ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 3
Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang berjaya menghimpunkan ramai pemimpin utama dunia menandakan kejayaan besar Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Keberhasilan mencapai kata sepakat dengan anggota blok dan rakan strategik dalam pelbagai isu keselamatan, maritim, ekonomi dan pembangunan serantau menyerlahkan kebijakan diplomasi Putrajaya.
Malaysia dilihat berjaya memainkan peranan penting sebagai pendamai yang jujur atau ’honest broker’ dalam penyelesaian konflik dan keamanan serantau.
Pendekatan inklusif dan pragmatik yang diketengahkan memberi ruang sepenuhnya kepada semua pihak bersuara.
Sekali gus memperkukuh prinsip Kepusatan ASEAN yang mengangkat peranan pentingnya iaitu bagi memastikan ia kekal relevan memelihara kestabilan rantau ini.
Antara pencapaian penting ialah termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur membabitkan Thailand dan Kemboja, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Perjanjian itu telah membuka jalan kepada pengunduran senjata berat di sempadan dua negara berjiran dan pembebasan tahanan.
Dalam isu sempadan maritim yang bertindih di Laut China Selatan, Malaysia kekal neutral dan rasional meski pun berstatus negara penuntut atau claimant state.
Pokoknya, sebarang pertikaian mesti diselesaikan berlandaskan undang-undang antarabangsa dan konsensus ASEAN.
Oleh kerana itu juga, negara mahu terus mempergiatkan usaha memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan bagi mengelak ketegangan di kawasan tersebut.
Malah ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, Datuk Seri Anwar mengingatkan bahawa isu itu boleh menjadi lebih rumit untuk ditangani jika ia dilihat sebagai sesuatu yang dipaksa atau akhirnya ditentukan oleh kuasa luar.
Sambil itu, beliau turut menekankan perlunya ASEAN memilih “dialogue over coercion” iaitu mengutamakan rundingan atau diplomasi berbanding paksaan; dan menyeru penyelesaian damai terhadap isu politik Myanmar selain krisis Gaza.
Ke semua itu membuktikan, satu pencapaian bersejarah yang menyerlahkan keupayaan Malaysia sebagai pemangkin diplomasi damai ASEAN serta simbol kesepaduan serantau dalam menjunjung keamanan dunia.
Malah Presiden Trump sendiri masih menyebut tentang ketokohan pemimpin negara meski setelah beberapa hari berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN.
Sesungguhnya, kejayaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN kali ini berhasil memperlihatkan kematangan dan keupayaan negara mengimbangi kuasa besar, memacu keamanan, dan menonjolkan ASEAN sebagai blok yang berprinsip dan berperikemanusiaan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Yunus Sabri.