fb fb fb fb fb

Juadah bazar Ramadan mahal? Apa pilihan

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Kenaikan harga makanan di bazar Ramadan tahun ini telah dijangka. Dilaporkan peningkatan harga berlaku antara RM1 ke RM2 bagi setiap juadah.

Bagi peniaga, tiada alasan lain, ia berkaitan harga bahan mentah yang meroket naik. Mereka mendakwa modal harian yang perlu dikeluarkan juga bertambah sekali ganda.

Peniaga roti john mendakwa harga sos, roti, ayam dan daging cincang meningkat. Begitu juga penjual murtabak yang terpaksa berdepan dengan harga bawang mencecah RM7 sekilogram.

Dua juadah popular itu naik dari RM8 bagi roti john, kini berharga RM10 manakala murtabak, dari RM5 hingga RM6, kini RM7.

Bukan peniaga roti john dan murtabak sahaja yang terpaksa menaikkan harga, ia melibatkan hampir ke semua jenis juadah.

Daripada kuih-muih hingga kepada air balang. Paling ketara, kuih popia goreng, dahulu RM2 untuk tiga biji, kini RM1 sebiji. Air pula, daripada RM3, kini dijual pada kadar RM5 sebungkus.

Pun begitu, kebanyakan bazar Ramadan seluruh negara tetap meriah dikunjungi orang ramai.Orang ramai mungkin sudah bersedia atau terpaksa menerima kenaikan harga.

Berkunjung ke bazar kali ini, sekurang-kurangnya RM20 terpaksa dikeluarkan, kadang-kala tidak mencukupi. Itu baharu juadah biasa-biasa, jika teringin ayam golek, kambing bakar mahu berhabis sehingga RM50.

Bagi golongan yang berkemampuan, mungkin nilai RM50 tersebut tiada apa-apa. Jika dalam kalangan B40, termenung juga.

Solusinya bagi yang berkeluarga, masak sahaja di rumah, ia lebih menjimatkan. Barang basah yang dibeli juga mampu bertahan lebih lama kerana juadah disedia untuk berbuka dan bersahur sahaja.

Isu kenaikan harga di bazar Ramadan ini boleh dijadikan penanda aras, bahawa kenaikan harga barangan kini tidak dapat dielak.

Ia bukanlah kerana harga bahan-bahan mentah tersebut tidak dikawal kerajaan, namun atas faktor-faktor lain yang turut menyumbang ke arah kenaikkannya.

Seperti kita sedia maklum, kerajaan telah berusaha sehabis baik bagi mengawal harga barangan kawalan seperti ayam, telur, beras dan lain-lain.

Situasi perubahan harga yang mula dihadapi dalam negara adalah susulan berlakunya kenaikan harga bahan mentah makanan secara global.

Antara lain, faktor cuaca dalam negara dan juga negara pengeluar produk makanan tersebut. Jika berlaku bencana, ia memburukkan lagi situasi.

Perbezaan kadar atau nilai mata wang Malaysia dengan negara-negara pengeksport juga turut menyumbang kepada faktor kenaikan bekalan makanan.

Selain, peningkatan harga bahan import seperti makanan ayam, kos pengeluaran dan logistik serta harga komoditi di pasaran global.

Susulan itu, rata-rata peniaga makanan ketika ini terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual agar tidak mengalami kerugian.

Peniaga turut tersepit dalam keadaan tersebut, mahu dijual pada kadar harga biasa, bimbang rugi pula.

Jika dijual mahal risau akan membebankan pelanggan. Lebih memburukkan keadaan, juadah tidak habis dijual atau tidak laku.

Ada peniaga yang awal-awal lagi memohon maaf kepada pelanggan, kerana terpaksa menaikkan harga juadah. Ia tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, dalam situasi begini, harap-harapnya tiadalah golongan yang gemar menangguk di air keruh. Menaikkan harga secara melampau semata-mata mahu mengaut keuntungan berlebihan.

Seperti yang tular baru-baru ini, harga telur mata dijual pada kadar RM4.50 sen sekeping di bazar Ramadan. Selain, tidak meletakkan harga pada makanan yang dijual.

Harus diingat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sentiasa memantau keadaan. Kalau ada yang sengaja berbuat demikian, buruk padahnya.

Apa-apa pun terpulang kepada pelanggan, wang di tangan masing-masing. Bijaklah berbelanja, usah diikutkan rasa di hati.

Tambahan, berkunjung ke bazar dalam keadaan berpuasa pastinya semua juadah terasa mahu dibeli. Takut-takut nanti juadah berakhir dalam peti sejuk sahaja, tidak habis di makan.

Untuk yang mahu berjimat cermat mungkin boleh diselang-selangkan antara memasak di rumah dan membeli di bazar.

Sebelum ini, jika setiap hari ke bazar, boleh dikurangkan 2 hingga 3 hari sekali. Bagi yang berkemampuan, tiada masalah.

Namun bagi mereka yang cukup-cukup makan, masak di rumah jauh lebih menguntungkan. Bak kata orang, tepuk dada, tanya selera.

Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI