ULASAN BERITA
"Pakcik, makcik, kami datang hendak duit raya ini. Kami sudah kenyang, tidak mahu makan lagi, banyak lagi rumah hendak pergi,".
Itulah dialog yang sering kali kita dengar pada zaman kini.
Skrip biasa diguna pakai generasi Z, tanpa mengira agama dan kaum terutama pada musim perayaan.
Mengapa semua ini boleh terjadi?
Sebabnya, semangat perpaduan yang utuh di Malaysia.
Alhamdulillah, syukur. Itulah pentingnya muafakat, bersatu-padu dalam kalangan rakyat di negara ini. Kita perlu pelihara agar ia kekal selama-lamanya.
Generasi baharu perlu didedahkan bagaimana pembentukan sebuah negara merdeka. Betapa pentingnya tarikh 16 September 1963 dalam catatan sejarah negara, merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura pada ketika itu.
Jangan terleka dengan arus pemodenan. Kendatipun sejak kebelakangan ini, ada pihak dilihat cuba 'merobek', menggugat kekeluargaan rakyat Malaysia.
Janganlah begitu! Biarlah peristiwa 13 Mei pada 1969 kekal menjadi detik hitam dalam sejarah Malaysia.
Terima kasih kepada usaha kerajaan. Peranan dimainkan Kementerian Perpaduan Negara ketika ini, cukup penting.
Antara matlamatnya, mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13.
Objektif lain Dasar Perpaduan Negara adalah melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga pernah mengajak rakyat ke arah perpaduan bukannya perpecahan. Begitu juga pemimpin-pemimpin politik di negara ini.
Mereka diminta tidak ekstrim dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan perkauman dan perlu menjadi jambatan atau penghubung antara masyarakat majmuk di Malaysia, dengan memberikan contoh perilaku yang matang.
Kerajaan juga tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau parti politik jika menyentuh isu 3R, iaitu raja, agama dan kaum.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan tegas akan diambil antaranya siasatan, tangkapan, dakwaan dan hukuman.
Usaha mengekang gejala-gejala 'tidak sihat' menerusi media sosial juga giat dilakukan kerajaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pernah menegaskan bahawa TikTok dan Meta perlu memantau kandungan memudaratkan dengan lebih proaktif.
Ini disebabkan meningkatnya kandungan memudaratkan di media sosial dan platform penstriman.
Pun begitu, usaha mengelakkan isu perkauman bukan hanya menjadi tugas kerajaan, atau pihak berkuasa semata-mata.
Ibu bapa, penjaga sebenarnya nadi utama di rumah lagi. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Didiklah anak-anak sejak kecil. Jangan cemari fikiran mereka dengan hasutan yang memakan diri, hidup berpuak-puak.
Semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa, adalah sama.Biar mereka bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum, supaya mereka sedar pentingnya keharmonian.
Mereka harus diajar menghormati antara satu sama lain. Kanak-kanak ibarat rebung yang mudah dilentur.
Pada peringkat usia sebegini, proses kognitif dalam minda mereka sedang aktif berkembang.
Rakyat Malaysia seharusnya menginsafi keruntuhan nilai kemanusiaan yang semakin membarah di Palestin, di Gaza, di Rafah dan tak kurang juga di Tebing Barat.
Semuanya berpunca daripada virus kebencian, perkauman, aparteid, diskriminasi dan ketamakan sebelah pihak yang gagal membezakan antara kemanusiaan dengan kebinatangan.
Bagi umat Islam yang ditindas, tiada ungkapan alamak raya lagi, kuih raya tidak jadi-jadi atau hendak balik, hendak balik kampung, kampung siapa dulu?
Realitinya mereka kini dibelenggu kebuluran tanpa kampung halaman yang masih tersisa.
Cendawan tumbuh tepian jalanan,
Bunga tumbuh di sudut anjung,
Andai terkorban nilai warisan keturunan,
Bumi dipijak terasa canggung.
Malam hari pintu terbuka,
Ditiup angin padamlah pelita,
Hidup mesti berbaik sangka,
Jangan menuduh membabi buta.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Renung-renungkanlah.
Salam Aidilftri, Salam Perpaduan. Maaf Zahir dan Batin.
Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, Editor Berita Radio RTM.