fb fb fb fb fb

PADU: Data selamat, usah bimbang

PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran PADU pada 2 Januari 2024/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Siapa kata tak selamat? Betul ke data kita boleh dicuri atau digodam?

Itu antara persoalan segelintir masyarakat berhubung sistem Pangkalan Data Utama atau PADU yang baru dilancarkan Selasa lepas. Mereka bimbang sistem itu berisiko diancam serangan siber. Sekali gus menyebabkan data peribadi kita diakses dan digunakan penggodam untuk tujuan tidak elok.

Menjawab persoalan tersebut, mari kita dengar penjelasan CyberSecurity Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, serangan penggodam sebenarnya boleh diatasi. Bagi memastikan keselamatan pangkalan data, audit keselamatan perlu dilakukan secara berkala.

Ya, sangat penting melakukan audit keselamatan secara berkala. Sedangkan pihak perbankan mengambil langkah sedemikian, inikan pula kerajaan. Tidak sedikit institusi kewangan yang melaksanakan audit keselamatan setiap hari. Ini menunjukkan betapa seriusnya mereka menangani ancaman penggodam. Bagaimanapun risiko keselamatan tetap ada.

Semakin luas rangkaian, semakin mudah sesuatu sistem terdedah kepada ancaman. Walaupun ketika ini sistem PADU disahkan selamat, mungkin lima atau enam bulan akan datang boleh berubah. Bagi sistem PADU, CyberSecurity Malaysia memainkan peranan strategik melakukan penilaian keselamatan berterusan. Sama ada pada rangkaian pangkalan data mahupun hos PADU.

Sekarang, apa pula kata Menteri Ekonomi?

Menurut Rafizi Ramli, pelbagai langkah keselamatan dilaksana bagi melindungi data sistem berkenaan. Malah, pembangunan sistem PADU turut mengambil kira segala aspek berkaitan risiko keselamatan sistem dan kebocoran maklumat terperingkat.

Untuk memastikan pengendalian data yang selamat, SOP komprehensif telah diwujudkan. Di samping itu, kerjasama strategik diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dan CyberSecurity Malaysia. Termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Dengan ini, tahap keselamatan dapat ditingkatkan manakala risiko kebocoran data dibendung sebaiknya. Kerajaan juga melantik Kumpulan Pakar Bebas yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Mereka berperanan sebagai semak dan imbang serta memastikan sistem PADU memiliki ciri-ciri keselamatan terkini dan terbaik.

Penjelasan serupa turut diberikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Katanya, pemantauan tentang aspek keselamatan terus dilakukan dari semasa ke semasa. Sejak dilancarkan, PADU berjalan lancar. Malah, beberapa isu dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam jangka singkat oleh skuad PADU.

Sehubungan itu kata Fahmi, rakyat Malaysia boleh menggunakannya tanpa ragu-ragu atau risau tentang tahap keselamatan data peribadi mereka. Juga, tidak timbul kewajaran menangguhkan pelaksanaan PADU seperti saranan sesetengah pihak.

Namun begitu, pandangan beberapa pakar keselamatan siber yang berpengalaman luas rasanya lebih layak diutamakan. Misalnya, cadangan supaya PADU melalui penilaian ancaman secara masa sebenar untuk mengenal pasti sebarang bentuk kelemahan.

Bagi memastikan ujian itu dilakukan secara komprehensif, penggodam beretika atau vendor yang diperakui perlu dilibatkan dalam ujian tersebut.

Pemantauan pangkalan data secara masa sebenar adalah penting. Imbasan secara berterusan itu akan meningkatkan tahap keselamatan dan membolehkan ia bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan serangan penggodam.

Dengan itu, keyakinan harus disandarkan pada jentera kerajaan bahawa maklumat yang dikemas kini dalam sistem PADU adalah selamat dan terjamin. Jadi, adakah anda sudah berdaftar dan mengesahkan maklumat yang telah dikumpul dalam pangkalan data PADU?

Jika sudah, syabas. Anda memang "padu". Anda antara lebih 400-ribu yang terawal menyahut seruan kerajaan untuk berbuat demikian. Jika belum, segeralah berdaftar sebelum tempoh akhir 31 Mac. Benar, anda boleh memilih untuk tidak mendaftar. Tetapi terdapat risiko yang perlu ditanggung.

Pendaftaran PADU dibuat untuk melihat sama ada anda layak menerima bantuan termasuk subsidi bersasar. Kegagalan mendaftar boleh menyebabkan anda tidak menerima bantuan atau perlindungan sosial yang selayaknya.

Alangkah ruginya. Keputusan di tangan anda. Rezeki jangan ditolak. Dalam hal ini, hanya kita yang boleh menafikan hak diri sendiri dan keluarga.

Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI