ULASAN BERITA
Tanggal 30 Januari ini, genap lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Bermakna hanya tinggal empat hari, Seri Paduka Baginda akan bersemayam atas takhta kerajaan Malaysia.
Sejak ditabalkan sebagai Ketua Utama Negara pada 2019, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memainkan pelbagai peranan signifikan. Sekaligus, membuktikan Institusi Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar simbol.
Sebaliknya menjadi pelindung, serta asas kepada perpaduan dan penyatuan pelbagai kaum. Sepanjang menduduki takhta negara, sejarah demi sejarah dilakar. Paling meninggalkan kesan adalah ketika Tuanku berdua berkenan mengadakan program Kembara Kenali Borneo yang mencipta fenomena luar biasa.
Meskipun kembara itu hanya menjelajah Borneo, saban hari perkembangannya dinantikan rakyat seluruh negara yang turut berkongsi rasa teruja. Keperibadian dan kerendahan hati Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, serta seisi keluarga Diraja yang sanggup mencemar duli menyantuni rakyat jelata di kawasan pedalaman menyentuh sanubari.
Sambutan luar biasa diterima di setiap lokasi yang dilalui menunjukkan betapa Seri Paduka Baginda berdua disayangi rakyat. Sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara, Tuanku berdua juga kerap menyantuni penduduk terjejas banjir. Ia merupakan sifat semula jadi pasangan diraja itu yang akan 'turun padang' bersama-sama membantu rakyat memerlukan.
Keperibadian dipamerkan jelas diwarisi daripada Almarhum ayahanda Baginda, Sultan Ahmad Shah. Tanpa menghiraukan protokol, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga pernah dirakam lensa kamera meredah air banjir dengan menaiki sampan, bagi menyelami sendiri kepayahan dihadapi rakyat. Malah, Tunku Azizah turut mencuri tumpuan apabila berkenan mencemar duli memasak kepada penduduk terjejas banjir. Bukan sekali, bukan dua kali, bahkan berkali-kali.
Semasa negara dilanda pandemik COVID-19 pula, Al-Sultan Abdullah mempamerkan keprihatinan tinggi dengan menitahkan agar rakyat yang mengalami kesusahan, diberi bantuan sewajarnya. Pernah diceritakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Baginda, Datuk Nazim Mohd Alim apabila Al-Sultan Abdullah menitahkan beliau mencari setiap rumah yang mengibarkan ‘bendera putih’ untuk diberikan bantuan.
Lebih bermakna, bantuan yang disalurkan adalah daripada wang Seri Paduka Baginda sendiri. Ini membuktikan betapa luhurnya hati Al-Sultan Abdullah dan kasihnya Baginda terhadap rakyat jelata. Ketokohan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Utama Negara juga terserlah ketika menangani kemelut politik yang melanda tanah air.
Sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berdepan beberapa episod pergolakan politik. Termasuk situasi Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia.
Di samping itu, Seri Paduka Baginda turut berhadapan situasi politik paling mencabar yang menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri dalam tempoh hanya satu penggal. Namun, kebijaksanaan dan kewibawaan Al-Sultan Abdullah berjaya memastikan konflik tidak berpanjangan.
Dalam menangani situasi kompleks ini, selain bermusyawarah dengan Raja-Raja Melayu, Baginda Tuanku turut mendapatkan pandangan semua Ahli Parlimen dengan menemu bual sendiri setiap daripada mereka.
Di sini dapat dilihat peranan penting dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi rujukan, serta semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara. Yang pasti, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan dikenang sebagai 'Raja Berjiwa Rakyat' yang sebenar-benarnya.
Keperibadian Seri Paduka Baginda berdua yang prihatin, mudah didekati, serta tidak kekok ketika beramah mesra dengan rakyat jelata akan sentiasa menjadi ingatan. Istilah 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada', jelas terserlah sepanjang tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah.
Didoakan agar Seri Paduka Baginda berdua, serta seluruh keluarga Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya. Rakyat Malaysia amat menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku berdua dalam memayungi negara selama lima tahun.
Sudah pasti, rakyat Pahang amat merindukan dan tidak sabar-sabar menantikan kepulangan raja mereka yang amat disanjung dan disayangi. Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku!
Ulasan berita ini disediakan oleh Masniza Awang Kechik, Editor Kanan Berita Radio RTM.