
ULASAN BERITA
- BAP RM150 memberi kelegaan awal untuk perbelanjaan persekolahan walaupun jumlahnya kecil.
- Bantuan diagihkan kepada semua murid warganegara tanpa mengira latar belakang dan lokasi.
- Penyerahan bersemuka buka peluang perhubungan positif antara ibu bapa dan guru.
- BAP simbol keprihatinan kerajaan; gunakan bantuan untuk keperluan sebenar anak.
Saban tahun, menjelang sesi persekolahan dibuka, ibu bapa mula sibuk mengeluarkan kalkulator. Kira bajet, kira keperluan, dan kira apa yang perlu didahulukan.
Bukan kerana mahu berkira dengan anak-anak, tetapi persediaan sekolah memang menuntut perbelanjaan yang bukan sedikit.
Sebab itu, apabila kerajaan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 — sebagai ibu bapa dan rakyat biasa, pasti sumbangan ini memberi kelegaan. Terutama kepada mereka yang mempunyai ramai anak.
Bolehlah kira bajet anak-anak dari Darjah 1 hingga Tingkatan 6. Jumlahnya mungkin tidak besar, tetapi cukup untuk membantu di peringkat awal. Kasut anak mungkin dah koyak tahun lalu, baju anak mungkin dah lusuh.
Kalaupun bukan untuk membeli tali leher baharu, sekurang-kurangnya boleh membeli kasut sekolah yang baharu, alat tulis, atau tambah kekurangan pakaian seragam anak.
Bantuan ini sampai kepada keluarga di seluruh negara — merentasi bandar, luar bandar dan kawasan terpencil, Tanpa mengira pendapatan, bangsa, agama, aliran sekolah dan latar belakang keluarga, demi memastikan setiap anak memulakan persekolahan dengan peluang yang adil dan saksama.
Tiada siapa pun yang tercicir dari menuntut ilmu akibat kekangan kewangan. Dalam keadaan kos sara hidup yang makin mencabar, bantuan kecil seperti ini memberi kesan yang besar buat ibu bapa. Yang paling jelas, kesannya dapat dilihat pada anak-anak.
Bila keperluan asas sekolah dapat disediakan, mereka lebih yakin untuk melangkah ke sekolah. Tidak rasa serba kekurangan, tidak rasa terasing daripada rakan-rakan. Anak-anak jadi lebih bersemangat, dan itu sebenarnya harapan sebagai ibu bapa.
Hakikatnya, peruntukan BAP makin lama makin meningkat. Kalau pada 2022, peruntukan sekitar RM400 juta sahaja dan telah membantu lebih kurang 2.7 juta murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Tahun 2023 pula naik ketara kepada RM765 juta melibatkan lebih 5 juta murid. Selepas itu, peruntukan terus ditambah pada 2024 dan 2025.
Untuk tahun ini kerajaan sediakan peruntukan paling tinggi iaitu RM800 juta, dengan setiap murid terima RM150 bermula 11 Januari, dan kali ini semua murid warganegara Malaysia layak menerima BAP tanpa kira latar belakang keluarga atau jenis sekolah.
Jika sebelum ini, pengagihan BAP dibuat melalui dua kaedah iaitu, kredit ke akaun murid dan secara tunai. Kali ini, penyerahan dibuat secara bersemuka.
Sebagai ibu bapa, ambillah peluang itu untuk bertemu dan berkenalan dengan guru yang diamanahkan menjadi ibu bapa “kedua” anak-anak di sekolah.
Gunakan ruang itu untuk saling berpesan, meluahkan pendapat dan menyatakan perasaan tentang apa sahaja berkaitan isu murid atau pendidikan, bukannya, menyuarakan rasa ketidakpuasan dalam media sosial, yang akhirnya mengeruhkan hubungan guru-ibu bapa.
Dari sudut pandang rakyat, inisiatif seperti BAP ini mencerminkan pendekatan yang lebih dekat dengan denyut nadi masyarakat. Ia tidak gah, tidak berlebihan, tetapi praktikal.
Bantuan ini menjadi suara bahawa keperluan keluarga biasa tetap didengari. Terutama dalam hal pendidikan yang menjadi asas masa depan negara. Harapan ibu bapa mudah agar bantuan seperti ini diteruskan dan berpaksikan keperluan sebenar di lapangan.
Bukan untuk dimanjakan, tetapi untuk memastikan tiada anak yang ketinggalan hanya kerana kekangan kecil yang akhirnya memberi kesan besar.
Pada akhirnya, BAP bukan sekadar bantuan kewangan. Ia adalah simbol keprihatinan kerajaan memberi senyuman kecil kepada anak-anak. Dalam kesederhanaan itulah terletaknya makna sebenar.
Jumlahnya mungkin tidak menyelesaikan semua keperluan anak-anak. Sekurang-kurangnya tak terasa terlalu berat. Dapatlah melancarkan persediaan anak-anak. Ada ruang untuk ibu bapa bernafas, tidaklah sesak sangat.
Namun, apa yang paling penting, gunalah BAP sebaik-baiknya untuk keperluan anak. Bukan memenuhi kehendak sendiri.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Grace Aisyah Kedayan.