fb fb fb fb fb

Rombakan kabinet Kerajaan Madani tingkat prestasi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Madani di Bangunan Perdana Putra pada 12 Disember 2023/Foto Bernama

ULASAN BERITA

Saudara.. masihkah ingat video Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni seorang kanak-kanak lelaki, usai menunaikan solat Jumaat di sebuah surau di Putrajaya?

Baru berusia 12 tahun, mula-mula kanak-kanak itu hanya mahukan autograf idola pemimpinnya sahaja. Kemudian dia disoal oleh PMX, "mahu apa? "

Terus lancar mulutnya bertanya, "Datuk Seri, bila rombakan kabinet?" Respons PMX sungguh bersahaja. Beliau bertanya kembali kepada kanak-kanak itu, bila dia mahu rombakan kabinet berlaku. Jawabnya... "sebelum 2024". Dan, ringkas sahaja dibalas PMX, "saya bersetuju".

Rupanya, PMX tidak bercanda. Genap dua minggu, PMX umum akan berlaku rombakan kabinet. Beliau memang tunaikan permintaan kanak-kanak itu.

Barangkali itu juga yang diinginkan rakyat. Yang mahu melihat perubahan dalam kerajaan Madani, genap setahun pentadbirannya.

Tidak lama selepas pengumuman itu, sudah berlegar-legar senarai kabinet bayangan baharu di media sosial. Terus jadi carian utama dalam Google Malaysia. Tetapi, nama pun bayangan, belum tentu benar. Namun, cukup untuk buat orang berdebat di alam maya hingga ke warung kopi. Nampak tak?

Ura-ura berhubung rombakan kabinet hangat diperkatakan sejak Julai lalu. Terutama selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Selain itu, spekulasi turut bertiup kencang kononnya PMX akan melakukan rombakan kabinet selepas PRK DUN Pelangai di Pahang pada 7 Oktober. Bagaimanapun, ia meleset.

Kemudian, pada awal bulan ini, Datuk Seri Anwar dalam satu program wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani, berkata, rombakan perlu dilakukan sekiranya prestasi jemaah Menteri tidak memuaskan. Atau... jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau merasakan tempoh masa setahun masih terlalu awal untuk membuat penilaian adil. Serta, jemaah menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi.Tu!..tup!.. Seminggu selepas itu, atau lebih tepat Selasa lalu, kabinet benar-benar dirombak.

Lumrah dalam mana-mana rombakan, akan ada yang kekal, bertukar portfolio, atau digugurkan. Yang bertukar portfolio, bukanlah bererti mereka 'turun pangkat' atau tidak bagus dalam menjalankan tugas. Tetapi, mungkin kepakaran mereka lebih sesuai atau diperlukan di kementerian lain.

Yang digugurkan pula, bukanlah noktah dalam perjuangan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Dalam pertukaran yang berlaku, ada yang menepati jangkaan, ada juga yang tersasar.

Pada pandangan umum, terdapat seorang dua menteri yang masih tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan untuk mengatasi masalah rakyat dan negara. Tetapi, masih kekal dalam kabinet.

Tidak mengapalah... mungkin PMX mahu beri peluang dan masa kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing. Rasanya Datuk Seri Anwar ada "kaedah tersendiri" untuk menilai prestasi menteri. Hanya beliau yang tahu percaturannya.. dan, kita harap mereka tidak sia-siakan kepercayaan diberi dan benar-benar berusaha.

Ringkasnya, kabinet baharu kerajaan Madani menyaksikan pelantikan lima menteri dan lima timbalan menteri termasuk empat muka baharu. Selain, kembalinya lima bekas menteri menyertai semula Kabinet.

Lebih separuh menteri dan timbalan menteri pula, sama ada bertukar portfolio atau 'naik pangkat'. Rombakan turut memperlihatkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan, masing-masing kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Secara keseluruhan, jemaah Menteri meningkat daripada 28 ke 31 orang. Jumlah timbalan menteri pula bertambah dari 27 ke 29 orang. Pertambahan anggota bukan isu. Ini memandangkan keadaan negara yang sudah bertambah baik dari sudut kelestarian ekonominya. Maka tidak salah diperbesarkan sedikit kabinet itu. Namun, jumlahnya masih lagi rendah jika dibandingkan 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran sebelum ini.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada barisan kabinet baharu kerajaan Madani! Selamat berkhidmat kepada rakyat dan negara. Terus tingkatkan prestasi kerana cabaran besar sentiasa menanti.

Ingat! Anda sentiasa berada dalam radar pemerhatian rakyat. Setiap tindak tanduk diperhatikan serta dinilai dari segala sudut. Bersediakah anda untuk dihakimi?

Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI