fb fb fb fb fb

Daftar segera PADU, elak terlepas subsidi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada sidang media pasca peluncuran PADU di kementeriannya pada 4 Januari 2024/Bernama

ULASAN BERITA

Sudah 11 hari pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama atau PADU dibuka kepada orang ramai. Walaupun hari pertama dilihat agak perlahan, tetapi kini momentum itu semakin meningkat dan terus mendapat sambutan.

Ia bergantung pada diri kita sebenarnya, terutama Ketua Keluarga. Sebagai Ketua Keluarga, anda perlu mengemaskini maklumat diri dalam sistem berkenaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit.

Jika belum, cepat-cepatlah berbuat demikian, supaya sasaran 29 juta warganegara Malaysia berdaftar menjelang tarikh akhir ditetapkan iaitu 31 Mac, mampu dicapai. Sekali gus memastikan agenda penyasaran subsidi seperti dirancang tahun ini, dilaksana dengan jayanya.

Bagi yang sudah, tahniah diucapkan. Lebih bagus, kita bantu atau galakkan pula orang-orang sekeliling kita untuk mendaftar, termasuk ibu bapa, keluarga atau jiran yang kurang mahir digital.

Lagi cepat kita berbuat demikian, lagi bagus! Ia bagi menggerakkan seramai mungkin orang untuk mengesahkan maklumat mereka dalam sistem PADU.

Baik, selepas 11 hari dilancarkan, bilangan mereka yang mendaftar dengan PADU, sudah melepasi sejuta orang. Angka ini akan meningkat saban hari, sehingga sasaran 29 juta boleh dicapai, dalam tempoh tiga bulan ini.

Persoalannya, cukupkah garis masa tiga bulan ditetapkan.

Ada segelintir masyarakat kata, tiga bulan sahaja tidak cukup. Malah, ada yang merungut kononnya arahan ini dibuat secara tergesa-gesa.

Untuk menjawab persoalan itu, mari kita dengar penjelasan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Semasa bercakap dalam program baharu podcast Yang Bakar Menteri, beliau berkata, tiga bulan adalah tempoh maksimum untuk memastikan rasionalisasi subsidi dibuat dengan lancar. Bagi tujuan itu, data tersebut perlu disiapkan terlebih dahulu.

Kepada yang masih kurang jelas, PADU bertindak sebagai pusat sehenti yang menggabungkan ke semua data kita daripada pelbagai agensi kerajaan. Jika proses mengesahkan data tidak lengkap, maka data yang dikumpul tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Sedangkan kerajaan menyasarkan untuk melaksanakan subsidi bersasar bermula tahun ini bagi mengurangkan defisit fiskal. Jadiā€¦ itu sebab mengapa tiga bulan tempoh pendaftaran PADU, ditetapkan.

Menurut YB Rafizi Ramli lagi, kerajaan sebenarnya  boleh sahaja membuat keputusan untuk tidak meminta orang ramai mendaftar dengan PADU. Sebaliknya, mengguna pakai semua data sedia ada.

Tapi, untuk berlaku adil, sistem berkenaan dibuka kepada segenap lapisan masyarakat. Terutama kepada kumpulan yang mungkin tercicir daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan. Sedangkan hakikatnya dia layak.

Mengapa ini berlaku? Sebab, data mereka tiada dalam sistem sebelum ini. Mungkin, mereka juga sebahagian daripada 40 peratus tenaga kerja dalam sektor informal di negara ini. Data golongan ini tidak wujud dalam sistem seperti di LHDN, KWSP dan sebagainya.

Jadi, mustahil bagi kerajaan untuk hanya bergantung pada data sedia ada semata-mata untuk mengenal pasti mereka sebagai golongan sasar yang berhak menerima subsidi. Sehubungan itu, PADU dibuka bukan sahaja kepada golongan tenaga kerja dalam sektor formal, tetapi untuk semua.

Sekali gus akan membolehkan kerajaan melihat dan menilai semua data mereka. Pendek kata, PADU akan dijadikan sebagai tulang belakang kepada proses pendigitalan khidmat awam.

Apa akan jadi jika kita gagal mendaftar selepas tempoh berakhir  31 Mac?

Menurut YB Rafizi, kita boleh tercicir daripada menerima bantuan, pusingan pertama. Ini sekiranya kerajaan sudah boleh menentukan siapa yang layak mendapat subsidi bersasar pada April atau Mei, selepas merujuk kepada pangkalan data terbabit. Walaupun kerajaan tidak akan tutup sepenuhnya pendaftaran selepas 31 Mac.

Tetapi jika sudah terlepas pusingan pertama bantuan berkenaan, alangkah ruginya. Orang kata, kalau nakkan sesuatu, mulakan dengan langkah pertama.

Paling penting, semua pihak perlu memainkan peranan menggerakkan seramai mungkin orang untuk mendaftar.

Langkah ini turut dipergiat menerusi 'flying squad'. Mereka akan membantu golongan buta IT khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman. Pasukan itu digerakkan dari minggu ke minggu ke kawasan tertentu berdasarkan prestasi kemas kini pendaftaran pada minggu pertama.

Selain itu, pendaftaran PADU juga boleh dilakukan di Pejabat Operasi Negeri DOSM dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Sebenarnya, pujian harus diberikan kepada Menteri Ekonomi kerana berani tampil berkongsi dan menjelaskan sesuatu isu dalam satu platform baharu di media sosial. Iaitu Yang Bakar Menteri atau YBM terbitan beliau sendiri.

Program berbentuk podcast itu mula bersiaran secara langsung Isnin lepas secara berkala setiap dua minggu. Ini menunjukkan beliau tidak berselindung atau lari daripada sesuatu isu berbangkit. Malah, mana-mana pihak ingin mencabar dirinya dipelawa menyertai siaran terbabit.

Yang mana nak bakar, silakan. Sesiapa sahaja berpeluang bersemuka dengan beliau. Inilah masanya. Jangan hanya ligat sebagai pahlawan papan kekunci tetapi pada hakikatnya tak berapa nak berani.

Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI