fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, bakal cipta sejarah baharu

Foto hiasan/BERNAMA

ULASAN BERITA

Kuala Lumpur kini menjadi tumpuan seluruh pelosok dunia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Sekitar 3,000 pengamal media dalam dan luar negara bakal 'mencoret' penganjurannya. Sidang Kemuncak ini akan memanfaatkan hampir 700 juta penduduk serta peluang penting untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan keselamatan ekonomi serantau.

Berdasarkan statistik, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah hampir AS$4 trilion, ASEAN kini adalah ekonomi kelima terbesar dunia dan blok perdagangan ketiga terbesar, mencatatkan jumlah dagangan lebih AS$3.8 trilion.

Menyingkap kembali sejarah penubuhannya, ASEAN atau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara mula dibentuk pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand. Penubuhan ASEAN ditandatangani melalui Deklarasi ASEAN (juga dikenali sebagai Deklarasi Bangkok) oleh lima negara pengasas iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.

Sebagai salah satu negara pengasas ASEAN, Malaysia kembali memegang amanah besar – Pengerusi ASEAN 2025. Sistem penggiliran dilaksanakan dalam kalangan 10 negara menyaksikan Malaysia pernah menjadi tuan rumah persidangan ASEAN pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia sudah bersedia menjadi pusat diplomatik Asia Tenggara dengan kehadiran pemimpin-pemimpin besar dunia. Sekali gus bakal menyaksikan terciptanya sejarah baharu, dengan kehadiran 10 pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India dan Australia.

Kali ini, Amerika akan diketuai sendiri Presidennya, Donald Trump. Beliau merupakan Presiden Amerika ketiga hadir ke Malaysia selepas Barack Obama pada 2015 dan Lyndon B. Johnson (1966). Turut mengesahkan kehadiran Perdana Menteri China, Li Qiang, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Kehadiran pemimpin antarabangsa menjadikan persidangan di Kuala Lumpur antara perhimpunan diplomatik terbesar rantau ini. ASEAN juga akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan, selain terus mempertahankan kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas dan memperjuangkan keamanan serantau.

Malaysia juga akan membawa suara negara-negara Selatan ke pentas global termasuk dalam isu Gaza. Besar impaknya dari sudut diplomasi, imej Malaysia dan kesan kepada geopolitik dunia. 34.2 juta rakyat Malaysia seharusnya berbangga.

Tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ASEAN sedang mempertingkatkan usaha memperkukuh integrasi ekonomi dan kesalinghubungan serantau. Tumpuan lebih besar diberikan untuk mengubah perancangan dan perjanjian kepada tindakan sebenar.

Beliau berkata, lebih 80 keberhasilan meliputi Memorandum Persefahaman dijangka dibincangkan dan diumumkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Sekali gus mencerminkan komitmen blok ini, untuk memajukan Visi ASEAN 2045, dengan fasa pertama bagi agenda Visi 2045 akan mengutamakan kesalinghubungan, manakala fasa kedua menekankan usaha melonjakkan aktiviti ekonomi intra-ASEAN.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kejayaan menarik pemimpin utama dunia seperti dari Amerika dan China mengangkat martabat negara sebagai kuasa pertengahan berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Diplomasi hebat Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti apabila mampu merealisasikan gencatan senjata antara Thailand-Kemboja dalam konflik sempadan. Pemeteraian penyelesaian konflik sempadan antara Thailand-Kemboja juga dijangka dimuktamadkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini.

Perdana Menteri berkata, perjanjian perdamaian itu dijangka disaksikan oleh Presiden Trump dan beliau sendiri sebagai Pengerusi ASEAN.

Melalui Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini juga, wakil Khas Kesatuan Eropah (EU) bagi Hak Asasi Manusia, Kajsa Ollongren berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan rantau ASEAN. Iaitu melalui peningkatan hak asasi manusia dalam perjanjian ekonomi dan perdagangan masa hadapan.

Ketika tumpuan terarah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kerajaan membenarkan 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor melaksana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah serta bekerja dari rumah, lencongan dan penyuaraian jalan turut dilaksana bermula pada Ahad hingga Selasa depan.

Tahap keselamatan pemimpin-pemimpin dan delegasi dunia jadi keutamaan, buktinya Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengerahkan lebih 10,000 pegawai dan anggota untuk memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang persidangan.

Keterangkuman dan Kemampanan, matlamat bersama!

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Mohd Khairie Khalid.

MAT YUNUS BIN SABRI