fb fb fb fb fb

Perayaan menyatukan masyarakat, Aidilfitri dirai penuh muhibah

Tangkap layar beberapa video viral di media sosial/RTM

ULASAN BERITA

Diam tak diam, sudah 10 hari kita menyambut 1 Syawal. Namun, ramai yang masih bersemangat dan teruja untuk terus beraya. Masakan tidak, selepas sebulan berpuasa. Raya pun pastinya ingin disambut selama sebulan juga.

Malah, ada yang berlanjutan sehingga ke bulan seterusnya, bagi memenuhi jemputan menghadiri majlis rumah terbuka. Serta masih tidak putus-putus menziarah saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan lokasi, sama ada jauh atau dekat.

Situasi ini biasa dilihat setiap kali musim raya. Tetapi, raya kali ini dianggap lain daripada yang lain. Bahkan boleh dikatakan luar biasa. Lihat sahaja kisah-kisah yang ditularkan di media sosial.

Di Facebook, Tik Tok, Instagram, aplikasi X. Cerita-cerita yang memberikan inspirasi dan mengukuhkan semangat perpaduan.

Antaranya, kisah bagaimana seorang wanita yang terharu apabila rakan-rakan sekerja berlainan kaum sanggup meredah kesesakan trafik lebih dua jam dari Kuala Lumpur untuk menyambut lebaran di kampung halaman ibunya di Perak.

Bukan datang seorang. Setiap rakannya turut membawa ahli keluarga yang lain untuk beraya bersama-sama.

Turut mencuri tumpuan, tindakan sekumpulan wanita berbangsa India memperagakan pakaian tradisional Melayu menari sambil diiringi lagu raya dalam rakaman klip video yang tular di TikTok. Sehinggakan mendapat perhatian Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang mengucapkan tahniah kepada mereka.

Namun paling menarik perhatian, kisah kemurnian hati masyarakat berbilang kaum yang tampil dengan cara tersendiri untuk menyantuni perantau yang terperangkap dalam kesesakan trafik.

Ada yang mengagihkan potongan buah tembikai, air mineral dan air kotak kepada pemandu dan penumpang kenderaan. Ada juga yang mempelawa perantau untuk menggunakan tandas di rumah mereka secara percuma.

Bukan itu sahaja, tular kisah pemandu kereta yang baik hati menumpangkan tiga anak seorang wanita yang menaiki motosikal.

Serta kesanggupan sekumpulan penduduk berketurunan Cina di Ladang Bikam membuka jalan kebun kelapa sawit dengan meratakan tanah menggunakan jentolak, semata-mata untuk melancarkan perjalanan pengguna jalan raya lain yang melalui jalan-jalan tikus bagi mengelak kesesakan.

Sesiapa sahaja yang membaca kisah-kisah sebegini, pasti tersentuh hati. Ini adalah contoh semangat muhibah yang lahir daripada hati yang ikhlas.

Boleh sahaja kita bersikap tidak peduli kerana bukan masalah kita sekiranya orang yang tidak dikenali terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Memandangkan ia adalah fenomena biasa, tiap kali musim perayaan.

Namun, bagi mereka yang mempunyai hati yang murni dan ihsan yang tinggi, tidak akan berdiam diri. Mereka sedaya upaya menawarkan bantuan dalam apa jua cara, bagi meringankan kesulitan yang dihadapi orang lain.

Walaupun tidak seberapa, tetapi sedikit sebanyak dapat menceriakan, serta mengurangkan keletihan fizikal dan mental dalam menempuh kesesakan trafik.

Yang pastinya, tindakan-tindakan yang menyentuh hati ini mampu mengeratkan silaturahim, seterusnya memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Oleh itu, semangat muhibah ini perlu terus disemarakkan. Dengan isu-isu sensitif yang sering dimainkan sejak kebelakangan ini, musim perayaan adalah masa paling sesuai untuk menjernihkan semula hubungan dan mengeratkan perpaduan, bagi menyemarakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Teruskan tradisi kunjung mengunjung. Santuni jiran tetangga, tanpa mengira kaum. Sama-sama meraikan dan berkongsi kegembiraan kaum lain yang menyambut perayaan masing-masing. Ketepikan segala sengketa. Hulurkan salam kemaafan.

Sikap merendah diri, bertoleransi dan bertimbang rasa tidak akan merugikan sesiapa. Ia akan membuatkan hati gembira dan lebih tenang. Bahkan dituntut dalam agama.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan menyambut raya dan semangat perpaduan yang ditonjolkan, ada segelintir pihak mempersoalkan.

Berbaloikah menempuh kesesakan selama berbelas jam, malah ada yang sampai 20 jam semata-mata untuk pulang beraya di kampung dalam tempoh singkat? Itu belum lagi perjalanan untuk kembali ke rumah masing-masing. Jawapannya... berbaloi!

Mengapa? Kerana raya puasa hanya disambut sekali setahun. Kesempatan ini boleh digunakan untuk berkumpul bersama-sama ibu bapa dan adik beradik di kampung. Serta menjenguk saudara mara yang lama tidak bersua muka.

Mungkin ini satu-satunya masa untuk berbuat demikian sepanjang tahun. Belum tentu tahun depan akan bertemu lagi.

Walaupun penat menghadap trafik yang tidak bergerak, semuanya hilang selepas menatap wajah insan-insan yang disayangi.

Buah bidara buah delima,
Dipetik dara di tepi anjung,
Syawal menjelma rai bersama,
Berbilang bangsa saling berkunjung.

Bunga raya bunga kebangsaan,
Lambang kemakmuran kedaulatan negara,
Amalan mulia bermaaf-maafan,
Semoga perpaduan terus dipelihara.

Ulasan berita ini disediakan oleh Masniza Awang Kechik, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI