ULASAN BERITA
Mana hilangnya beras putih tempatan? Mesti ada pihak yang 'sembunyikan'.
Eh... susah betul la nak dapat beras harga murah zaman sekarang!. Dah merata tempat cari, letih la macam ni. Asyik jumpa beras import yang mahal ja. Kerajaan tak peduli masalah rakyat ke?
Itulah rungutan, persoalan dan tuduhan sering dikitar semula di media sosial. Seakan-akan pihak bertanggungjawab, tidak tahu buat kerja.
Sabar... Hidup biarlah berprinsip. Jangan kita suka mencari kesalahan orang lain kerana kita sendiri belum tentu sempurna. Bak kata pepatah .. apa payahnya menaupkan bibir atas bawah. Cakap memang mudah, tetapi hendak membuatnya payah.
Tak salah beri pendapat, idea sama dikongsi. Tapi... jangan pertikai kerja orang lain, kalau kita bukan berada di tempat mereka. Macam isu beras ini lah. Yang tak habis-habis.
Isu beras isu global. Masalah bekalan dihadapi semua negara tapi penyelesaian menyeluruh tak kunjung tiba. Akhirnya, muncul Beras Putih Malaysia Madani.
Apa itu? Beras Putih Malaysia Madani diperkenalkan sebagai kategori tunggal menggantikan kategori beras putih tempatan dan import.
Harga siling RM30.00 untuk kampit 10 kilogram. RM15.50 untuk 5 kilogram dan RM3.50 sen untuk 1 kilogram. Benar ada sedikit peningkatan jika dibandingkan dengan harga kawalan beras tempatan sebelum ini, yang tak pernah berubah sejak 18 tahun lalu.
Nak lebih jelas, cuba bayangkan harga barangan asas seperti susu, gula dan tepung pada tahun 2005 atau 2006. Mana mungkin harga itu dapat dikekalkan sehingga hari ini. Harga petrol pun naik dua kali pada 2005.
Daripada RM1.38 sen pada bulan April kepada RM.148 sen pada Mei sebelum naik lagi, RM1.58 sen dua bulan kemudian. Tetapi itulah yang berlaku kepada beras putih tempatan. Agak tidak adil jika kita nak harapkan harga kekal selama-lamanya, Sedangkan kos pengeluaran beras naik mencanak-canak.
Menurut Pasukan Petugas Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL): Tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import, selepas ini.
Khabarnya Beras Putih Malaysia Madani akan diperkenalkan Isnin minggu depan, dan berada di pasaran di seluruh negara bermula 1 Mac depan.
Pengilang juga dibenarkan membuat penyelarasan harga dengan bungkusan lama. Namun, perlu ditampal pelekat harga Beras Putih Malaysia Madani ditetapkan.
Itu pun ramai pula pertikai. Biasalah berkokok di luar gelanggang, bila ke tengah menyusup di bawah kelangkang. Kalau kecam orang, dialah nombor satu, tapi bila suruh buat sendiri. Faham-faham sendiri la ye...
Ya, secara tak langsungnya sebagai pengguna. Kebanyakan beras tempatan dalam pasaran sekarang dijual pada harga RM40.00 hingga RM42.00 untuk 10 kilogram. Harga maksimum RM30.00 pastinya melegakan. Di pihak petani. Adalah margin untung di situ.
Pengenalan kategori tunggal beras putih juga dapat menghentikan tindakan manipulasi atau bungkus semula beras putih tempatan kepada jenama lebih mahal. Cadangan Beras Putih Malaysia Madani dibuat NACCOL dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan sebenarnya mendengar desakan pihak berkaitan supaya penggunaan label beras import dan beras tempatan dimansuhkan. Bagi mengatasi isu tukar label kampit beras putih. Melangkah ke hadapan, kerajaan perlu pastikan bekalan Beras Putih Malaysia Madani cukup untuk memenuhi permintaan pasaran.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhasrat menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri jelapang padi kedua selepas Kedah dan Kelantan.
Hasrat itu akan direalisasikan menerusi pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar Ala Sekinchan. Langkah itu berpotensi meningkatkan pengeluaran beras negara. Tanah seluas 55 ribu hektar di Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk tujuan itu.
Meskipun tidak mencapai status negara pengeskport beras, sekurang-kurangnya dapat memenuhi keperluan domestik. Tanpa mengharapkan beras import.
Mengikut laporan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa pada 2018, Vietnam dan Thailand pernah menghasilkan 220 juta tan beras. Sekali gus menjadi antara tiga pengeksport beras tertinggi di dunia.
Namun larangan eksport yang dilaksanakan oleh India, iaitu penyumbang lebih 40 peratus daripada eksport beras dunia, nyata menjejaskan pasaran antarabangsa.
Di Vietnam harga beras tempatan melonjak naik. Di Filipina pula, pengeluaran terjejas akibat cuaca kering, El Nino. Indonesia dilaporkan mengimport 1.6 juta tan beras bagi memenuhi keperluan domestik ekoran musim menuai yang tertangguh selama dua bulan.
Namun harga beras menunjukkan peningkatan dan dijangka hingga bulan depan.
Syukurlah kita ada Beras Putih Malaysia Madani. Tak perlu lagi bayar lebih RM40.00 untuk 10 kilogram beras. Tanpa manipulasi label, bekalan diharapkan segera pulih.
Tak guna sekadar mengkritik membuta tuli. Menafikan langkah baik yang dirumuskan Kerajaan, dan mengisbatkan kecaman tidak berasas yang keliru lagi mengelirukan.
Bising-bising sahaja tak merubah apa-apa. Beras tetap jadi keperluan. Beras tetap kena beli. Perut kena isi. Renung-renungkanlah.
Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, Editor Berita Radio RTM.