ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 5
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berjaya memperlihatkan ketegasan Malaysia dan pertubuhan itu dalam memperjuangkan isu kemanusiaan, khususnya nasib rakyat Palestin di Gaza.
 
 Walaupun ada yang meragui kemampuan negara dan ASEAN dalam menyuarakan isu Gaza, hakikatnya pertubuhan negara serantau itu tidak pernah berdiam diri.
 
 Sepanjang persidangan berlangsung, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN kekal konsisten dan tegas mendesak agar penyelesaian terhadap konflik di Gaza bersifat menyeluruh dan berkekalan.
 
 ASEAN turut menghargai usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang memperkenalkan Pelan Damai Gaza pada awal Oktober lalu, merangkumi 20 perkara utama dalam usaha menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.
 
 Pelan tersebut disifatkan sebagai langkah awal yang penting dan kritikal ke arah menghentikan kekejaman serta jenayah kemanusiaan yang berlarutan di Gaza.
 
 Melalui pelan berkenaan, penghantaran bantuan kemanusiaan digerakkan ke Gaza, termasuk proses pembebasan tebusan.
 
 Namun, Malaysia tetap berpendirian bahawa keamanan sejati hanya akan tercapai melalui penyelesaian yang tuntas dan menyeluruh.
 
 Di pentas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan dengan jelas pendirian Malaysia dan ASEAN — bukan hanya dalam mesyuarat rasmi, tetapi juga pada setiap kesempatan pertemuan dengan pemimpin dunia, termasuk Presiden Trump sendiri.
 
 Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika ke-13, Datuk Seri Anwar dengan tegas menuntut keperluan penyelesaian itu yang menyeluruh dan berkekalan.
 
 Pendekatan diplomasi Putrajaya turut diteruskan dalam pertemuan berasingan bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa. Kedua-duanya senada mahu tindakan segera komuniti antarabangsa menghentikan kekejaman yang berlaku di Gaza.
 
 Manakala dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Malaysia menyatakan kesediaan untuk menyertai Misi Pengaman PBB ke Gaza bersama negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
 
 Sesungguhnya, perjuangan untuk melihat keamanan kekal di bumi Gaza bukan mudah, namun tidak mustahil.
 
 Dengan kesungguhan, kebijaksanaan diplomasi, dan semangat perpaduan serantau, Malaysia dan ASEAN diyakini mampu memainkan peranan penting ke arah keamanan sejagat yang berkekalan.
 
 Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Norhashidah Mohd Sharif.