ULASAN BERITA
Syawal dah dekat. Minggu depan insya-Allah kita raya. Tarikh sebenar, diisytihar hari Selasa. Macam mana dengan persiapan anda sekeluarga, lancar?
Bermula hari ini, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dikuatkuasakan di seluruh negara selama 15 hari. Sebanyak 22 jenis barangan diwartakan tahun ini. Untuk senarai harga, boleh semak laman web KPDN.
Seperti biasa, amaran sekali lagi diulang siar. Peniaga yang gagal memaparkan tanda harga boleh didenda sehingga RM10,000.
Kesalahan menjual melebihi harga maksimum pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada tahun-tahun sudah, pengguna disaran buat aduan dan boikot peniaga yang tidak patuh skim harga maksimum. Namun keberkesanan boikot agak terhad. Pengguna dilihat tidak bersatu.
Sebahagian daripada kita memang boikot sungguh-sungguh. Akan tetapi, sebahagian lagi lebih cenderung ambil sikap acuh tak acuh. Ada masa boikot, tapi lebih kerap tidak. Lazimnya disebabkan faktor bekalan, masa dan tenaga.
Tahun 2024, senarionya agak berbeza. Selepas 7 Oktober 2023, pengguna sudah mula tunjuk kesediaan pakat boikot secara besar-besaran dan berterusan; walaupun gelombang ini tercetus susulan jenayah perang Israel yang semakin menjadi-jadi di bumi Gaza.
Usah terkejut jika gelombang seumpamanya turut dihalakan ke arah peniaga tamak. Jadi kepada peniaga, hati-hatilah ya.
Selain Skim Harga Maksimum, Program Jualan Syawal MADANI juga diteruskan sebagai inisiatif membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Program ini dapat sambutan meluas tahun lalu.
Bagi barangan persiapan raya dan barangan runcit, penjimatan sehingga 30% ditawarkan. Termasuk kombo madani barangan dapur yang dijual pada harga serendah RM10 dan kupon penjimatan daging, sebanyak RM2 sekilo.
Tahun ini beras putih tempatan yang dirindui ramai, khabarnya antara paling laris. Harga? Masih RM26 untuk 10 kilogram.
Besar harapan majoriti rakyat, bekalan dapat dipulihkan sesegera mungkin. Dalam hal ini, rakyat sebenarnya tidak pernah dibiar bersendirian.
Harapan sama turut dikongsi kerajaan. Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan PMX pada 20 Mac memutuskan, semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang, hendaklah diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.
Keseluruhannya berjumlah 140,000 tan metrik beras putih, bersamaan 14 juta kampit 10 kilo.
Namun selepas lebih dua minggu berlalu, hanya sejumlah kecil dilaporkan dikesan berada di beberapa kedai runcit dan pasar raya.
Terbaharu Isnin lepas, NACCOL memberi amaran terakhir kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras supaya segera mengedarkan bekalan seperti yang dijanjikan. Semoga ada sinar di hujung terowong tidak lama lagi.
Yang pasti sinar gemilang yang terpancar di wajah penjawat awam sejak Isnin lepas, nampaknya semakin "terbilang" hari ini (5/4/2024 – bayaran Bantuan Khas Aidilfitri). Begitu juga dengan pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Pastinya, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sudah selamat mendarat dalam akaun penerima. Syukurlah rezeki Syawal. Tahukah anda, asas pertimbangan Menteri Kewangan dalam meluluskan bantuan?
Menurutnya, keputusan dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang diakui sedikit meningkat ketika ini.
Beliau juga mengakui, agihan bantuan RM2,000 bagi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Februari lepas, tidak dapat menampung keperluan sedia ada. Pesan beliau, berbelanjalah dengan cermat dan berhemat.
Menteri Kewangan juga menggesa semua agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan supaya mengumumkan bantuan Aidilfitri kepada kakitangan masing-masing. Selain itu institusi perbankan turut disaran mempertimbangkan bantuan hari raya kepada kakitangan mereka.
Terima kasih Menteri Kewangan. Begitu telus dalam berbicara.
Yang kelabu dikatakan kelabu, tidak sekali-kali cuba diputihkan.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Dalam membuat persiapan Aidilfitri ada baiknya kita cerap sedikit Adab Berhari Raya dan Kesilapan yang dipetik daripada portal rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.
Antara kesilapan adab yang disenaraikan ialah memasang lagu-lagu dan nyanyian, yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya.
Selain itu, berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga menerbitkan perasaan takbur, riak dan sombong.
Berbaju pagoda berkain sarung,
Pergi tarawih berselipar jepun,
Andainya hati rasa tersinggung,
Disusun jari meruntun ampun.
Serba sederhana tetap bermakna,
Semoga amal kita diterima hendaknya,
Dalam menyambut kemeriahan raya,
Saudara di Gaza jangan dilupa.
Selamat beramal.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, Editor Berita Radio RTM