fb fb fb fb fb

ACFTA 3.0, Lembaran baharu hubungan ekonomi ASEAN-China

PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PM China Li Qiang pada majlis menandatangani Protokol Naik Taraf ACFTA 3.0, oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China Wang Wentao/BERNAMA

ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 2

Kejayaan negara menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan baru-baru ini wajar menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar, ia membuktikan kemampuan negara mengimbangi hubungan antarabangsa dengan prinsip berkecuali dan kesederhanaan.

Apa lagi dengan, penganjuran acara besar itu yang berjaya mendapat liputan meluas terutama dari media antarabangsa.

Kira-kira 3,000 pengamal media tempatan dan luar negara berkumpul di Kuala Lumpur bagi melaporkan segala detik bersejarah sepanjang persidangan tersebut.

Ini termasuk semasa Majlis Penandatanganan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

Pemuktamadan protokol yang dipertingkat diadakan sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28.

Dengan versi pertama perjanjian perdagangan bebas yang dilaksana sepenuhnya pada 2010, ia terus diperkukuh pada sekitar 2019 menerusi pengemaskinian peraturan asal.

Versi ACFTA 3.0 yang ditandatangani baru-baru ini sekali gus menandakan pembukaan lembaran baharu hubungan perdagangan ASEAN-China dengan memasukkan bidang kerjasama moden yang relevan dengan cabaran semasa.

Ia memberi tumpuan kepada bidang kerjasama ekonomi seperti ekonomi hijau, digital dan kesalinghubungan rantaian bekalan.

Peluasan bidang kerjasama seumpamanya bertujuan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

Jadi tidak hairanlah apabila media tempatan dan antarabangsa secara konsisten memberikan ulasan positif terhadap kesepakatan yang berjaya dicapai dalam kerjasama antara negara ASEAN dengan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Mereka senada terhadap protokol yang telah dipertingkat tersebut. Menggambarkan ia sebagai kerjasama menguntungkan kepada kedua-dua belah pihak.

Malah media China terutama menerusi saluran berita rasmi Xinhua, China Daily dan Global Times turut mengaitkannya sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi rantau Asia yang inklusif.

Kerjasama berkenaan dilihat berupaya membuka peluang lebih besar kepada pemain industri khasnya dalam sektor ekonomi digital untuk menembusi pasaran ekonomi China dan ASEAN.

Inilah masa paling tepat untuk kapten industri dan perusahaan mempergiat usaha merebut peluang di tengah-tengah landskap perdagangan yang lebih kompetitif.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Affendi Abdul Karim.

MAT YUNUS BIN SABRI