ULASAN BERITA
Apa sudah jadi dengan sukan bola sepak tanah air hari ini? Beberapa insiden melibatkan pemain sukan berkenaan mengejutkan seluruh negara.
Hingga ke saat ini TIGA pemain bola sepak negara diserang tanpa diketahui puncanya. Akhyar Rashid, alami kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan, susulan diserang individu tidak dikenali menggunakan cota. Polis mengesyaki ia merupakan rompakan, suspek juga telah dikesan.
Manakala, Faisal Halim pula disimbah asid, juga oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara. Beliau masih mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami kelecuran tahap empat sekitar leher, bahu, lengan serta dada.
Terbaharu, cermin kereta bekas kapten skuad kebangsaan, Syafiq Rahim pula dipecahkan. Safiq yang memandu dari Pusat Latihan Johor Darul Takzim (JDT), Sri Gelam menghala ke Pantai Lido, Johor Bahru telah dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal.
Pemboncengnya bertindak mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk bahagian belakang cermin keretanya. Menurut pihak polis, DUA insiden terawal melibatkan Akhyar dan Faisal dikatakan tiada kaitan, dan siasatan masih dilakukan.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menerima surat layang. Seminggu selepas itu berlaku insiden melibatkan dua pemain kebangsaan pula.
Kejadian serangan tersebut bukan sahaja mengemparkan komuniti bola sepak tempatan, malah dibimbangi terkesan kepada para penyokong.
Pasti timbul kebimbangan terhadap keselamatan masing-masing, menjelang saingan Liga Malaysia yang bermula minggu ini.
Susulan kejadian menimpa Faisal, Selangor FC telah menarik diri daripada menyertai Piala Sumbangsih 2024. Keputusan tersebut diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Awalnya, pasukan berkenaan memohon agar perlawanan ditangguhkan, ia ditolak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Ia agak mengecewakan baginda Sultan Selangor. Tumpuan baginda pastinya demi keselamatan pasukan Red Giant. Kejadian serangan baru-baru ini sedikit sebanyak pasti memberi kesan terhadap perlawanan tersebut nanti.
Isu berkaitan keselamatan dan nyawa pemain bukanlah perkara yang boleh dianggap enteng. Pihak-pihak yang terbabit sepatutnya lebih memahami, biarlah keadaan mereda terlebih dahulu.
Keputusan Selangor FC tersebut memberikan kemenangan ‘walkover’ kepada JDT. Perkara itu diumumkan MFL. Ini bermakna Harimau Selatan turut diberikan tiga mata bagi perlawanan pertama Liga Super.
Apa yang berlaku merupakan detik hitam arena dunia bola sepak negara, dan minggu paling mendukacitakan negara ketika skuad kebangsaan, Harimau Malaya sedang berdepan tugas getir pada kelayakan Piala Dunia 2026, Piala Asia 2027 bulan depan.
Jika sebelum ini, perbalahan mengenai bola sepak hanya disaksikan di padang bola. Adakah, ia kini semakin merebak ke luar padang, sehingga melibatkan nyawa pemain... harap-harapnya tidaklah sampai begitu sekali.
Menteri Dalam Nageri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pada itu telah memohon pihak polis untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan. Bukan sahaja kerana insiden melibatkan ketiga-tiga pemain berkenaan, malah semua pihak yang terlibat.
Pihak polis juga telah memberi amaran kepada orang ramai agar kejadian yang menimpa ketiga-tiga pemain tersebut tidak dispekulasi. Hooliganisme dalam bola sepak bukanlah budaya Malaysia.
Jika sebelum ini hanya berlaku di luar negara, perkara negatif tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berkembang dalam negara. Apatah lagi, sehingga melibatkan nyawa.
Jika benar budaya tersebut mula membarah, ia perlu dibanteras sepantas mungkin. Benar seperti dikata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, imej sukan bola sepak negara ketika ini telah tercalar.
Sekiranya tiada tindakan segera diambil oleh semua pihak, keadaan akan bertambah buruk. Termasuk, badan utama bola sepak negara, FAM dan MFL yang mengelola Liga Malaysia (Liga-M).
Oleh demikian, semua pihak yang terlibat perlu menjalankan peranan masing-masing untuk meredakan keadaan. Usah disiramkan lagi minyak ke dalam api.
Biarlah semua pasukan yang bertanding bersaing dengan sihat, tanpa melibatkan perkara-perkara berunsur negatif dan jenayah.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, editor Berita Radio RTM.