fb fb fb fb fb

Penyangak dalam talian, musuh negara

Foto hiasan RTM

ULASAN BERITA

"Salam Sejahtera. Ini adalah panggilan daripada Bank dot dot dot. Anda mempunyai baki pinjaman tertunggak sebanyak RM20 ribu. Sila tekan 1 untuk bercakap dengan pegawai kami."

Dialog itu mungkin tak pernah didengar kebanyakan kita. Namun ada juga yang menerimanya. Itulah scammer.

Mengikut istilah Melayu dalam bidang Kriminologi, "scammer" berasal daripada bahasa Inggeris bermaksud "penipu". Jika di negara luar, hukumannya begitu berat. Pernah dengar kes scammer dihumban ke penjara selama lebih seribu tahun? Itu yang terjadi di Thailand.

Seorang bekas ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara selama 1155 tahun kerana penipuan pelaburan. Tertuduh juga diarahkan membayar pampasan satu bilion baht, bersamaan RM132 juta kepada semua mangsanya. Puas hati kan dengar? Rasa terbalas dendam. Tipu lagi orang. Ingat senang ke nak cari duit?

Kalaulah hukuman serupa dilaksanakan di Malaysia. Mungkin jumlah kes penipuan dapat dikurangkan dengan ketara. Pada umumnya, hukuman di Malaysia dikatakan tak tegas, kurang berkesan. Sebab itu lah masalah scammer ini berulang.

Macam-macam tindakan diambil pihak berkuasa. Tapi penipu ini seakan kebal. Walaupun 'bau busuk' penipu dapat dikesan, tapi terkena juga. Jadi tindakan kerajaan untuk teliti keperluan menggubal akta baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian.

Tepat sekali. Sudah sekian lama dinanti-nanti. Akta baharu itu diharap mampu gagalkan. Sekat dan halang pihak tidak bertanggungjawab ini daripada terus bermaharajalela.

Kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil walaupun ada beberapa aspek boleh dikawal selia dengan akta sedia ada; Jawatankuasa teknikal akan meneliti jenis perundangan di negara luar. Hukuman paling berat memang perlu dikenakan terhadap golongan ini.

Ia bukan cadangan kerajaan semata-mata. PDRM pun pernah suarakan perkara sama. November lalu, polis mencadangkan pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Termasuk Kanun Keseksaan (Akta 574).  Iaitu bagi menangani kes jenayah siber dengan lebih berkesan. Seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah terbabit.

Mana tidaknya... Tahun lalu saja Malaysia dah rugi RM1.34 billion kerana jenayah dalam talian. Naik 9% berbanding RM804 juta kerugian pada 2022.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberitahu, jenayah e-dagang merekodkan kes tertinggi. Diikuti jenayah telekomunikasi, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud dan e-kewangan. Beliau sendiri akui jumlah kerugian jenayah dalam talian ini mungkin lebih banyak.

Umpan scammer ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Aplikasi Whatsapp, Telegram, Facebook, dah jadi lubuk scammer buat duit. Apatah lagi ketika ini zaman siber, semuanya di hujung jari.

Teknologi semakin mendahului. Risiko pun tinggi. Ramai yang tidak membawa wang tunai lagi. Bayar makan minum pun menggunakan kod QR.

Sebagai pengguna, kita pastinya ingin data dilidungi. Penipu tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela. Kasihan kepada mangsa. Kerja berpuluh-puluh tahun, siang malam. Bila kena tipu, hilang duit berjuta-juta. Segalanya berlaku dalam talian, tanpa bersemuka pun. Malahan wajah penipu pun tidak dikenali.

Nak salahkan orang lain pun tak boleh. Seperti peribahasa, Gar-gar kata gelegar, rasuk juga yang menahannya. Dalam sesuatu perkara jangan terlalu percaya pada kata orang kerana akibatnya nanti ditanggung sendiri.

Khabarnya, penipuan pelaburan ketika ini semakin galak menggunakan teknologi AI bagi menarik minat pelabur. Mereka mendakwa, pelaburan menggunakan robot AI boleh menjamin tidak berlaku kerugian.

Pendek kata untung, untung dan untung lagi. Sedangkan realitinya, tiada pelaburan yang kalis rugi. Dakwaan sedemikian, sebenarnya bohong atau tipu semata-mata.

Bagi anda yang masih selamat, teruskan berhati-hati. Kita jaga kita. Hati-hatilah. Banyak cabarannya masa kini. Kepada penipu yang tidak berhati perut. Hentikanlah perbuatan menganiaya orang. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Carilah duit sendiri secara halal dan bermaruah. Sedarlah, menipu adalah perbuatan zalim. Ia bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan wang, tetapi juga berisiko hilang pertimbangan dan harga diri.

Mungkin tidak ramai yang sedar, sudah ada yang dilaporkan cabut nyawa sendiri. Gara-gara diperdaya penyangak dalam talian.

Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI