEAN semakin makmur dan kukuh sebagai blok serantau..banyak sebab boleh disenaraikan.

Satu daripadanya, sokongan dan peranan penting yang dimainkan tiga negara kuasa ekonomi dunia, iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Menerusi Sidang Kemuncak ASEAN+3 kali ke-28, ASEAN bersama-sama rakan dialog; China, Jepun dan Korea Selatan, memperbaharu komitmen untuk meningkatkan kerjasama menjadikan rantau ini selamat, makmur, inklusif dan saling berhubung.

Bagaimana ia boleh direalisasikan?

ASEAN cukup bertuah kerana negara kuasa besar; China sedia bekerjasama untuk membentuk kuasa yang lebih besar, sekali gus menyingkirkan campur tangan pihak luar di rantau ini.

Dengan meningkatkan kerjasama dan persahabatan, China dan ASEAN dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil, serta mendepani risiko dan cabaran ke arah membina masa depan lebih baik.

Menguatkan lagi sokongan Beijing, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang dipertingkat dimeterai, menandakan fasa baharu dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala.

Tambah menguntungkan apabila Jepun menegaskan semula komitmennya terhadap ASEAN, termasuk menerusi pembiayaan dana kecemasan segera dalam krisis dan keterjaminan makanan, khususnya simpanan beras kecemasan.

Selain tekad untuk terus memperkukuh kerjasama keselamatan ekonomi dalam bidang seperti semikonduktor dan mineral penting.

Korea Selatan pula sedia mempertingkat kerjasama di bawah kerangka Perkongsian Strategik Menyeluruh. Tumpuan diberi kepada pemindahan teknologi, pembangunan AI dan keselamatan siber.

Tambahan kepada kerjasama yang sedang berjalan, Malaysia menggesa ASEAN campur tiga meneruskan usaha menubuhkan rizab bekalan perubatan.

Ia penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan rantau Asia Timur, menghadapi sebarang darurat kesihatan awam pada masa depan, seperti pandemik COVID-19 sebelum ini.

Kesemua kerjasama dan inisiatif yang sedang berjalan pastinya menguntungkan negara-negara anggota ASEAN.

Selain berasa selamat ibarat kerana ada tiga 'Abang Besar', setiap negara ASEAN boleh memanfaatkan kerjasama berkenaan, untuk memajukan negara sendiri.

Banyak negara tentu berminat melabur di rantau ini yang berjumlah 692 juta penduduk.

Blok ASEAN yang menyumbang 7.3 peratus kepada pertumbuhan global dan memiliki nilai ekonomi lebih 4 trilion dolar, menjadikannya ekonomi keempat terbesar dunia.

Sesungguhnya dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap; ASEAN yang disokong China, Jepun dan Korea Selatan akan terus stabil, mampan dan berkembang untuk generasi akan datang.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Rahmat Ashari.

MAT YUNUS BIN SABRI