ULASAN BERITA
Apa khabar penjawat awam? Muka masih senyum? Pengumuman PMX dalam majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 kebangsaan Rabu lalu, pastinya membawa kelegaan.
Selepas 12 tahun, penjawat awam akhirnya akan kembali menikmati kenaikan gaji. Dua belas tahun tanpa semakan adalah tempoh yang agak panjang. Kalau bayi dilahirkan pada 2012, tahun ini dah masuk darjah enam. Kurang setahun lagi, sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.
Perbelanjaan ibu bapa pastinya sudah jauh berubah, sesuai dengan pertambahan keperluan si anak. Ditambah pula dengan kos sara hidup yang sememangnya tak pernah tak meningkat pada zaman mana-mana kerajaan sekalipun.
Menurut PMX, kadar kenaikan kali ini lebih 13%. Kenaikan ini khusus kepada gaji pokok, tanpa melibatkan elaun atau imbuhan lain. Manakala pendapatan bulanan keseluruhan minimum, ditetapkan lebih daripada RM2000.00. Jumlah itu melibatkan gaji pokok dan elaun bulanan. Ke semua kenaikan bermula Disember tahun ini. Sebulan lebih awal berbanding Januari tahun seterusnya selepas pengumuman, seperti kelaziman.
Manfaat sama juga akan diselaraskan di Sabah dan Sarawak. Maka dalam tempoh sehari dua, pesta spekulasi berlangsung begitu rancak di seluruh negara dari Perlis hinggalah Sabah.
Lebih 13% tu sebenarnya berapa? 13.5%? 14%? 15% pun lebih 13%. Bayangan awal yang diberi PMX ialah kenaikan tinggi bagi kelompok bergaji rendah dan kenaikan rendah bagi kelompok bergaji tinggi.
Semalam, semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri beliau memberi bayangan yang lebih jelas. Menurut PMX, kenaikan gaji kumpulan rendah akan mencecah 20% hingga hampir 40% mengikut perincian sebenar. Kadar itu melibatkan kebanyakan penjawat awam katanya. Perincian lanjut akan diumumkan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) akan datang, sebelum perincian penuh dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Walau berapa pun kenaikan yang bakal dimuktamadkan bagi setiap kategori, kadar 13% pun sudah cukup lumayan. Kenaikan gaji kali ini melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion. Pendek kata durian runtuh menjelang tahun baharu 2025. Ramai penjawat awam sebelum ini agak skeptikal. Mampukah PMX melakukan penstrukturan semula skim gaji perkhidmatan awam bagi memastikan mereka menerima gaji dan upah yang setimpal?
Keraguan itu disemarakkan oleh kenyataan pihak tertentu yang menyifatkan hasrat tersebut sukar dilaksanakan. Halangan itu yang dilihat adalah hutang besar yang diwarisi kerajaan MADANI. Kata beliau itu, "kononnya mahu naikkan gaji pegawai kerajaan. Mahu naik bagaimana duit pun tak ada. Bayar hutang sahaja pun berbilion Ringgit setahun".
Seolah-olah muflis idea dan berputus asa. Sindiran itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat PMX. Sebaliknya dijadikan motivasi terbaik. Sindiran dijawab menerusi tindakan berani. Walaupun mewarisi hutang lebih RM1.5 trilion, pembelaan dan kebajikan rakyat termasuk penjawat awam tidak dianggap penghalang.
Kenaikan besar gaji penjawat awam mampu direalisasikan, hasil pengurusan dan tatakelola yang lebih baik, terutama dalam usaha memerangi rasuah. Tanpa ketirisan, pendapatan negara dapat dikembalikan kepada rakyat. Serentak dengan itu usaha menarik pelabur asing terus dipergiat bagi meningkatkan pendapatan negara. Inisiatif mengimbangi beban hutang dengan kebajikan rakyat, pastinya akan diperincikan dalam pembentangan belanjawan kelak.
Bagi penjawat awam, empati yang ditunjukkan kerajaan jangan disia-siakan. Hargai kerja keras dan komitmen yang digarap kerajaan MADANI, ketika pihak lain awal-awal lagi angkat bendera putih. Pada era ekonomi global yang dipenuhi konflik dan ketidaktentuan, durian runtuh - fenomena yang jarang-jarang berlaku. Jagalah pohon durian masing-masing, jangan sampai tak berbuah atau terbantut tumbesaran.
Pastikan cukup cahaya matahari, dan jangan pernah lelah menaburkan baja sehingga tanaman mencapai usia matang. Pesanan ini selaras dengan amaran PMX, walaupun gaji dinaikkan sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara. Ia tidak terpakai untuk semua.
Kalau rekod kerja tidak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak memberi tumpuan, mereka tidak akan diberikan ganjaran seperti dijanjikan. Terus lipat gandakan prestasi dan produktiviti, seiring kenaikan gaji. Pekerja KESUMA Bangsa.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.