fb fb fb fb fb

PADU: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Kaunter fizikal pendaftaran PADU/Foto Bernama

ULASAN BERITA

Sudahkah anda mendaftar PADU? Atau dikenali sebagai sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Mungkin ketika ini hari-hari anda ada dengar kempen mengenai PADU, tak kira di radio, televisyen, media sosial atau dalam surat khabar. Khabarnya, ada yang sudah muak, jemu, bosan.

Tapi sabar. Ada hikmah di sebaliknya. Ia juga sebagai peringatan, supaya kita tidak mudah lupa. Saling mengingati kan sebahagian tuntutan dalam agama.

Mana tidaknya, tarikh akhir pendaftaran PADU adalah pada 31 Mac 2024, atau lebih mudah Ahad ini. Hanya berbaki dua hari saja lagi. Setelah tiga bulan pendaftaran dibuka.

Jangan berlengah lagi, takut menyesal di kemudian hari. Bukan apa, PADU ini bertujuan memastikan agihan bantuan dan subsidi lebih adil untuk rakyat. Antara lain merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat serta mengimbangi pembangunan. Tak nak bantuan ke? Terlepas nanti.

Renung-renungkanlah. Tapi kita faham, ada dalam kalangan rakyat Malaysia was-was untuk mengisi PADU kerana bimbang kebocoran maklumat peribadi gara-gara penggodam, penyangak-penyangak dalam talian yang tak reti-reti cari duit sendiri. Yang mereka tahu, nak menipu, ‘sakau’ duit orang je.

Tapi jangan bimbang. Kerajaan berulang kali tegaskan data dalam PADU ini, selamat. Menerusi pendedahan Kementerian Ekonomi, lebih dua juta cubaan untuk tembusi ciri keselamatan PADU, sejak Januari lalu. Tapi, sehingga hari ini, tiada pihak berjaya melakukannya. Sebab apa?

Mengikut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ciri-ciri keselamatan PADU mematuhi piawaian global termasuk komponen keselamatan rangkaian. Terdapat tiga komponen utama keselamatan data ditampilkan PADU.

Antaranya, pelaksanaan kawalan akses capaian serta penyulitan. Kalau pun ada penyangak yang berjaya memecah masuk dan memuat turun fail, ia perlu dinyahsulitkan.

Kecuali penggodam itu guna super komputer yang boleh menyahsulitkan data, tetapi ia sesuatu yang merapu. Bermakna, benteng pertahanan PADU kita, kukuh.

Kalau nak risaukan pasal risiko, semua benda ada risiko. Tengah makan pun boleh tercekik. Tengah-tengah berjalan pun boleh tersungkur.

Mengikut statistik PADU, dah lebih 8.79 juta rakyat Malaysia telah mengemas kini sejak tempoh kemas kini Pangkalan Data Utama dibuka pada 2 Januari lalu. Negeri paling maju di Malaysia, iaitu Selangor pula mencatatkan pendaftaran tertinggi.

Kita kongsikan cara mudah daftar PADU. Pertama, isi maklumat asas. Kedua pengesahan akaun dan ketiga, tetapkan kata laluan.

Ketika macam-macam spekulasi diputarkan warga siber di alam maya, mahupun ketika 'membawang' bersama rakan-rakan. Muncul pula kisah yang agak mencuit hati. Dilaporkan seorang ahli perniagaan di Pahang, takut mengisi PADU.Disangkakan risau duit hilang. Rupa-rupanya takut pecah rahsia kahwin dua.

Menjelang tarikh akhir kemaskini PADU Ahad ini, lain pula isu yang timbul. Sabah dan Sarawak mahu kerajaan Persekutuan menghentikan sementara atau menangguhkan pendaftaran data ini.

Mereka menggesa penilaian semula dibuat mengenainya. Persoalannya kenapa sekarang baru hendak bersuara? Sedangkan masa tiga bulan sudah hampir ke kemuncaknya. Sepatutnya awal-awal lagi lah.

Kendatipun begitu, kerajaan tidak memandang sebelah mata. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cakna mengenai perkara tersebut. Beliau meminta Yang Berhormat, Rafizi Ramli meneliti dan menjelaskannya kepada Jemaah Menteri.

Bagi Rafizi, kritikan-kritikan itu hanyalah bersifat peribadi. Politik semata-mata. Ia langsung tidak jejaskan pendaftaran PADU.

Dalam tempoh seminggu lalu, setiap hari ada 300,000 hingga 400,000 individu berdaftar dengan PADU. Nampak ada peningkatan mendadak di situ.

Mungkin rakyat Malaysia suka buat kerja 'last minute' atau pada saat akhir. Ada juga yang suka mengambil sikap tunggu dan lihat.

Data melalui sistem PADU juga diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Konsep ini juga dapat merancakkan ekonomi. Tapi kerajaan juga perlu memastikan data peribadi adalah selamat; dan pasti selamat.

Selain mengguna pakai lokaliti untuk sebarang pemberian bantuan kepada masyarakat. Serta mengenal pasti institusi yang akan bertanggungjawab terhadap data-data tersebut.

Untuk yang belum mendaftar PADU, teruskan usaha. Isi saja di laman web, atau berkunjung ke 6,300 kaunter fizikal disediakan di seluruh negara.

Kepada yang sudah, beribu-ribu tahniah buat anda. Mudahkanlah urusan orang, nescaya urusan kita dipermudahkan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Atau dalam erti kata lain, jika kita hendak melakukan sesuatu, kita berusaha sedaya upaya.

Keputusan di tangan anda. Inilah masanya untuk anda membuat keputusan. PADU, padu juga Zakat jangan lupa bayar.

Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, Editor Berita Radio RTM. 

MAT YUNUS BIN SABRI