ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 4
Kepimpinan bukan soal siapa paling kuat, tetapi siapa paling mampu mendengar dan mencari titik tengah.
Selama banyak tahun Thailand dan Kemboja berselisih faham tentang sempadan mereka,
tapi akhirnya kedua-dua negara setuju untuk duduk semeja di Kuala Lumpur dan Malaysia menjadi orang tengahnya.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 disifatkan antara pencapaian diplomatik terbesar rantau ini sejak penubuhan Piagam ASEAN.
Selaku pengerusi ASEAN, Malaysia ibarat “abang sulung” yang mendamaikan dua adik yang bergaduh, tanpa perlu meninggikan suara.
Rentetan itu, ada yang melabel Kuala Lumpur sebagai pusat dialog kuasa besar dunia.
Ada pula yang melihat Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, keluar dari norma lama, bukan lagi sekadar acara simbolik kesatuan serantau.
Cakap-cakap tentang kejayaan Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur juga tidak terhenti selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump misalnya, terus bercerita.
Kali ini, menjadi antara isi ucapan Trump pada Sidang Kemuncak CEO APEC Korea 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.
Katanya “Malaysia sangat hebat dan membantu melaksanakan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.
Sejurus perjanjian damai ditandantangani, pengunduran senjata berat oleh kedua-dua negara terus dilaksana di lapangan di bawah pengawasan pasukan pemantau AOT.
Inilah komitmen Malaysia, bukan sahaja menerajui usaha damai di peringkat kepimpinan negara, malah hingga ke pelaksanaan sebenar di lapangan.
Syabas juga diucapkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terus menjulang nama negara.
“Yang pipih tak akan datang melayang, yang bulat tak akan datang bergolek” — kejayaan ini hasil usaha gigih dan kebijaksanaan dalam memimpin.
Sekali gus, membawa lonjakan besar kepada modal diplomasi Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, reputasi Malaysia sebagai negara sederhana, stabil dan bijak berunding semakin kukuh.
Negara luar kini melihat Malaysia sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai dalam menyelesaikan konflik dan memupuk kerjasama.
Diplomasi Malaysia ibarat “benih yang disemai lama”, kini sudah mula berbuah hasil.
Pengaruh yang terbina bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam bidang ekonomi, pelaburan dan keselamatan serantau.
Apabila ASEAN stabil, ekonomi serantau pun berkembang lebih rancak.
Bagi Malaysia sendiri, ini bermakna peluang baharu — dari sektor logistik, pelaburan, hingga ke perdagangan.
Bila jiran aman, rumah kita pun tenang.
Pendek kata, Malaysia memilih jalan damai, bukan konfrontasi.
Inilah “kuasa lunak” atau soft power yang menjadi kekuatan sebenar kita.
Dalam dunia yang semakin tegang, suara yang tenang seperti Malaysia inilah yang sebenarnya membawa harapan.
Kuasa yang paling berharga bukan pada senjata, tapi pada kepercayaan dan kebijaksanaan.
Selagi kita berpegang pada prinsip itu, Malaysia akan terus bersinar sebagai jambatan keamanan di rantau ini — dan sekali gus membina masa depan yang lebih selamat untuk semua.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Mohd Fauzee Jaffar.