ULASAN BERITA
2024 ini, ramai penganalisis politik meramalkan tahun yang mencabar buat semua. Ia berdasarkan unjuran ekonomi yang tidak menentu sejak dunia dilanda gelombang wabak COVID-19. Kesan dominonya mulai dirasai kini. Ditambah, konflik berdarah dan peperangan di beberapa negara ketika ini, impaknya dirasai seluruh dunia
Negara-negara di peringkat global masih bergelut untuk memastikan ekonomi masing-masing stabil. Bulan ini, bermula juga sambutan ibadah Ramadan oleh umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, Ramadan kali ini dirasakan lebih mencabar. Selain harga barangan yang melambung tinggi, bulan ibadah itu juga disambut bersama pembukaan sesi sekolah 2024-2025.
Ibu bapa sibuk menyediakan pakaian dan kelengkapan anak-anak untuk memasuki sesi baharu persekolahan. Ramai yang berkerut dahi terpaksa mengeluarkan belanja lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bukan sikit, ribuan ringgit juga harus dikeluarkan bagi mereka yang anak-anaknya ramai masih bersekolah. Baju, seluar, uniform sekolah semuanya naik harga, mana ada yang turun.
Untuk anak-anak yang meneruskan persekolahan, uniform lama juga pasti mahu ditambah. Paling-paling tidak, sepasang... dari atas kepala hingga hujung kaki. Kos lebih tinggi juga perlu dikeluarkan bagi anak-anak yang baru melangkah alam persekolahan, atau beralih dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
Senang cerita, segala-galanya baharulah. Bagi umat Islam, selepas melakukan persiapan sekolah anak-anak, bersedia pula untuk bulan Ramadan. Selepas itu perayaan Aidilfitri, memang berturut-turut.
Rakan-rakan yang bukan Islam telah melaluinya, kerana terlebih dahulu menyambut perayaan masing-masing, dan kini bersiap-siap untuk anak-anak bersekolah pula. Pusing-pusing begitulah, sama sahaja.
Bagaimanapun, bagi mereka yang telah beringat dari awal, tidaklah gelabah sangat. Sedikit sebanyak, simpanan yang dikumpul pasti melegakan. Jika tidak banyak sekali pun tetaplah ada, daripada mengejut sahaja mahu mengeluarkan sejumlah wang yang besar.
Bantuan Awal Persekolahan, sebanyak RM150 yang diberi kerajaan seawal Januari lalu untuk setiap pelajar banyak membantu, terutama bagi golongan memerlukan. Begitu juga Sumbangan Tunai Rahmah yang ditingkatkan kepada RM500 tahun ini bagi mereka yang layak.
Penjawat awam juga dapat menarik nafas lega selepas kerajaan menyalurkan Bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 sebelum sesi persekolahan bermula. Tidak dilupakan juga mereka yang berpencen menerima RM1,000. Ia amat membantu ketika rakyat berdepan tahun ini yang dijangka amat mencabar.
Kembali kepada sambutan ibadah puasa bagi umat Islam, tumpuan pasti kepada bazar Ramadan. Pertamanya, harga makanan siap masak pasti akan ada peningkatan, ia tidak dapat dielak. Susulan harga bahan mentah juga boleh tahan ketika ini.
Harap-harapnya, kualiti makanan yang dijual setandinglah dengan kadar harga yang dikenakan. Jangan pula insiden karipap inti oksigen yang tular tahun-tahun lalu kembali lagi.
Netizen juga sudah mula 'berpesan-pesan' kepada mereka yang hanya berniaga setahun sekali di bazar Ramadan agar lebih berhati-hati dan cermat menyediakan juadah. Janganlah sampai tidak boleh dijamah langsung, seperti yang berlaku sebelum ini. Kesian, penat seharian berpuasa, mahu berbuka, makanan tidak boleh ditelan. Sudahlah mahal, perut kosong, hati pun sakit!
Bagi mereka yang sempat atau lebih memilih untuk memasak juadah berbuka di rumah, sediakanlah seadanya. Berpada-pada, usah terlalu banyak, takut membazir. Bukan apa, seperti tahun-tahun lalu, kadar buangan sisa juadah yang tidak habis dimakan dilaporkan tinggi. Terutama, bagi premis-premis yang menyediakan bufet Ramadan, tidak kira di hotel atau restoran.
Jumlah kutipan sisa makanan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam ketika Ramadan tahun lalu mencatatkan lebih 250,000 tan, berbanding kira-kira 208,000 tan pada 2019.
Dalam tempoh LIMA tahun kebelakangan, ia meningkat sehingga 21%. Peningkatan sisa makanan yang dibazirkan atau dibuang dicatatkan berlaku setiap tahun. Iyalah, sebelum berbuka bermacam juadah mahu ditelan kerana lapar, padahal besar mana sahaja ruang perut yang mahu diisi.
Oleh itu, beringat-ingatlah dalam memasak atau membeli juadah berbuka, usah terdorong nafsu. Kata orang, cermat ketika banyak, jimat ketika sedikit. Harap-harapnya, tahun ini berlaku perubahan.
Begitulah, apa pun cabaran pada tahun ini, hidup tetap perlu diteruskan. Jika punyai rezeki lebih, usahlah bermewah-mewah. Jika cukup-cukup makan pula, berhemat dan berbelanja seadanya. Usah terikut-ikutkan trend semasa... ukur baju di badan sendiri.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Berita Radio RTM.