fb fb fb fb fb

Pelarasan air, terbebankah kita?

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Seperti yang kita sedia maklum, pelarasan tarif air bagi pengguna domestik akan dilaksana, bermula bulan depan. Dalam kata mudahnya, tarif air akan dinaikkan. Pelarasan ini terhad kepada Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang diletak bawah kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut SPAN, kenaikan tarif tidak boleh ditangguh lagi. Pelaksanaannya perlu disegerakan. Kenapa begitu?

Kebanyakan operator air sebenarnya berdepan isu membabitkan kualiti air terawat tidak memuaskan, loji melebihi kapasiti dan pendapatan tidak dapat menampung kos. Selain itu mereka juga menanggung hutang tertunggak yang tinggi dan masalah air tidak terhasil yang bukan rendah.

Mungkin ada sebahagian kita yang kurang jelas apa itu air tidak terhasil atau NRW. NRW bukan bermaksud kegagalan operator menghasilkan air ya. Kebanyakan NRW menjurus kepada kebocoran paip, menyebabkan kehilangan air terawat. NRW juga direkodkan apabila berlaku kes kecurian air.

Ringkasnya, bekalan air yang disalurkan tidak membawa pulangan kewangan atau hasil. Membazir betul. Maklumlah, banyak paip usang sudah berusia lebih 30 tahun di seluruh negara.

Sebagai pengguna, kita pastinya ingin tahu kesan langsung kenaikan tarif. Adakah dompet kita bakal terjejas teruk? Menurut SPAN, kenaikan purata dianggarkan 22 sen setiap meter padu atau kira-kira RM1.60 sen, hingga RM8.00

Berdasarkan rekod tahun 2022, kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air ialah RM1.75 sen setiap meter padu. Jauh lebih tinggi daripada kenaikan 22 sen. Jelas, kenaikan tarif tidak sampai 13 peratus daripada kos yang ditanggung.

Dalam pada itu, mungkin pertambahan sehingga RM8.00 pada bil air bulanan agak berat bagi sesetengah isi rumah. Seperti golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar.

Untuk golongan ini, syarikat operator air bersetuju memberi bantuan khusus berdasarkan data sedia ada dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

Sementara menanti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap dikemas kini. Kerajaan akan terus memastikan golongan yang memerlukan bantuan, tidak terbeban.

Namun tidak sampai 24 jam SPAN mengumumkan pelarasan tarif air, ada pihak tidak bertanggungjawab mula memainkan isu politik. Pelbagai tohmahan dilempar kepada kerajaan Persekutuan. Kononnya kenaikan tarif air menunjukkan kerajaan Persekutuan gagal mempertahankan kepentingan rakyat.

Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, kadar pelarasan tarif air baharu, bukannya 'suka-suka'. Semakan dibuat atas permintaan operator pembekalan dan semua kerajaan negeri. Termasuk negeri yang tidak berkongsi fikrah politik dengan kerajaan Persekutuan.

Tarif air di Pahang misalnya tidak disemak sejak 40 tahun lalu, sedangkan kos terus meningkat. Kenaikan tarif diharap dapat menambah baik sistem bekalan air di negeri-negeri terlibat. Agar tiada lagi yang terkesan susulan gangguan bekalan akibat paip usang pecah, tekanan air rendah dan kualiti air berkeladak.

Jika diimbas kembali pada November tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui semakan tarif, akan memberi kelegaan kewangan kepada Kerajaan Negeri untuk membayar hutang kepada kerajaan Persekutuan bermula tahun depan.

Malahan beliau menjangkakan masalah gangguan bekalan air yang sering dialami penduduk Kedah dapat diselesaikan, tahun lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga bersetuju menerima cadangan kenaikan tarif air, seperti disaran kerajaan persekutuan. Setelah lebih 20 tahun tiada kenaikan tarif air di negeri tersebut.

Begitu juga di Kelantan. Air Kelantan Sdn Bhd menyambut baik langkah pelarasan tarif air domestik kerana secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan. Ia mampu menambah pendapatan untuk digunakan bagi operasi dan kerja pembangunan infrastruktur, naik taraf, baik pulih dan penyelenggaraan.

Di sini jelas menunjukkan keputusan menaikkan tarif air dibuat secara bersama demi kepentingan rakyat.

Kepada penyebar diayah yang cuba mengelirukan ummah. Jangan lebih sudu daripada kuah. Kita ni baru saja melangkah ke tahun 2024. Sudah-sudahlah dengan politik fitnah dan kebencian.

Belum terlambat memasang azam tahun baharu. Beralihlah kepada politik matang bagi membangunkan negara bangsa.

Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid Editor Kanan Berita Radio RTM

MAT YUNUS BIN SABRI