ULASAN BERITA
Baju Melayu Teluk Belanga
Jadi idaman perantau kota
Raja adil, Raja bijaksana
Megah bersemayam di atas takhta
Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, Rabu lalu, melakar momen amat bermakna dan istimewa dalam sejarah Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas menyempurnakan tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Menelusuri sejarah takhta Sultan Ibrahim, baginda dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 31 Julai 1981 di Istana Besar, Johor Bahru. Pelantikan berkenaan dimasyhurkan oleh Almarhum Sultan Iskandar. Pada 22 Januari 2010, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja, sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Johor sehari kemudian, selepas ayahandanya mangkat.
Sultan Ibrahim seorang yang berwawasan dan memiliki kebijaksanaan dalam mentadbir Johor, sehingga dapat memacu Johor, menjadi negeri maju dan moden di selatan tanah air.
Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 disambut penuh gembira oleh segenap lapisan rakyat, di seluruh negara. Perasaan terharu, bersyukur dan bangga diluahkan oleh seluruh rakyat yang meraikan pelantikan Sultan Ibrahim sebagai ketua utama negara baharu.
Siapa sahaja yang tidak kenal Sultan Ibrahim? Di sebalik raut wajahnya yang serius, Seri Paduka Baginda dikenali sebagai pemerintah yang cukup mesra dan berjiwa rakyat. Perkara itu dirasai rakyat Johor, terutamanya menerusi siri Kembara Mahkota Johor yang menyaksikan Sultan Ibrahim menjelajah ke seluruh negeri bagi bertemu rakyat.
Tidak mustahil konsep kembara sama akan diperluaskan ke peringkat nasional sebagai platform untuk baginda mencemar duli turun menyantuni, mendalami dan memahami denyut nadi rakyat. Jangan tak tahu, Seri Paduka Baginda mempunyai populariti tersendiri di media sosial. Memiliki lebih sejuta pengikut di Facebook, Sultan Ibrahim tidak kekok untuk berkongsi pelbagai aktiviti harian baginda.
Mengenali Sultan Ibrahim, baginda juga amat menitikberatkan konsep "Bangsa Johor". Konsep yang diilhamkan sejak zaman nenda baginda, Almarhum Sultan Sir Ibrahim, bertujuan menyatukan semua rakyat Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum, terbukti berkesan hingga kini. Seri Paduka Baginda sendiri pernah menyuarakan hasrat untuk mengembangkan konsep itu di seluruh Malaysia, jika diangkat menjadi Ketua Utama Negara.
Di sisi lain, Sultan Ibrahim dikenali sebagai pemerintah yang lantang dan berani bersuara. Sentiasa cakna dan mengambil berat pelbagai isu semasa, khususnya bersangkut paut kestabilan politik. Kerap juga Sultan Ibrahim mengeluarkan titah teguran terhadap amalan politik keterlaluan, termasuk gelagat ahli-ahli politik yang menjengkelkan.
Pernah ketika menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi Persidangan Keempat DUN Johor ke-14, baginda bertitah, "Jangan cemarkan dewan dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia, bukan dewan sangkar beruk." Bunyinya keras dan menusuk kalbu. Ketegasan Seri Paduka Baginda bagi memastikan kehidupan rakyat jelata terpelihara, perpaduan kaum dan kestabilan politik terjamin sudah pasti sangat dinanti-nantikan.
Sekian lama, Sultan Ibrahim memberi isyarat bahawa kedudukan baginda mengatasi politik dan tidak memihak kepada mana-mana ahli politik. Diulangi lagi dalam titah peringatan semasa Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 bahawa tumpuan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 adalah menjaga kepentingan 33 juta rakyat. Bukannya, melindungi 222 Ahli Parlimen. Malah, menghentikan gejala rasuah dan memerangi pihak yang korup, juga akan menjadi agenda Sultan Ibrahim.
Keseriusan Seri Paduka Baginda dalam memerangi salah laku rasuah dilihat senada dengan pendirian kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sokongan dan restu Yang di-Pertuan Agong tentunya akan menjadi rangsangan kepada kerajaan untuk melakukan reformasi tatakelola dan tadbir urus negara, serta membanteras rasuah habis-habisan.
Sesungguhnya amanah besar menanti Sultan Ibrahim untuk penggal pemerintahan lima tahun akan datang. Semoga kebijaksanaan, ketegasan dan kepemimpinan bitara Seri Paduka Baginda dapat memacu kemajuan negara berserta membawa limpahan kesejahteraan kepada rakyat.
Sekalian rakyat mendoakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Daulat Tuanku!
Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, Editor Berita Radio RTM.