ULASAN BERITA
"Habislah... mesti ramai yang menganggur selepas ini." Itu, antara luahan segelintir rakyat dalam media sosial, berhubung isu kecerdasan buatan atau AI.
Mereka menyuarakan rasa kurang senang, seolah-olah teknologi itu akan mengambil alih peranan tenaga manusia sepenuhnya.
Itu belum lagi mereka yang dimomokkan dengan bahaya teknologi AI seperti dipaparkan dalam filem "The Terminator", "AI" atau pun "The Matrix"
Persoalannya, adakah teknologi AI berisiko menjejaskan pasaran pekerjaan sedia ada di seluruh dunia, termasuk Malaysia pada masa akan datang?
Bagi menjawab soalan itu, kita perlu memahami apakah itu teknologi AI. AI adalah sebahagian cabang Revolusi Industri 4.0. Teknologi itu sebenarnya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat.
Ia sudah lama diguna pakai dalam memudahkan urusan seharian. Antaranya dalam enjin carian seperti Google dan Yahoo, navigasi Google atau Waze, permainan video serta platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada.
AI merujuk kepada sistem atau mesin yang mensimulasikan kecerdasan manusia, membolehkan mesin itu belajar dan berfikir sendiri di samping dapat membuat keputusan tanpa bantuan manusia.
Selain itu, teknologi tersebut dapat menjimatkan masa dan tenaga kerja manusia, kerana mampu diautomasi untuk melaksanakan kerja melibatkan pemprosesan seperti dalam sektor perkilangan dan pembuatan.
Perlu difahami, penggunaan AI bukan penghalang bagi mencapai kemajuan dalam sesuatu sektor pekerjaan, Tetapi, ia juga banyak memberi kemaslahatan dalam meringankan bebanan kerja seharian.
Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, prinsip AI yang sering ditekankan kerajaan adalah jangan diizinkan kemunculannya, mewujudkan kesenjangan pendapatan serta jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.
Dalam erti kata lain, AI seharusnya membawa manfaat buat semua sebagai langkah persediaan menghadapi cabaran pekerjaan masa depan.
Perdana Menteri juga menyeru agar semua rakyat tidak berasa cemas dalam menghadapi perubahan, contohnya perasaan takut kehilangan pekerjaan.
Macam mana canggih pun sesuatu teknologi itu. Ia tetap tidak akan dapat menggantikan sepenuhnya peranan manusia.
Sebaliknya, teknologi baharu pasti akan mewujudkan pelbagai kemahiran serta pelbagai peluang pekerjaan baharu.
Maksudnya, negara tetap memerlukan pekerja berkemahiran tinggi untuk menguruskan sistem penyelenggaraan AI, IoT dan seumpamanya. Jadi, usahlah bimbang.
Namun, seiring dengan perubahan zaman, kita tidak boleh menafikan kepentingan teknologi AI. Jom, kita imbas semula beberapa tahun lepas.
Semasa dunia dilanda pandemik COVID-19. Ketika itu, pergerakan terhad. Rakyat terpaksa berdepan PKP, PKPB, PKPD dan PKPP, makan tahun jugalah. Memaksa banyak urusan dilakukan secara dalam talian.
Perlahan-lahan teknologi AI semakin berinovasi. Banyak tugas manusia mula diambil alih oleh teknologi digital dengan kewujudan AI generatif seperti ChatGPT.
Masa itu, cuba teka karakter AI paling popular? Takkan dah lupa? Tentulah, Elya KWSP.
Elya, watak wanita yang dicipta sebagai penasihat kewangan dan sering mengganggu emosi para pencarum. Sekarang pun, Elya paling dicari-cari. Tidak begitu?
Kini, penggunaan teknologi AI semakin berkembang dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta. Misalnya, RTM. Meski bukan badan penyiaran pertama, tetapi RTM turut berevolusi dengan teknologi AI.
Pada Mac lepas, MuzikFM kembali bersiaran secara dalam talian, dengan memperkenalkan penyampai radio A-I dikenali sebagai DJ Aira.
Jika di negara lain, teknologi AI sangat diiktiraf. Jepun, misalnya, bukan mudah untuk memohon status penduduk tetap di negara Matahari Terbit itu. Tetapi, jangan terkejut ya..
Sekitar tahun 2017, Jepun menganugerahkan taraf istimewa tersebut kepada seorang kanak-kanak yang merupakan karakter AI, dikenali sebagai Shibuya Mirai.
Uniknya, Mirai hanyalah AI yang mempunyai mirip pemikiran seorang kanak-kanak dan tidak mempunyai jasad fizikal.
Di Malaysia, mungkin tiada keperluan sampai ke tahap itu. Tetapi, bukan bermakna negara harus ketinggalan.
Jangan takut tidak bertempat. Tak kenal, maka tak cinta. Masalah paling besar apabila masyarakat tidak faham; seterusnya, membuat pelbagai tanggapan.
Kalau tidak faham, boleh layari portal "AI untuk Rakyat". Segala kemusykilan pasti akan terjawab.
Ulasan berita ini disediakan olehEmmi Noraliza Adnan, editor Berita Radio RTM.