fb fb fb fb fb

Cuaca panas, jangan pandang remeh

Fenomena El-Nino mengakibatkan air Tasik Ayer Keroh berkurangan/Foto Bernama

ULASAN BERITA

Sejak seminggu lalu, cuaca benar-benar terik, panasnya bukan main lagi, terutama negeri-negeri di utara tanah air. Suhu dicatat mencecah 38 darjah celsius dan adakala mencapai 40 darjah celsius, ia bukan panas biasa-biasa.

Gelombang haba paling tinggi dicatat di kedah dan Perlis dan dijangka berterusan selama seminggu lagi. Menurut laman sesawang MetMalaysia, 17 kawasan direkodkan berada di tahap satu atau tahap berjaga-jaga.

Suhu maksimum harian sehingga 37 darjah Celsius - sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Kawasan terlibat, Batu Pahat, Johor, manakala di Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Sik, Kota Setar, Pendang, Langkawi, Baling, Kulim dan Kuala Muda.

Sementara Perak di daerah Kinta, Hulu Perak dan Kuala Kangsar. Selain itu di Pulau Pinang -Timur Laut dan Seberang Prai Utara dan di Sepang, Selangor. Bahkan, Negeri Sembilan merekodkan ketiadaan hujan 10 hingga 13 hari berturut-turut akibat fenomena sama.

Cuaca panas ketika ini bukan sembarangan, jika tidak berhati-hati boleh terkena stroke haba. Ada yang menyatakan ia fenomena biasa menjelang Ramadan, namun kali ini rasanya lebih panas berbanding tahun sebelumnya. Perkara itu diakui peniaga bazar yang terpaksa bertahan di bawah payung pasar malam sahaja.

Pakar Klimatologi di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Fredolin Tangang sebelum ini pernah mendedahkan Malaysia bakal berdepan cuaca yang lebih ekstrem pada masa akan datang.

Jelas beliau, cuaca panas telah dijangka sejak Mei tahu lalu berpunca daripada pelbagai faktor. MetMalaysia pula melaporkan, gelombang haba ketika ini dipercayai akibat fenomena El Nino yang mempengaruhi suhu permukaan laut di Lautan Pasifik.

El Nino menyebabkan kenaikan suhu udara secara drastik, dan ia boleh mengganggu iklim di seluruh dunia. Dalam beberapa tahun terakhir, terdapat peningkatan dalam kejadian gelombang haba di Malaysia. Fenomena tersebut boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Jabatan itu turut menjangkakan negara mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan susulan ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama. Ia berikutan fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga penghujung Mac ini.

Keadaan cuaca panas ketika ini juga turut memberi kesan terhadap alam sekitar. Sungai Pahang contohnya, didapati semakin cetek, mendedahkan beting-beting pasir ibarat gurun.

Penduduk mendakwa air sungai itu mulai surut sejak awal tahun lagi. Airnya lebih cepat surut pada akhir bulan lalu susulan ketiadaan hujan dalam tempoh lebih dua minggu. Keadaan tersebut menjejaskan sekurang-kurangnya 40 nelayan darat dari beberapa buah kampung yang bergantung hidup dengan hasil sungai.

Perkara sama turut berlaku di air terjun Titi Hayun di Kedah, habis kering kontang. Paras empangan di beberapa negeri di utara juga semakin menyusut, memaksa pengguna berjimat cermat. Situasi berkenaan sedang dipantau rapi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sekiranya perlu, pembenihan awan akan dilakukan bagi memastikan paras air empangan berada pada tahap yang baik. Bagaimanapun, banyak faktor akan diambil kira sebelum pembenihan awan dilaksanakan. Operasi tersebut melibatkan kos yang agak tinggi, jika tidak berjaya ia akan dibazirkan begitu sahaja.

Cuaca panas melampau ketika ini tidak hanya berlaku di Semenanjung sahaja. Ia turut rekodkan di Sabah sehingga menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air bersih, dan telah berlarutan sejak seminggu yang lalu.

Susulan itu, orang ramai dinasihat agar mengelak berada di luar bangunan pada waktu siang untuk tempoh lama. Sekiranya terpaksa, pastikan memakai perlindungan, seperti topi, payung dan tidak berada dalam kenderaan tanpa pendingin hawa.

Pastikan minum air secukupnya, terutama mereka yang menjalani ibadah berpuasa ketika ini, pada waktu sahur. Jika mereka yang terpaksa berada di luar bangunan, lebihkan pengambilan minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang akibat berpeluh.

Gelombang haba boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan manusia. Terutama bayi, kanak-kanak, warga emas, dan orang yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti penyakit jantung, darah tinggi, atau asma. Golongan tersebut lebih mudah terdedah kepada risiko kesihatan akibat gelombang haba.

Baru-baru ini dua kes kelesuan haba dilaporkan di Sabah, melibatkan seorang pelajar lelaki ketika bermain bole sepak dan warga emas yang melakukan kerja-kerja menebang pokok. Walaupun ia kelihatan kes terpencil, namun usah dipandang remeh, kelesuan haba boleh menyebabkan kematian.

Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI