fb fb fb fb fb

KWSP Akaun Fleksibel: Suara rakyat didengari harapan dipenuhi

FOTO HIASAN

ULASAN BERITA

Semalam, satu lagi perkara baik, dan memanfaatkan rakyat diterima. Berita yang amat dinanti-nantikan. Apa tidaknya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, berkuat kuasa 11 Mei ini.

Memperkenalkan Akaun Fleksibel bagi keperluan kewangan jangka pendek.

Sudah tentu ia melegakan banyak pihak -- khususnya keluarga berpendapatan rendah. Lebih-lebih lagi sejak pandemik COVID-19 disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan kepada rakyat.

Perlu diingat, masih ada yang terkesan dan terdesak. Sedangkan sebelum PKP lagi, ada yang 'meragam'. Bukan sebab malas, dan bukanlah juga dek gaya hidup dengan perbelanjaan tidak terkawal. Namun kerana 'kerasnya' kehidupan zaman sekarang.

Berbalik kepada pengumuman KWSP itu, jelas ia rentetan isi Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada 13 Oktober tahun lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkannya berkata, Kerajaan akan memperkenalkan Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

Nah, itulah hasilnya. Cadangan diteliti, diperinci, dipersetujui dan direalisasi. Bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Menyaksikan apabila bermula tarikh tersebut, semua akaun ahli bawah umur 55 tahun akan distruktur semula daripada dua akaun sebelum ini, iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun.

Pertama, Akaun Persaraan bagi mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan;

Kedua, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Dan ketiga, Akaun Fleksibel iaitu akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti dengan simpanan dalam akaun itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Serta tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Kaedahnya, untuk baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera.

Manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. Semua caruman selepas 11 Mei, akan diperuntuk ke dalam akaun baharu mengikut pecahan iaitu 75% ke dalam Akaun Persaraan, 15% ke dalam Akaun Sejahtera; dan 10% ke dalam Akaun Fleksibel.

Tempoh masa hingga 31 Ogos ini diberikan kepada ahli untuk membuat pilihan sekali sahaja.

Sama ada mahu memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka yang sebelumnya Akaun 2, sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

ATAU sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Akaun Fleksibel pula akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Mengenai cara pindahan, untuk baki dalam Akaun Sejahtera RM3,000 dan ke atas pindahan akan dibuat melibatkan 10 per 30 daripada baki dalam akaun itu untuk dipindahkan ke Akaun Fleksibel; lima per 30 daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan 15 per 30 akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah pula, pindahan akan dibuat dengan semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Sementara baki antara RM1,000 hingga RM3,000 -- amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya kekal dalam Akaun Sejahtera.

Perbezaan dalam kaedah pengagihan itu adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah, turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

Permohonan bagi pengeluaran Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Sementara ahli yang belum mendaftar i-Akaun digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran dilaksanakan.

Seterusnya, mengakses sistem pada 12 Mei.

Dalam hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn mendedahkan, Akaun 3 yang menjadi tumpuan ramai kini, sememangnya pilihan bagi sejumlah 16.07 juta ahli.

Sesuatu yang diinginkan, dan dari semasa ke semasa simpanan itu perlu diakses untuk menampung perbelanjaan yang tidak dijangka.

Selain berperanan sebagai langkah proaktif ke arah membantu ahli menangani perubahan landskap pekerjaan serta demografi penduduk.

Pastinya, seperti amalan sedia ada, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55.

Manakala caruman baharu yang diterima oleh ahli mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.

Sesungguhnya, KWSP sentiasa berusaha untuk memastikan setiap ahli dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin serta berdaya tahan.
Terutama dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar. Pada masa sama tetap dapat menabung demi usia persaraan.

Jelas, setiap langkah yang diambil mengambil kira keperluan rakyat, BUKANNYA kehendak. Keputusan sehari dua? Tidak sama sekali. Bukan juga secara semberono. Ada pro dan kontranya.

Sehubungan itu diharapkan orang ramai dapat memanfaatkan sewajarnya kemudahan yang diberi. Hindar sikap "gelap mata" sehingga lupa matlamat asal, yang hanya akan mensia-siakan sahaja usaha dan keprihatinan kerajaan.

Usah kerana sikap segelintir yang membuat onar, impaknya tempias kepada pihak yang benar-benar memerlukan bantuan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, editor Berita Radio RTM.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE