fb fb fb fb fb

Rutin terkejut, sampai bila?

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Saudara, Kisah warga asing tak bayar bil rawatan di klinik dan hospital kerajaan, kembali berkumandang.

Sehingga akhir tahun lepas, jumlah tunggakan bil yang belum dilangsaikan mencecah kira-kira RM100 juta.

Ini termasuk kos rawatan bersalin, kecemasan, pemeriksaan pesakit luar dan pengambilan ubat. Sama seperti yang dinikmati rakyat tempatan.

Difahamkan, mereka yang tak bayar berasal dari 38 negara. Selain negara membangun, ada juga dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun. Kebanyakannya dipercayai pendatang tanpa izin.

Antara helah yang sering digunakan; mengaku tak ada duit dan janji nak bayar kemudian. Ada juga yang menghilang begitu sahaja. Melarikan diri, pergi tak kembali.

Laporan ini mengejutkan banyak pihak. Mana tidaknya, RM100 juta bukan angka yang kecil. Masih ingat penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa November lalu?

Langkah itu sebenarnya membolehkan kerajaan menjimatkan subsidi sebanyak RM100 juta sebulan. Ini digunakan untuk meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat, termasuk bantuan tunai.

Jumlah sama juga diperuntukkan bagi menjayakan program Jualan Rahmah untuk meringankan beban rakyat.

Di sini jelas faedah yang dinikmati, hasil langkah rasionalisasi atau penjimatan subsidi. Isu bil tertunggak warga asing, sebaliknya langsung tak rasional. Golongan ini seharusnya lebih bertimbang rasa.

Masih dengan angka RM100 juta. RM100 juta telah diagihkan menerusi Program Agihan Bantuan Wang Ihsan kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di Kelantan, tahun lepas. Bantuan yang disalur memanfaatkan lebih 73,000 keluarga di 10 jajahan.

Di peringkat antarabangsa, kerajaan Malaysia menjanjikan RM100 juta kepada tabung kemanusiaan dan perubatan Palestin. Kerajaan juga bercadang membina sebuah hospital ehsan bawah program pembangunan semula Gaza.

Kisah warga asing tak bayar bil rawatan sebenarnya bukan isu baharu. Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri Dua memaklumkan, Kementerian Kesihatan kerugian RM15.03 juta berikutan tunggakan bayaran perubatan warga asing yang dihapus kira.

Penemuan audit ketika itu mendapati, pengurusan kutipan hasil fi perubatan melalui sistem aplikasi di hospital, kurang memuaskan. Khususnya berkenaan pengurusan tunggakan dan hapus kira hasil.

Terdapat peningkatan RM6.03 juta atau 98.2% amaun hapus kira pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya, dan peningkatan RM4,122 pada tahun 2014 berbanding tahun sebelumnya.  Laporan itu mengejutkan banyak pihak.

Pada tahun 2017, kejutan berlaku lagi. Tunggakan bil rawatan warga asing dilaporkan melonjak kepada RM50.5 juta dalam tempoh 2012 hingga 2016. Perkara itu dibangkitkan seorang Senator dalam sidang Dewan Negara.

Beliau mencadangkan KKM, mewujudkan mekanisme khas bagi memastikan warga asing yang mendapatkan rawatan, membayar bil perubatan. Pihak kementerian tidak harus berkompromi dengan warga asing yang culas membayar kos perubatan.

Senator muda itu dengan nada sinis menegaskan, kalau rakyat Malaysia - tiada kompromi. Sampai dikejar jika tak bayar. Tapi warga asing boleh terlepas pula.

Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu berkata usaha sedang dibuat untuk menjejak warga asing yang belum menjelaskan tunggakan.

Tujuh tahun kemudian, kita dikejutkan lagi. Namun kali ini, kejutan tidak hanya disebabkan jumlah tunggakan terkini.

Kejutan lebih besar adalah fakta bahawa, jumlah tunggakan masih terus-terusan meningkat. Rupa-rupanya tidak semudah itu isu ini dapat diatasi.

Antara masalah utama yang dihadapi; Kurangnya kerjasama pihak kedutaan negara terlibat dan majikan; Pemalsuan dokumen seperti pasport dan permit kerja; serta penyalahgunaan kad keahlian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Ahad lepas Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan, pihak pengurusan dan teknikal KKM sedang mengadakan perbincangan mengenai isu itu. Kenyataan rasmi bakal menyusul. Semoga gejala ini dapat dihentikan dan tak lagi berulang. Buat baik berpada-pada, jangan sampai dipijak kepala.

Anak ayam di atas pagar
Turun ke tanah memakan padi
Kalau berhutang wajib dibayar
Kalau berjanji wajib ditepati.

Kalau ada menanam tebu
Boleh dijual di pasar desa
Kalau kita jadi tetamu
Biarlah pandai berbudi bahasa.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI