fb fb fb fb fb

KEB 2024: "Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera"  

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada 2 Mac 2024/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024), melabuh tirainya 2-Mac lalu. Apa yang kita faham... apa yang kita nampak hasil dapatan yang diraih sepanjang berlangsungnya kongres tiga hari bermula 29 Februari itu? Agak-agak, tercapaikah objektif penganjurannya untuk memberi suntikan semangat? Lebih penting... mampukah ia mengembalikan MARUAH, dan memasakkan kegemilangan EKONOMI BUMIPUTERA?

Ya, semalam di Parlimen, itulah juga antara persoalan yang dibangkitkan perwakilan Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. Ingin tahu secara jelas, mengenai hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka hasil daripada KEB 2024 bagi melonjakkan tahap sosioekonomi golongan berkenaan supaya terus berdaya saing.

Jawapan diberikan oleh Menteri Ekonomi - Rafizi Ramli, satu pelan jangka panjang Bumiputera akan dilancar oleh Kerajaan Perpaduan untuk tempoh 10 tahun akan datang pada Jun depan. Dinamakan "Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera", hasil intipati yang dibincangkan sepanjang KEB 2024 itu semestinya lebih ‘segar dan inklusif’ menerusi pelbagai bidang dan sektor.

Ia termasuk membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar. Serta bersifat menyeluruh, tanpa meminggirkan peranan semua etnik di Malaysia. Jauh sekali memberi ancaman atau merampas hak dan kepentingan pihak lain. Menyaksikan input, cadangan dan pandangan hasil KEB 2024 akan dicerakin, sebelum diterjemahkan ke dalam hala tuju baharu pemerkasaan bumimputera.

Tumpuan terarah kepada pengupayaan golongan profesional Bumiputera dari kelas pertengahan dalam perniagaan dan berpengalaman tinggi, yang “bukan lagi sekadar makan gaji". Sebaliknya mampu mencipta nilai kepada ekonomi, seterusnya meningkatkan pendapatan dengan beralih dari segi mobilisasi kapital yang bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.

Pendek kata, abad ke-21 tidak seharusnya wujud lagi sikap 'kebergantungan' atau lebih tepat, kurangkanlah budaya 'terlalu bergantung'. Sementelah ia merugikan dan terlalu lapuk sehinggakan mampu meninggalkan "kelas Bumiputera" itu, sangat jauh ke belakang.

Jangan terkejut, berdasarkan rekod pada tahun 2022, kadar kemiskinan Bumiputera berada pada tahap 7.9 peratus, diikuti kaum India (5.4 peratus) dan Cina (1.9 peratus) pada 2022. Malah, pengangguran dalam kalangan Bumiputera juga adalah yang paling tinggi -- 61.5 peratus daripada keseluruhan 630-RIBU 400 orang penganggur.

Sasaran pemilikan ekuiti korporat 30 peratus masih belum tercapai dengan kadar 18.4 peratus pada pada 2020, berbanding bukan Bumiputera pada 29.5 peratus. Memang agak pedih dalam merungkai kebenaran. Namun, itulah realiti yang perlu didepani.


Bertitik tolak daripadanya, Perdana Menteri - Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penutupan KEB 2024, umum peruntukan dana RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera. Dana berkenaan akan digerakkan melalui GLC dan GLIC, selain mobilisasi kapital swasta yang lebih baik, bertepatan hasrat untuk mewujudkan sebuah Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar turut mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta, menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun. Mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seramai RM100 ribu pelatih bumiputera akan dilahirkan dengan sasaran gaji minimum sekurang-kurangnya RM3 ribu sebulan.

Dalam hal ini, GLC dan GLIC serta syarikat swasta termasuk yang dimiliki kaum Cina dan India akan turut terlibat dalam inisiatif itu untuk melatih pelatih TVET yang majoritinya adalah Bumiputera. Skim Perumahan MADANI juga akan diwujudkan bertujuan membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik atas tanah rizab Melayu dalam kadar segera. Selain memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia, kekal menjadi kawasan milik orang Melayu.

Nah, itu antara lapan keputusan penting yang diambil kerajaan bagi mengangkat martabat dan darjat golongan bumiputera di negara ini. Namun pemantauan berterusan akan dilakukan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi memastikan setiap langkah yang diputuskan diurus dengan baik dengan tatakelola berkesan.

Menelusuri KEB 2024, sesungguhnya ia menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera. Ia diharap dapat memandu kerajaan merangka dasar atau program baharu berkaitan Bumiputera yang lebih tepat dan efektif serta memenuhi kehendak semasa dan masa depan negara.

Kongres kali ini dilihat mampu mengembangkan agenda ekonomi Bumiputera berasaskan pengetahuan, demi kemakmuran bersama tanpa mengambil hak kaum lain bersandarkan konsep 3P, iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera yang akhirnya memberi impak kepada agenda ekonomi mereka.

Berpaksikan semangat daripada KEB pertama pada 1965 yang turut membabitkan penyertaan menteri berbangsa India dan Cina untuk bersama-masa membantu memajukan agenda ekonomi Bumiputera yang akhirnya menjadi agenda nasional.

Jelas, tatkala membicarakan soal Bumiputera -- tidak pernah dan tidak akan ada cubaan untuk mengambil hak bukan Bumiputera, mahupun memberi ancaman kepada mana-mana pihak. Berpegang kepada matlamat yang satu ... wujudkan kebersamaan tanpa menjatuhkan antara satu sama lain ke arah melahirkan rakyat cemerlang, Malaysia gemilang.

 Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI