ULASAN BERITA
Kurang 10 hari 2023 bakal melabuhkan tirainya. Tahun ini adalah tahun yang berduka untuk pejuang kemanusiaan. Satu daripada tahun yang menyaksikan paling banyak kematian dalam sejarah konflik Palestin-Israel.
Lebih dua bulan bumi Gaza bermandi darah. Penduduk Palestin kini pasrah mereka hanya mampu berserah. Tiada lagi tempat selamat buat mereka di wilayah terkepung itu.
Video dan foto 40 sekeluarga yang syahid selepas rumah mereka dibom rejim Israel. Kanak-kanak kecil menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibu dan bapa. Doktor yang terpaksa membuat prosedur amputasi anggota badan anaknya sendiri tanpa sebarang bius.
Antara beratus-ratus atau barang kali beribu-ribu video dan foto yang dikongsi sama ada di Instagram, Telegram, mahupun TikTok. Jika ada sekelumit rasa kemanusiaan, tidak mungkin semudah itu, dan sekelip mata, kita dapat melupakannya. Mereka adalah sebahagian daripada puluhan ribu rakyat Palestin yang terkorban dan cedera akibat keganasan rejim Israel.
Perkongsian laporan berita dan visual media tempatan memberi impak kepada masyarakat dunia tentang apa yang berlaku di Gaza. Malangnya, begitu ramai petugas media yang membayar dengan nyawa untuk membawa kebenaran kepada semua.
Mereka berdepan risiko tinggi semasa membuat liputan, dalam keadaan tentera Israel menggila membedil kota Gaza, sama ada dari udara, darat mahupun laut. Lihatlah, pengorbanan mereka sangat besar nilainya apabila mempertaruhkan nyawa sendiri atas nama menegakkan keamanan sejagat.
Hingga kini, dilaporkan hampir 70 wartawan dan petugas media terkorban. Sebahagian besarnya, merupakan warga tempatan Gaza yang maut bersama ahli keluarga setelah kediaman mereka dibom tentera zionis.
Sedangkan, undang-undang antarabangsa dengan jelas melindungi hak wartawan termasuk semasa konflik atau peperangan seperti mana mengikut hak asasi manusia. Malah, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) diberi mandat untuk melindungi perkara tersebut.
Israel menyerang bukan mengira siapa Islam, Kristian, malahan bangsa mereka sendiri sewenang-wenangnya dibunuh. Diakui pula oleh tentera zionis sendiri.
Banyak bukti jelas menunjukkan perilaku kebinatangan mereka. Ketika masyarakat dunia semakin terbuka mata, mengapa pemimpin-pemimpin kuasa dunia semakin BUTA?
Lihat sahaja Majlis Keselamatan PBB yang longlai.
Entah apa fungsi mereka sebenarnya.
Selepas Amerika Syarikat guna kuasa veto bagi membatalkan draf resolusi gencatan senjata di Gaza pada 8-Disember lepas. Majlis Keselamatan sekali lagi berdepan pengundian untuk draf resolusi untuk hentikan kekejaman di Gaza, minggu ini.
Malangnya, tiga kali pengundian ditangguh. Mereka masih belum dapat capai kata sepakat mengenai draf resolusi gencatan senjata kemanusiaan yang amat diperlukan di Gaza.
Masih lagi berlengah-lengah, masih lagi bertelagah sama ada mahu melaksanakan gencatan senjata atau jeda kemanusiaan.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa yang membezakan gencatan senjata atau jeda kemanusiaan.
Dan apa yang membuatkan Amerika Syarikat dan sekutunya menentang gencatan senjata? PBB mendefinisikan jeda kemanusiaan sebagai 'suatu langkah menghentikan operasi ketenteraan di kawasan tertentu selama tempoh tertentu'.
Kebiasaannya dalam waktu yang singkat untuk memudahkan operasi kemanusiaan dilaksanakan. Berbeza dengan gencatan senjata kemanusiaan yang didefinisikan sebagai "penghentian pertempuran yang disepakati oleh pihak-pihak konflik.
Yang biasanya dicapai dengan campur tangan orang tengah atau pihak-pihak luar. Dan bertujuan, memungkinkan pihak-pihak terlibat dalam dialog, termasuk kemungkinan mencapai penyelesaian yang tuntas dan berkekalan.
Israel yang licik sudah tentu menentang gencatan senjata kerana belum mencapai matlamat untuk menghapuskan pejuang Hamas dan, belum puas melakukan pembantaian yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Suara rejim zionis didukung oleh negara "Uncle Sam" dengan kelebihan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan, menyatakan hak Israel untuk mempertahankan diri dan menentang gencatan senjata saat korban warga Gaza terus meningkat.
Dalam masa sama, berpura-pura ambil berat dan bimbang dengan angka korban orang awam di Gaza.
Hakikatnya, tidak kisah!
Dalam hal ini, kita berbangga dengan negara tercinta, Malaysia. Yang tidak putus-putus membangkitkan isu kesengsaraan rakyat Palestin di pentas dunia dan, terus menghulur bantuan kemanusiaan kepada mereka.
Terbaharu, kapal-kapal yang berpangkalan di Israel atau mengibarkan bendera Israel atau menuju ke negara haram itu, dilarang berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini. Memunggah muatan juga tidak dibenarkan!
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan. Serta melanggar undang-undang antarabangsa dengan melakukan kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Kali ini juga, lebih ramai rakyat terpanggil untuk boikot jenama yang menyokong Israel dan produk Israel. Ya, teruskan jihad kecil anda!
Dengan usaha berterusan, percayalah mereka memang terkesan! Ingat, isu Palestin bukan soal agama, sebaliknya isu kemanusiaan sejagat.
Tegakkan nilai kemanusiaan! Bebaskan Palestin!
Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan Editor Kanan Berita Radio RTM.