fb fb fb fb fb

Diplomasi cara Malaysia, tidak semestinya menang semua

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump pada mesyuarat dua hala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025/BERNAMA

ULASAN BERITA KHAS ASEAN SIRI 1

Tanggal 26 Oktober, Kuala Lumpur bukan sekadar menjadi hos Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Ia menjadi pentas geopolitik dunia, tempat kuasa besar menilai semula siapa sebenarnya sedang mengatur langkah di Asia Tenggara. Di tengah segala debar itu, hadir seorang tokoh yang tidak pernah sepi dari tajuk utama: Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump.

Kehadiran beliau di bumi Malaysia, apatah lagi di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia, adalah isyarat paling jelas yang perlu dibaca oleh sesiapa sahaja, terutamanya buat mereka yang tersindir dan tidak senang dengan pendekatan seni diplomasi moden.

Ini bukan tentang siapa tunduk atau siapa berkuasa. Ini tentang siapa pandai membaca masa dan memanfaatkan peluang, meletak objektif dan praktikal ketimbang ideologi, yang sinonim dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selama ini, kita sering mendengar kritikan sinis, malah kecaman dangkal, bahawa Perdana Menteri beri muka atau silap percaturan memilih rakan diplomatik. Kata mereka, kehadiran pemimpin seperti Trump, yang dilabelkan keras kepala atau rakus, hanya mencemarkan aspirasi dan imej Malaysia.

Tapi diplomasi bukanlah gelanggang gusti. Kadang yang nampak lembut itulah yang paling bijak menundukkan keras dengan akal, bukan otot.

Jika masih ingat slogan Ekonomi MADANI bukan sekadar tentang angka dan peruntukan, tetapi juga tentang kedudukan strategik Malaysia di mata rantau dan dunia. Dan di sinilah keupayaan Perdana Menteri diuji, bukan ketua negara sahaja, tetapi cabaran menyerlahkan peranan Pengerusi ASEAN 2025.

Pasca sidang, pasti sunyi jika tiada bising-bising, cakap-cakap nakal. Biarlah. Sejarah tidak ditulis oleh mereka yang bising, sebaliknya oleh mereka yang berani membuat keputusan. Keputusan itu jelas, Malaysia berjaya menghimpunkan kuasa besar dunia di bawah satu bumbung, dengan tertib, hormat, dan maruah.

Paling terpahat di ingatan, sudah pasti pendekatan sahabat, ramah, humor dan diplomasi peribadi unik untuk meleraikan dinding tebal yang sering menyelubungi pemimpin berprofil tinggi seperti Presiden Trump khasnya.

Hubungan Kuala Lumpur-Washington sebelum ini bukanlah berantakan, namun dalam memastikan ia kekal utuh sebagai sumber pelaburan asing terbesar negara, kehadiran Trump walau selama 24 jam seperti ulasan banyak pihak, mampu mengangkat hubungan itu ke aras yang lebih signifikan.

la juga beri isyarat kepada seluruh rantau ASEAN, benua Asia, dan juga blok-blok luar Asia, bahawa Malaysia bukan lagi sekadar negara neutral yang duduk di tepi. Kita boleh menjadi orang tengah yang dihormati, pendamai yang dipercayai, dan fasilitator yang mampu membawa pelbagai pihak ke meja rundingan.

Mengapa keyakinan ini begitu tinggi? Ia terpancar daripada momen bersalaman yang tular; daripada senyum lebar dan bahasa tubuh yang santai antara kedua-dua pemimpin, ulasan lunak pujian tandatangan hinggalah ketika Trump menjemput Datuk Seri Anwar menaiki The BEAST.

Itu bukan ehsan. Itu mesej bahawa Malaysia dihormati. Kenyataannya, ia detik bersejarah yang manis dalam sejarah kehadiran Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia, buat kali ketiga.

la adalah simbolik diplomatik paling tinggi. Bagi seorang pemimpin yang terkenal dengan sifat berhati-hati dan protokol yang ketat, ia adalah pengiktirafan peribadi terhadap keupayaan Perdana Menteri, serta pernyataan sudut pandang kuasa besar terhadap negara kecil, namun kaya budaya seperti Malaysia.

Begitu pun, masih ada yang tambah perisa, Trump mesra, jadi apa? Pelaburan tambah berbilion ringgit? Atau Gaza tiba-tiba aman tiada tempurnya?

Seni strategi politik inilah yang masih belum ramai mengerti. la strategi soft power yang ampuh. Gergasi media antarabangsa BBC kata, bahawa Malaysia kini lebih stabil berbanding jiran, pelabur kembali mengharap, ekonomi digital semakin jadi tumpuan.

Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (ART) Kuala Lumpur Washington serta KL Accord, bukti bukanlah modal politik sahaja mampu berjaya. Kita mungkin tidak menang semua. Umum tahu di tengah-tengah China dan Amerika, di hadapan kita ada Palestin yang kesedihan belum ada titik noktahnya.

Barangkali ini strategi Perdana Menteri, kembalikan wibawa Malaysia dalam ASEAN. tidak menjadi seteru atau lawan Amerika dan China, tetapi tidak juga menjadi boneka.

Menyulam persahabatan dengan lain-lain benua, Brazil dan Afrika Selatan menanti dengan potensi yang tidaklah sedikit jua. Itulah uniknya Malaysia. Falsafah menarik rambut dalam tepung masih berguna.

Maka, kepada mereka yang masih berasa tidak senang dan sibuk menyelar, renungkanlah. Jika seorang pemimpin dengan imej Si Keras Kepala sudi duduk semeja, bermakna diplomasi Malaysia membina jenama berada pada orbitnya.

Kita bukan lagi penonton Asia. Kita pengatur permainan. Lawatan Trump adalah manifestasi kejayaan Malaysia menggunakan pendekatan dan keistimewaan diplomasinya untuk manfaat serantau. Jadi, abaikan sahaja yang tuding satu jari, yang nyata empat masih ke diri sendiri.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Azmah Abdul Wahab.

MAT YUNUS BIN SABRI